Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Manage PermissionsManage Permissions
DYTM BERANGKAT KE MESYUARAT HBT 2018

Mesyuarat HBT-meeting.2.jpg

[Sumber: Pelita Brunei]

Berita: Marlinawaty Hussin - Penerangan

Foto: Pg Suhaimi bin Pg Hj Othman - KKBS

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 28 Mac 2018 - Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Kali Kedua Kejohanan Bola Sepak  Piala Hassanal Bolkiah bagi Belia ASEAN 2018 (HBT 2018) di Bilik Persidangan, Stadium Negara Hassanal Bolkiah (SNHB).

Berangkat ke mesyuarat berkenaan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Presiden Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD) selaku Penasihat Jawatankuasa Tertinggi HBT 2018.

Mesyuarat dipengerusikan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Hadir sama, Pemangku Menteri Pendidikan selaku Timbalan Pengerusi Bersama, Yang Mulia Datin Paduka Dr. Hajah Romaizah binti Haji Mohd. Salleh dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Datin Dayang Hajah Elinda binti C.A Mohamed serta ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi.

Di dalam sembah alu-aluan, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyembahkan bahawa kejohanan HBT 2018 akan diadakan dalam 26 hari lagi di mana pihak-pihak yang terlibat telah berusaha dengan sesungguhnya dan status persiapan secara keseluruhannya adalah berjalan dengan lancar.

Yang Berhormat menyembahkan, sejak Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi yang pertama, antara langkah persiapan yang telah pun diambil termasuk usaha menaik taraf 'scoreboard' dan 'floodlight' yang sedang giat dijalankan.

"Walaupun tempoh masa ke arah kejohanan ini semakin singkat, insyaaAllah abis Hamba Duli Tuanku akan meningkatkan lagi usaha dalam menjalankan tugas-tugas persiapan dengan lebih sempurna. Dengan berpandukan Sabda Nasihat Duli Tuanku, adalah penting bagi abis Hamba Duli Tuanku untuk sama-sama memberikan  sokongan padu dan komitmen dalam pengendalian dan perlaksanaan kejohanan HBT 2018 yang berpestij tinggi ini, selaras dengan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam," sembah Yang Berhormat.

Mesyuarat turut membincangkan laporan mengenai perkembangan terkini daripada Jawatankuasa-Jawatankuasa Kerja HBT 2018.

HBT 2018 anjuran KKBS dengan kerjasama NFABD itu akan bermula pada 23 April nanti.

Tujuh buah negara akan menyertai kejohanan tersebut, iaitu Kemboja, Laos PDR, Myanmar, Singapura, Thailand, Timor Leste dan Negara Brunei Darussalam.

Indonesia, Malaysia, Filipina dan Viet Nam tidak dapat menyertai kejohanan pada tahun ini disebabkan oleh komitmen seperti penyertaan di dalam liga kebangsaan.

Majlis Pembukaan Rasmi HBT 2018 akan diadakan pada 23 April nanti di SNHB di mana perlawanan pertama adalah antara pasukan Negara Brunei Darussalam dan Timor Leste.

Mesyuarat HBT-gambar ramai.jpg

Perlawanan akhir dan Majlis Pengurniaan Hadiah HBT 2018 pula akan diadakan pada 5 Mei juga di SNHB.

Orang ramai adalah dialu-alukan hadir dan memberi sokongan bagi sama-sama memeriahkan kejohanan berkenaan.

Attachments
Created at 3/31/2018 11:23 AM by Lee Chin Foo
Last modified at 3/31/2018 11:23 AM by Lee Chin Foo