Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Manage PermissionsManage Permissions
JADIKAN AL QURAN SEBAGAI TEMAN

​[Sumber: Pelita Brunei]

Berita: Saerah Haji Abd Ghani - Penerangan

Foto: Mohamad Azmi Awang Damit, Ampuan Haji Mahmud Ampuan Haji Tengah, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman - Penerangan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 5 Disember 2019 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menekankan agar menjadikan Al-Quran sebagai teman rapat bagi kita dan janganlah berenggang darinya.

Baginda bertitah, barang siapa yang menjadikan Al-Quran sebagai temannya, orang itu akan beroleh keselamatan di dunia dan di akhirat.

"Menjadikan Al-Quran itu teman, bukanlah dengan menggendong naskhahnya, tetapi membacanya, mempelajari dan mengamalkan segala ajarannya," titah baginda pada Majlis Pengurniaan Hadiah Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara Ke-9, Tahun 1441 Hijrah bersamaan 2019 Masihi berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, di sini.

051219-Penyampaian Hadiah Musabaqah 2019-infofoto.8.jpg

Terdahulu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah, dalam era penuh pancaroba ini, Al-Quran memainkan peranan untuk menyuluh semua kegelapan.

Dengan Al-Quran titah baginda, penyakit-penyakit zaman boleh terubat, andainya manusia mahu. Tetapi sayang bukan semua orang mahu menghampiri Al-Quran, kerana itulah penyakit ini belum lagi terubat.

Kebawah DYMM bertitah, namun kita orang-orang Islam tidaklah perlu menunggu seluruh dunia berminat kepada Al-Quran. Tetapi yang penting, kita jangan lambat merawat persekitaran kita sendiri dengan Al-Quran.

Baginda bertitah, zaman kita akan sihat dan gemilang, jika kita bersedia merawat diri dan keadaan dengan Al-Quran.

"Lebih diperlukan di sini ialah peranan para belia. Kerana merekalah suara zaman yang lantang untuk menyuarakan segala harapan. Suara itu pastinya akan didengar oleh semua peringkat dalam apa jua keadaan," titah baginda.

Kebawah DYMM seterusnya bertitah, belia harapan bukanlah kerana namanya 'belia', tetapi harapan di sini ialah tonggak untuk membawa perubahan-perubahan besar kepada masyarakat, termasuk merubah gaya dan budaya yang tidak baik kepada yang baik atau lebih baik.

Titah baginda, semua ini boleh dicapai dengan bersuluh atau berpandu kepada Al-Quran.

"Inilah hebatnya Al-Quran itu sebagai penunjuk jalan untuk kita sampai kepada kesempurnaan. Al-Quranlah pelita sepanjang zaman. Ialah cahaya yang menerangi kehidupan," titah baginda.

Oleh itu, baginda menaruh harapan, supaya kita akan terus melahirkan lebih ramai para belia yang mesra Al-Quran, sama ada melalui usaha-usaha persendirian mahupun menerusi Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara ini.

Dalam titah Kebawah DYMM juga merakamkan ucapan tahniah kepada para pemenang Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara Ke-9 serta sekalian peserta yang turut mengambil bahagian bagi menyemarakkan lagi semangat kesatuan mengagungkan Kitab Suci Al-Quran.

051219-Penyampaian Hadiah Musabaqah 2019-infofoto.4.jpg

Baginda bertitah sangat teruja dengan matlamat Musabaqah ke arah membentuk generasi belia yang menghayati Al-Quran.

Dengan menghayati Al-Quran titah baginda, insyaaAllah, para belia akan beroleh penghidupan yang baik lagi berkat, sempurna keperibadian dan akhlak.

051219-Penyampaian Hadiah Musabaqah 2019-infofoto.9.jpg

Attachments
Created at 12/7/2019 11:02 AM by Lee Chin Foo
Last modified at 12/7/2019 11:02 AM by Lee Chin Foo