Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Manage PermissionsManage Permissions
PACULAH SEMANGAT JIWAI USAHA BERKEBAJIKAN

​[Sumber: Pelita Brunei]

Berita: Khartini Hamir - Penerangan

Foto: Hajah Ajijah Ali - KKBS


BERAKAS, Sabtu, 3 Ogos 2019Para belia wajar tampil ke hadapan untuk memainkan peranan, mereka tidak boleh jumud (beku) tetapi mustahak untuk aktif dan dinamik sepanjang masa.

030819-HBK2019-HM.jpg

“Kerajaan beta sangat prihatin supaya para belia jangan hanya duduk-duduk atau asyik berseronok sahaja, tetapi paculah semangat untuk menjiwai usaha-usaha yang berkebajikan. Sebagai contoh dari keprihatinan ini, kerajaan beta telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pandu Keusahawanan Belia.

Jawatankuasa ini khusus sebagai pemudah cara bagi para belia memulakan perniagaan dan perusahaan, sehingga dengan itu akan memungkinkan mereka benar-benar berdaya saing membina diri dan secara langsung menyumbang kepada pembangunan negara,” titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada Sambutan Hari Belia Kebangsaan Ke-14, 2019 yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, pagi tadi.

Tegas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam lagi, para belia kita tidak lagi terkurung dalam kekosongan, tetapi muncul membawa idea-idea baharu untuk kehidupan.

Maka sehubungan itu, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah mengambil langkah menyediakan beberapa program keusahawanan untuk direbut oleh mereka.

DSC_0335.jpg

“Pada tahun lepas, kita telah pun menyediakan 60 kontrak, di mana 10 daripadanya telah dianugerahkan kepada pengusaha-pengusaha belia, sedangkan sasaran kita sehingga akhir tahun 2021 adalah sebanyak 200 kontrak,” titah Kebawah DYMM.

Titah baginda lagi, kita tidak mahu untuk hanya jadi penonton, tetapi yang kita mahu ialah untuk bersaing sehingga ke arena global.

“Namun persaingan, bukanlah dengan tangan kosong, tetapi dengan ilmu, pengalaman dan kemahiran. Tanpa ilmu, pengalaman dan kemahiran, tidak akan ada apa-apa yang boleh dihasilkan. Beta percaya, para belia kita adalah mampu untuk memenuhi ciri-ciri berilmu, berpengalaman dan berkemahiran,” tegas baginda lagi.

Terdahulu, baginda bertitah, baginda berbesar hati atas komitmen tinggi para belia terhadap pembangunan negara akhir-akhir ini.

Titah baginda, ini bukan sahaja melalui pelbagai penglibatan dan inisiatif bahkan juga turut menyumbang secara langsung kepada pembentukan dasar-dasar Kerajaan, seperti melalui Kongres Belia Kebangsaan 2019 dan rebiu Dasar Belia Negara.

DSC_0328.jpg

Menurut baginda, juga semakin menonjol, para belia sekarang sudah turut meminati bidang pertanian dan agri makanan sebagai satu pilihan perusahaan.

“Ini sangatlah bagus, kerana bidang pertanian berpotensi untuk dikembangkan, lebih-lebih lagi sesuai dengan keupayaan para belia untuk menggunakan kaedah-kaedah baru, yang dilihat mungkin mudah untuk meningkatkan produktiviti dan sekali gus menembusi pasaran luar negara,” titah baginda.

DSC_0300.jpg

Tegas baginda, para belia berhak untuk menerima ucapan syabas kerana menyahut cabaran menyertai Program Pendedahan Pertanian dan Perladangan berskala besar.

Baginda yakin, ini boleh membawa perubahan signifikan kepada kehidupan kita pada masa kini dan akan datang, di mana para belia dengan didorong oleh kepesatan teknologi tidak akan berundur ke belakang meninggalkan bidang-bidang yang menjadi ‘favourite’ seperti kesenian dan kreatif, malah mereka akan terus meneroka pelbagai produk untuk dikembangkan.

Ini semua adalah pelaburan yang perlu diperkasa, saran baginda.

DSC_0246.jpg

Sebelum mengakhiri titah, bersempena dengan Hari Belia Kebangsaan ini, baginda tidak lupa mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua golongan belia di negara ini atas komitmen mereka untuk sama-sama membangun dan memajukan negara.

DSC_0434.jpg

Attachments
Created at 8/5/2019 10:17 AM by Lee Chin Foo
Last modified at 8/5/2019 10:18 AM by Lee Chin Foo