Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
MANGSA BANJIR DAERAH TEMBURONG TERIMA BANTUAN

DSC_6255.jpg


Sumber Berita: Pelita Brunei

Oleh : Hjh Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman 

Foto : Hajah Ajijah Hj Ali [KKBS]

TEMBURONG, Sabtu, 31 Mac. – Kejadian hujan lebat yang berlaku secara berterusan pada awal bulan Disember 2017 telah mengakibatkan banjir kilat sehingga menyebabkan terputusnya hubungan jalan raya dan kerosakan rumah di 23 buah kampung di daerah ini.

Mukim-mukim yang terjejas ialah Mukim Bangar, Mukim Amo, Mukim Bokok dan Mukim Batu Apoi.

Sehubungan itu, bagi meringankan beban mangsa-mangsa tersebut, satu majlis penyampaian bantuan kewangan kerajaan kepada 200 mangsa yang terjejas telah diadakan di Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara, Batu Apoi, di sini.

Hadir menyempurnakan penyerahan bantuan kewangan kerajaan tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

 DSC_6230.jpg

Juga hadir ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Emran bin Haji Sabtu, selaku Penghulu Mukim Bokok; Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, Awang Haji Amer Hamzah bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Zakaria; Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, Dayang Rostinah binti Pehin Orang Kaya Seri Sura Pahlawan Dato Paduka Haji Mohd Tahir; Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Mohammad Khairul Shahrul bin Haji Duahim, pegawai-pegawai kanan di KKBS dan Jabatan Pembangunan Masyarakat serta para penghulu dan ketua kampung daripada kawasan-kawasan terjejas.

Semasa kejadian banjir tersebut, pihak JAPEM juga telah memberikan bantuan berupa makanan tersedia (packed meals) dan catuan makanan kepada mangsa-mangsa banjir.

 DSC_6233.jpg

Diharapkan bantuan kewangan kerajaan yang dihulurkan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan kesusahan yang dialami oleh mangsa-mangsa terjejas untuk memulakan kehidupan seperti sediakala.

Antara rumah yang terjejas ialah milik Awang Mohd. Tahir bin Norsahbudin yang tinggal bersama isterinya Dayang Zuraidah binti Haji Aliamat berserta dua orang anak mereka di Kampung Simbatang, Jalan Penderuan Tamada.

Semasa ditemui oleh Pelita Brunei pada majlis tersebut, Dayang Zuraidah mengongsikan detik kejadian banjir yang menjejaskan lantai bawah rumah dua tingkat mereka dimana air telah naik sehingga ke paras pinggang.

Menurutnya, air mula naik sekitar waktu subuh dan mereka terpaksa memunggah mana-mana barangan yang sempat diselamatkan walaupun ada buku-buku sekolah anak beliau yang tidak sempat diselamatkan.

Dengan bantuan kewangan dari pihak kerajaan ini tambahnya sedikit sebanyak dapat membantu beliau sekeluarga untuk menjalani kehidupan seterusnya.

Seorang lagi mangsa dari Kampung Bakurut Bokok, Awang Haji Mamit bin Haji Bahar menceritakan bahawa kejadian banjir yang baru lalu merupakan kejadian banjir teruk kali ketiga yang dihadapi oleh beliau sekeluarga sejak mendiami rumah mereka lebih 40 tahun.

Semasa kejadian tersebut jelasnya, air hanya mulai surut setelah dua hari selepas hujan turun berlarutan dan mereka turut menerima bantuan daripada pihak JAPEM dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

"Alhamdulillah, saya bersyukur atas bantuan daripada pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang sangat prihatin akan kebajikan rakyat terutamanya mangsa-mangsa ditimpa bencana banjir," ujar beliau.

Attachments
Created at 4/3/2018 5:19 PM by Ak Hussni Bin Pg Hassan
Last modified at 4/4/2018 10:25 AM by Ak Hussni Bin Pg Hassan