Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
PERLU MILIKI DISIPLIN TINGGI, SEMANGAT KESUKANAN JITU

​[Sumber: Pelita Brunei]

​Berita dan Foto : Saerah Haji Abdul Ghani


BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 8 September 2018 - Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin menegaskan bahawa semangat kompetitif tidak mempunyai makna, tanpa profesionalisme dan disiplin.

Semasa memberikan kata-kata perangsang kepada atlet Negara Brunei Darussalam yang akan menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-19, Yang Berhormat menambah, mereka perlu memiliki disiplin yang tinggi dan semangat kesukanan yang jitu, demi untuk menjaga nama baik dan imej Negara Brunei Darussalam dalam meraih kemenangan yang diharapkan.

''Ini amatlah memerlukan kekuatan mental dan fizikal serta kemampuan untuk menahan tekanan dari luar dan dalam diri,'' ujar Yang Berhormat pada Majlis Penyerahan Bendera Negara kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke SUKMA Ke-19, yang berlangsung di Dewan Digadong, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

Terdahulu jelas Yang Berhormat, sebagai atlet yang terpilih, matlamat para atlet di Perak nanti adalah untuk bersaing dengan sepenuh hati.

Penyertaan mereka di SUKMA kali ini, tegas Yang Berhormat, bukanlah sekadar suatu pendedahan atau 'exposure' semata-mata, tetapi penyertaan mereka adalah untuk berjuang dengan semangat kompetitif yang tinggi, dengan keinginan kuat untuk berjaya.

''Oleh itu, para atlet harus percaya dan yakin biskita mampu melakukannya, kerana biskita adalah dalam kalangan atlet negara yang terbaik daripada yang terbaik,'' ujar Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan seterusnya.

Yang Berhormat menambah, kibarkanlah bendera Negara Brunei Darussalam dengan semangat dan kebanggaan yang menyerlah semasa di Perak nanti.

''Tunjukkanlah biskita adalah yang terbaik dari segi kemahiran, etika dan profesionalisme. Sentiasalah patuh pada peraturan-peraturan yang telah ditetapkan, terutamanya dalam 'anti-doping' dan jangan sama sekali melakukan perkara yang boleh menjejaskan imej negara,'' ujarnya.

Penyerahan Bendera SUKMA08.09.18-athletes.JPG
Attachments
Created at 9/10/2018 9:57 AM by Lee Chin Foo
Last modified at 9/10/2018 9:57 AM by Lee Chin Foo