Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Manage PermissionsManage Permissions
BERANGKAT MENYEMPURNAKAN PENGURNIAAN HADIAH MUSABAQAH TILAWATIL QURAN BELIA ASIA TENGGARA

‚Äč051219-Penyampaian Hadiah Musabaqah 2019-infofoto.6.jpg

[Sumber: Pelita Brunei]

Berita: Rohani Haji Abd Hamid - Penerangan

Foto: Mohamad Azmi Awang Damit, Ampuan Haji Mahmud Ampuan Haji Tengah, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman - Penerangan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 5 Disember 2019 - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Majlis Pengurniaan Hadiah Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara Ke-9, 1441/2019.

Berangkat sama paduka-paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik.

051219-Penyampaian Hadiah Musabaqah 2019-infofoto.1.jpg

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta Kerabat Diraja dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, dan Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara Ke-9, 1441/2019, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Terdahulu, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dalam sembah alu-aluannya antara lain menyembahkan Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara terus berperanan sebagai jambatan penghubung dalam mempererat silaturahim yang sudah sedia terjalin antara warga Asia Tenggara.

Yang Berhormat seterusnya menyembahkan, manifestasi keakraban negara-negara serantau selaku satu komuniti yang bersatu hati dan saling memberi dukungan dalam inisiatif-inisiatif yang memberikan impak yang besar.

Sembah Yang Berhormat lagi, Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara bermatlamat bukan sahaja untuk bertanding semata-mata, malah ianya dilihat sebagai salah satu inisiatif yang efektif untuk menyebarkan Tarbiyah Islam dan menyatukan Ummah dan Ukhuwah belia Asia Tenggara.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Pada majlis tersebut, Kebawah DYMM berkenan mengurniakan titah dan kemudian dijunjung menyempurnakan penganugerahan hadiah-hadiah dan cenderamata kepada Johan Qari dan Johan Qariah juga para peserta, hakim-hakim dan qari.

Dengan mengutip markah 89.49 peratus, johan qari dimenangi oleh Kamaruddin G. Zaidon dari Republik Filipina, Johan membawa pulang piala pusingan kurnia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hadiah iringan, sijil penyertaan dan wang tunai BND5,000.  

051219-Penyampaian Hadiah Musabaqah 2019-infofoto.3.jpg

Manakala tempat kedua dimenangi oleh Hadi bin Mohd Sharkawi dari Malaysia mengutip markah 87.86 peratus membawa pulang wang tunai BND4000.00, sijil penyertaan dan hadiah iringan dan tempat ketiga dimenangi oleh peserta Negara Brunei Darussalam, Abdull Mu'in bin Haji Abd Hamid membawa pulang wang tunai BND3000, hadiah iringan dan sijil penyertaan.

Sementara itu, johan qariah diraih oleh Negara Brunei Darussalam, Dayangku Siti Ummi Syazana binti Pengiran Haji Marjuki memperoleh markah 91.57 peratus membawa pulang piala pusingan kurnia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hadiah iringan, sijil penyertaan dan wang tunai BND5,000.

051219-Penyampaian Hadiah Musabaqah 2019-infofoto.7.jpg

Manakala tempat kedua dimenangi oleh qariah dari Republik Singapura, A'tiiqah binti Suhaimi dengan memperoleh markah 90 peratus membawa pulang wang tunai BND4000, sijil penyertaan dan hadiah iringan dan tempat ketiga dimenangi oleh Nurul Husna binti Sharif dari Malaysia membawa pulang wang tunai BND3000, hadiah iringan dan sijil penyertaan.

Pengumuman keputusan musabaqah berkenaan diumumkan oleh Pengerusi Jemaah Hakim, Awang Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd. Salleh.

Majlis turut diserikan dengan persembahan bacaan Al-Quran daripada johan qari dan qariah. Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Sebelum berangkat balik, Kebawah DYMM berkenan beramah mesra dan menerima junjung ziarah daripada Johan Qari dan Johan Qariah juga para peserta Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara 1441H / 2019M.

051219-Penyampaian Hadiah Musabaqah 2019-infofoto.2.jpg

Attachments
Created at 12/7/2019 10:51 AM by Lee Chin Foo
Last modified at 12/7/2019 10:52 AM by Lee Chin Foo