Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
KKBS Adakan Majlis Silaturahim Hari Keluarga Kebangsaan

‚Äč

Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, menyampaikan sumbangan derma tajaan Bank Islam Brunei.


[Sumber: Pelita Brunei] 

Berita: Haji Ariffin Mohamad Noor / Morshidi 

Foto: Hajah Ajijah Ali - KKBS 


BERAKAS, Rabu, 12 Julai. - Keceriaan dan kegembiraan terpapar di wajah para penghuni Kompleks Rumah Kebajikan, Belimbing dan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) daripada Pusat Bahagia, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) semasa mereka diraikan bersama ahli keluarga masing-masing pada satu Majlis Silaturahim Hari Keluarga Kebangsaan di bulan Syawal yang diadakan di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, di sini. 


Sambutan anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) adalah bertujuan bagi mengukuhkan tali silaturahim dan hubungan kekeluargaan di bulan Syawal dan turut diselajurkan bagi pemberian penghargaan kepada para penderma yang telah menyumbang kepada Kompleks Rumah Kebajikan (KRK) dan Pusat Bahagia di bulan Ramadan yang lalu. 


Hadir selaku tetamu kehormat di majlis tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat, Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan isteri, Datin Hajah Kalsom binti Haji Suhaili. 


Majlis telah dimulai dengan bacaan Doa Kesyukuran dan diikuti dengan penyampaian sijil kepada para penderma yang telah menghulurkan sumbangan untuk kebajikan dan kesejahteraan penghuni-penghuni KRK dan pelatih-pelatih Pusat Bahagia yang telah disempurnakan oleh tetamu kehormat. 


Majlis juga turut menyaksikan penyampaian sumbangan derma (paket hijau) daripada beberapa dermawan dan 'goodie bags' tajaan Bank Islam Brunei Darussalam kepada penghuni KRK dan pelatih OKU yang turut disempurnakan oleh tetamu kehormat dan datin. 


Di sepanjang majlis tersebut pelbagai hidangan juadah Aidilfitri disajikan dan para yang hadir dihiburkan dengan lagu-lagu Aidilfitri dendangan golongan OKU dan artis-artis tempatan. 


Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Setiausaha-Setiausaha Tetap KKBS, Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil dan Awang Haji Mohd Noor Jusmin bin Haji Abdul Samad; Ketua-Ketua Jabatan, Pegawai-Pegawai Kanan KKBS dan JAPEM serta wakil-wakil daripada Persatuan OKU dan para dermawan.


Majlis yang dihadiri sekitar 400 orang peserta  merupakan aktiviti tahunan KKBS dan sambutan pada tahun ini memfokuskan kepada memberikan peluang serta pendedahan kepada penghuni KRK dan pelatih OKU untuk memperkaya pengalaman melalui bakat seni dan kreativiti.

Attachments
Created at 9/5/2017 4:12 PM by Muhd. Hafizul 'Ilmi Bin Hj Zaini @ Zatul Hilmi
Last modified at 9/9/2017 4:03 PM by Ak Hussni Bin Pg Hassan