Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
WARTA BELIA WADAH RENTETAN PERISTIWA PENTING PERJUANGAN SUKARELAWAN BELIA

‚Äč12012021_INFODEPT_10_001_8.jpg

Sumber: Pelita Brunei


Berita : Haniza Abdul Latif - Penerangan

Foto : Azmah Haji Ahad - Penerangan

 


BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 11 Januari 2021 - Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memberikan satu penghormatan yang tinggi kepada para sukarelawan belia dengan bukan sahaja memberikan elaun, tetapi juga memberikan pengiktirafan di dalam titah-titah Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengenai sukarelawan dalam memberikan khidmat semasa COVID-19. 

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin berkata demikian semasa Majlis Pelancaran Warta Belia Edisi Ke-6 bersempena dengan 300 Hari Penubuhan Sukarelawan Belia, bertempat di Ruang Arena, Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, di sini. 

Tambah Yang Berhormat, semangat, ketekunan dan komitmen para sukarelawan belia tidak pernah hilang walaupun setitik bermula daripada hari pertama hinggalah ke hari yang ke-300 ini. 

Malahan, menurut Yang Berhormat, setitik itu menjadi berpuluh-puluh, beratusan dan beribu titik komitmen para sukarelawan semakin bertambah dan semangat mereka tidak pernah kendur, tidak pernah hilang, tidak pernah lenyap, akan tetapi terus memberikan khidmat bakti kepada negara. 

''Tahniah kepada biskita dan semoga Allah akan sentiasa memberi biskita petunjuk, hidayah, kekuatan dan pengorbanan yang berterusan dalam tahun 2021 dan seterusnya,'' ujar Yang Berhormat lagi. 

Terdahulu itu, Ketua Pusat Operasi Bahagian Pentadbiran dan Kewangan Sukarelawan Belia, Awang Muhammad Abdul Wafi bin Haji Sofian selaku Pengerusi Majlis, dalam ucapan alu-aluannya, antara lain berkata, setelah 299 hari sukarelawan belia beroperasi, sejumlah 2,511 orang berdaftar di bawah Sukarelawan Belia, dengan 48,000 pelepasan (deployment) sukarelawan dilaksanakan, iaitu mengambil kira purata 143 orang bertugas sehari. 

Jelasnya lagi, dengan tugas-tugas dan penglibatan Sukarelawan Belia, walaupun berisiko rendah, langkah-langkah keselamatan tetap diberikan perhatian wajar oleh setiap ketua-ketua bahagian operasi dan sukarelawan yang dilantik bagi memastikan mereka yang bertugas sentiasa peka juga mengikuti prosedur yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan. 

Pada majlis tersebut, Yang Berhormat, seterusnya menyempurnakan Pelancaran Warta Belia Edisi Ke-6, diselajurkan dengan Acara Penyerahan Sumbangan daripada Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD). 

Penyampaian sumbangan, berupa 'vest' dan PPE untuk kegunaan Sukarelawan Belia sewaktu bertugas, disampaikan oleh Pemangku Ketua Pegawai Operasi BIBD, Awang Haji Minorhadi bin Haji Mirhassan kepada wakil Sukarelawan Belia.

Sukarelawan Belia telah mengeluarkan sejumlah lima edisi Warta Belia, iaitu Warta Belia Edisi 1, yang dikeluarkan pada 25 Jun 2020 bersamaan 3 Zulkaedah 1441H; Warta Belia Edisi 2, yang dikeluarkan pada 2 Julai 2020 bersamaan 10 Zulkaedah 1441H; Warta Belia Edisi 3, yang dikeluarkan pada 13 Ogos 2020 bersamaan 22 Zulhijjah 1441H; Warta Belia Edisi 4, yang dikeluarkan pada 3 Oktober 2020 bersamaan 15 Safar 1442H; dan Warta Belia Edisi 5, yang dikeluarkan pada 28 November 2020 bersamaan 12 Rabiulakhir 1442H. 

Kelima-lima edisi ini telah dimuatkan dalam sesawang 'http://www.belia-sukan.gov.bn/Terbitan/TERBITAN.aspx' yang boleh diakses dengan mudah oleh orang ramai. 

Penghasilan Warta Belia Edisi Ke-6 adalah kesinambungan daripada Warta Belia sebelum ini yang merakamkan catatan aktiviti Sukarelawan Belia sejak hari pertama lagi, di mana penghasilan Warta Belia ini diusahakan oleh gabungan tenaga penulis, jurugambar juga pereka grafik, dipimpin oleh Dayang Lenna Norsusilanita binti Bahari, yang juga merupakan penulis utama dan selaku Penolong Ketua Bahagian Media juga Perhubungan Awam Sukarelawan Belia. 

300 Hari Sukarelawan Belia adalah hari yang bermakna bagi para sukarelawan kerana perjalanan permulaan pada hari pertama hingga ke hari ini bukanlah mudah. Justeru itu, Warta Belia menjadi wadah rentetan peristiwa-peristiwa penting perjuangan Sukarelawan Belia. 

Turut hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, Pegawai-pegawai Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan juga para sukarelawan belia.


Attachments
Created at 1/12/2021 5:02 PM by Ak Hussni Bin Pg Hassan
Last modified at 1/13/2021 2:45 PM by Ak Hussni Bin Pg Hassan