Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Manage PermissionsManage Permissions
LEBIH 25 RIBU MERIAHKAN SAMBUTAN HK35 'ZAHIRKAN RASA KEBANGGAAN, SEMANGAT PATRIOTISME KEPADA RAJA DAN NEGARA'

230219HK-penerangan.bendera besar.jpg

[Sumber: Pelita Brunei]

Berita: Haniza Abdul Latif – Penerangan

Foto: Penerangan & Hajah Ajijah Ali – KKBS  

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 23 Februari 2019 - Ribuan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam membanjiri ibu negara seawal jam 5.00 pagi bagi sama-sama meraikan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-35, Tahun 2019 (HK35).

Perhimpunan Agung sempena Sambutan HK35 merupakan cara untuk menzahirkan rasa kebanggaan dan semangat patriotisme setiap rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam kepada raja kita yang berdaulat dan negara kita yang merdeka.

Semangat itu terus berkobar dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Taman Sir Muda Haji Omar 'Ali Saifuddien bagi menyertai rakyat dan penduduk di negara ini ke Upacara Perhimpunan Agung sempena HK35.

230219HK-35 (7).jpg

230219HK-35 (9).jpg

230219HK-35 (10).jpg

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan.

Juga menjunjung keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Mulia Datin Seri Paduka Dayang Hajah Elinda binti Haji C.A. Mohammad; Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Datin Seri Paduka Dr. Hajah Romaizah binti Haji Mohd. Salleh; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Dato Paduka Seri Awang Haji Mohd. Jammy bin Haji Muhd. Shah Al-Islam; dan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud.

Berangkat sama, paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah DYMM, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di JPM; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

Turut berangkat bagi menyertai upacara perbarisan lalu ialah anakanda Kebawah DYMM, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Wakeel.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Wakeel adalah antara pelajar Sekolah Antarabangsa Jerudong yang menyertai Kluster Pendidikan Swasta.

Sejurus keberangkatan tiba, Lagu Kebangsaan 'Allah Peliharakan Sultan' dilaungkan dan Kebawah DYMM kemudian dijunjung bagi memeriksa Pasukan Perbarisan Kawalan Kehormatan terdiri daripada anggota ABDB dan PPDB, yang diketuai oleh Pemerintah Perbarisan Kawalan Kehormatan, Leftenan Kolonel Abdul Rajid bin Haji Zainie.

230219HK-35.HM-uniform personnel.1.jpg

Upacara Perhimpunan Agung sempena HK35 bermula dengan upacara perbarisan lalu di hadapan Pentas Diraja oleh lebih 25 ribu peserta yang mewakili 147 buah pasukan didahului oleh pasukan Pembawa Bendera Negara Brunei Darussalam, disusuli dengan Pasukan Pembaca Ikrar; Pasukan Pembawa Bendera Brunei Darussalam Bendera Logo Hari Kebangsaan; Kluster Keamanan Negara; Kluster Masyarakat Bestari; Kluster Perkhidmatan Awam; dan Kluster Sosio-Ekonomi.

Kemeriahan sambutan diteruskan dengan Persembahan Sinergi Generasi Berwawasan yang disertai oleh seramai 1,035 peserta mewakili gabungan Pancaragam Jabatan Penjara, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kadet ABDB, Kadet PPDB, belia-belia, pelajar-pelajar sekolah rendah, menengah, maktab dan pelatih Program Khidmat Bakti Negara.

230219HK-35 (4).jpg

230219HK-35 (20).jpg

230219HK-35 (13).jpg

Upacara kemudian diteruskan lagi dengan upacara perbarisan lalu daripada Kluster Pendidikan Pasca Menengah; Kluster Pendidikan Menengah; Kluster Pendidikan Swasta; Kluster Takmir Masjid; Kluster Persatuan Profesional; Kluster Pergerakan Belia; Kluster Pergerakan Wanita; Kluster Persatuan Sukan; Kluster Persatuan Umum; Kluster Masyarakat Umum; dan Kluster Pasukan Generasi Berwawasan.

Ikrar Hari Kebangsaan kemudian dilafazkan yang dikepalai oleh Yang Di-Pertua Gild Siswazah Universiti Brunei Darussalam, Dr. Awang Muhammad Nuriskandar bin Mohd. Hasnan sebagai tanda menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala dan seterusnya sebagai tanda bersatu padu dan menumpukan taat setia di bawah pimpinan Kebawah DYMM.

230219HK-35 (38).jpg

Laungan takbir 'Allahuakbar' dilaungkan sebanyak tiga kali diketuai oleh Mahasiswa Doktor Falsafah Bahasa Arab, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Awang Muhammad Yadiy bin Haji Mat Yassin terus menyemarakkan lagi sambutan yang penuh gilang-gemilang.

Rombongan pembaca ikrar tersebut juga disertai oleh para peserta berkeperluan khas yang menggunakan bahasa isyarat dan berkerusi roda.

Persembahan bertemakan 'Menjayakan Wawasan Negara' melibatkan seramai lebih 7,000 peserta mewakili pelbagai sektor dan agensi pembangunan negara termasuk belia dari sekolah-sekolah rendah, menengah dan maktab-maktab, institusi pasca menengah dan pengajian tinggi juga kakitangan kerajaan dan swasta.

Persembahan tersebut mengetengahkan peranan generasi berwawasan dalam mempertahankan negara Melayu Islam Beraja (MIB), negara zikir dan matlamat Brunei Maju.

Sebelum berangkat meninggalkan upacara, Kebawah DYMM berkenan menerima junjung ziarah daripada para peserta yang menjayakan sambutan tahun ini.

230219HK-35.HM-Public.1.jpg

Tema Sambutan HK35, iaitu 'Menjayakan Wawasan Negara' merupakan gagasan Kebawah DYMM yang dimanifestasi bagi memastikan Negara Brunei Darussalam menjadi sebuah negara yang mempunyai rakyat, yang berpendidikan, berkemahiran dan berjaya; kehidupan yang berkualiti; dan ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan.

Setiap rakyat dan penduduk juga agensi-agensi yang terlibat dalam agenda pembangunan negara mestilah melengkapkan diri mereka dengan ilmu dan kemahiran, bersedia berperanan dalam pembangunan negara, termasuk meningkatkan daya saing, inovatif dan kreatif dalam segenap aspek pembangunan ekonomi, politik, sosiobudaya, keselamatan dan lain-lain.

Oleh itu, keseimbangan pembangunan jasmani dan rohani juga duniawi dan ukhrawi itu penting demi pembangunan bangsa dan generasi yang mapan.

Dengan adanya penggemblengan usaha-usaha daripada pelbagai sektor yang berkepentingan dalam pembangunan negara ini, Negara Brunei Darussalam akan dapat mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035, akan tetap kekal menjadi sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat; menjadi sebuah negara Zikir; dan Baldatun Tayyibatun Warabbun Ghafur.

HK35.penerangan2.imejROYAL.jpg

HK35.penerangan1.imeg bendera NBD.jpg

Attachments
Created at 2/25/2019 9:46 AM by Lee Chin Foo
Last modified at 2/25/2019 9:46 AM by Lee Chin Foo