Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
TAIB ungkayah Majlis Korban

[Sumber: Pelita Brunei]
Oleh: Noraisah Haji Muhammed 
Foto: Noraisah Muhammed, Ihsan Tabung Amanah Islam Brunei



LUMUT, Isnin, 4 September. - Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan anak-anak syarikatnya mengungkayahkan Majlis Korban dan Pengagihan Daging yang dikendalikan oleh Insurans Islam TAIB Holdings Sendirian Berhad, bertempat di Masjid Zainab Kampung Lumut, di sini.

Sebanyak tujuh ekor kerbau dikorbankan daripada tujuh orang pegawai serta kakitangan Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya yang seterusnya diagih-agihkan kepada 103 penerima terdiri daripada golongan asnaf fakir miskin di Kampung Lumut yang tersenarai di bawah Majlis Ugama Islam Brunei.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyerahkan pengagihan daging-daging korban kepada para penerima, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, selaku Pengerusi Perbadanan TAIB dan isteri.

Pada majlis itu, tetamu kehormat bersama wakil-wakil Perbadanan TAIB mengagihkan daging tersebut kepada penerima berserta Penghulu Mukim Liang, Ketua Kampung Lumut I dan II, yang kemudiannya meneruskan lagi pengagihan kepada penerima yang kurang berkemampuan juga mereka yang tidak dapat hadir pada majlis tersebut.

Dalam temu bual Pelita Brunei bersama Pegawai Eksekutif Kanan Insuran TAIB, Awang Shameon bin Tamil, menjelaskan objektif mengadakan majlis seumpamanya selain menyahut syariat ugama Islam, ia juga bertujuan untuk mengeratkan hubungan dan mewujudkan perpaduan dalam kalangan penduduk kampung yang tinggal di sekitar mukim berkenaan.

Manakala dalam temu bual bersama penerima, Dayang Rokiah binti Kadi dan Dayang Rokiah binti Abdullah, kedua-duanya melahirkan rasa syukur dan gembira atas pengagihan tersebut.

Menerusi pengagihan itu juga dihasratkan dapat memberi kesedaran akan tanggungjawab kita terhadap agama, di samping merapatkn lagi hubungan silaturrahim sesama Islam.

Turut hadir Pemangku Pengarah Urusan TAIB, Dayang Hajah Norrafidah binti Haji Sulaiman, pegawai-pegawai dari jabatan kerajaan juga pegawai serta kakitangan Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya.

Attachments
Created at 9/9/2017 11:32 AM by Ak Hussni Bin Pg Hassan
Last modified at 9/9/2017 4:02 PM by Ak Hussni Bin Pg Hassan