[Sumber: Pelita Brunei]
Berita: Saerah Haji Abdul Ghani (Penerangan)
Foto: Hajah Ajijah Ali & Pg Suhaimi bin Pg Hj Othman (KKBS)
BERAKAS, Sabtu, 7 Ogos 2021 - Bersempena dengan Konvensyen Belia Brunei (KBB), Young Professionals Network Brunei (YPN Brunei) dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) menganjurkan Youth Town Hall Brunei Edisi Ke-3 yang berlangsung di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa, di sini.
Edisi Ke-3 kali ini, bertemakan ‘Future Ready : Scaling New Heights’ memberikan peluang kepada belia untuk berinteraksi bersama panel-panel yang terdiri daripada Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Apong dan Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Fdr.Ar. Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman yang juga selaku Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN 2021.
Fasilitator Youth Town Hall Brunei terdiri daripada Pengasas Bersama, YPN Brunei, Dayang Nurliyana Fatin binti Arifin dan Pasukan Teras, YPN Brunei, Awang Muhammad Fadli bin Leftenan Kolonel (B) Haji Awang Zaini yang juga selaku Setiausaha Agung, Majlis Belia Brunei (MBB).
Turut hadir, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
.jpg)

Youth Town Hall Brunei merupakan satu platform yang ditubuhkan pada tahun 2020 bersempena Hari Belia Kebangsaan iaitu bagi memupuk solusi ke arah daya pemikiran maju dan komuniti belia yang saling bekerjasama serta menyumbang kepada pembangunan negara.
Edisi kali ini memfokuskan kepada pentingnya mengembangkan belia yang berketerampilan, dapat menyesuaikan diri, berdaya tahan dan boleh bekerja menjadi ejen perubahan, cemerlang dalam bidang masing-masing dan berdaya saing di peringkat global. Sesi ini juga meneroka bagaimana Negara Brunei Darussalam membentuk belia-belia yang berpengetahuan, keusahawanan dan inovatif dalam sektor pertanian.
Sesi ini menyaksikan pelbagai perbincangan mengenai ekonomi dan aspirasi Wawasan Brunei, industri masa depan, peluang untuk belia di sektor pertanian dan inisiatif untuk membina belia yang bersedia untuk masa depan dan sebagainya.
Youth Town Hall Brunei merupakan program susulan daripada Youth Roundtables yang diadakan pada bulan Julai 2020 bersempena Hari Belia Kebangsaan di mana belia-belia berpeluang mengongsikan aspirasi dan hasrat mereka secara proaktif mengambil bahagian dalam pembangunan negara.
Youth Town Hall Brunei disokong oleh MBB dan Suara Kitani Studios sebagai rakan media sosial yang dihadiri lebih 600 peserta dari pelbagai latar belakang termasuk sektor awam dan swasta, NGOS, institusi pendidikan dari keempat-empat daerah secara fizikal dan maya.
.jpg)
.jpg)
.jpg)