Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN TERUS BERLANDASKAN FALSAFAH MIB

031118-HK35.2.jpg

[Sumber: Pelita Brunei]

Berita: Haniza Abdul Latif - Penerangan

Foto: Azmah Haji Ahad-Penerangan/ Pg Suhaimi bin Pg Hj Othman-KKBS/Pg Hj Mohd Fawzy bin Pg Hj Ahmad-Pusat Sejarah

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 3 November 2018 - Perhimpunan Agung Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam merupakan manifestasi rasa kebanggaan dan patriotisme setiap rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam kepada raja kita yang berdaulat dan negara kita yang merdeka.

Ianya melambangkan perjuangan kita yang luhur dan mulia ke arah merealisasikan sebuah negara yang mandiri dan berwawasan mulia.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri  Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin semasa Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-35, Tahun 2019 bertempat di Dewan DiGadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, di sini.

Oleh itu ujarnya, kita sebagai satu pasukan, hendaklah mengungkayahkan amanah itu dengan memberikan yang terbaik demi untuk menjayakan sambutan tersebut kerana Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam adalah milik semua sebagai rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam.

Menyentuh mengenai kejayaan-kejayaan yang telah dicapai dalam menyambut Ulang Tahun Hari Kebangsaan pada tahun 2018 dan tahun-tahun sebelum ini, Yang Berhormat berkata ianya telah banyak memberikan contoh, bimbingan dan pengalaman yang berguna sebagai iktibar.

Apa yang penting tegasnya, apa pun format perlaksanaan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan pada kali ini hendaklah terus berpegang teguh dan berlandaskan kepada nilai-nilai Falsafah Melayu Islam Beraja, dan janganlah sampai kita mengesampingkan nilai-nilai teras keBruneian yang kita warisi zaman berzaman.

Menyentuh tentang tema pula, Yang Berhormat menjelaskan bahawa tema “Menjayakan Wawasan Negara” akan dikekalkan sepertimana yang telah dipersetujui oleh Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Ke-30, Tahun 2014 untuk digunakan bagi tempoh lima tahun.

Tema ini katanya, terus dikekalkan agar rakyat dan penduduk negara ini akan benar-benar menghayati makna di sebalik tema tersebut dan akan sama-sama bangkit dalam pembangunan negara secara seimbang ke arah merealisasikan matlamat Wawasan Brunei 2035.

Menurut Yang Berhormat lagi, pertandingan mencipta logo Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Ke-35, telahpun dibukakan kepada orang ramai dengan tumpuan khusus kepada para belia iaitu golongan pewaris yang akan melaksanakan kelangsungan wawasan negara.

"Memandangkan sambutan pada tahun 2019 merupakan sambutan yang ke-35 tahun, Peramba/Kaola/Saya turut berpandangan, ada baiknya Sambutan Ulang Tahun Ke-35 ini diberikan sedikit kelainan dengan menampilkan suasana yang penuh dengan semangat patriotisme yang tinggi melalui keceriaan dan penuh warna-warni dengan penglibatan secara menyeluruh agar ianya menjadi ristaan seluruh rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam. Oleh itu, antara agenda yang memerlukan sedikit masa untuk dibincangkan pada mesyuarat ini adalah mengenai perlaksanaan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Ke-35 nanti khususnya format persembahan bagi Upacara Perhimpunan Agung," ujarnya lagi.

Ke arah ini jelasnya, pandangan, cadangan dan nasihat para ahli yang berdasarkan kepada kaedah whole of nation approach amatlah berharga dan sangat dialu-alukan.

031118-JKT HK-SUT1.jpg

Yang Berhormat amat yakin, dengan buah fikiran yang holistik dan menyeluruh daripada ahli-ahli, Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Ke-35 tahun 2019 ini akan membuahkan idea-idea yang bernas demi mencapai matlamatnya iaitu untuk menjayakan sambutan ini sebagai manifestasi semangat patriotisme dan kebanggaan kita sebagai sebuah bangsa yang dihormati dan digalati di persada dunia.

Agenda mesyuarat termasuk membincangkan Post Mortem Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam kali Ke-34, tahun 2018; tema dan logo sambutan; acara-acara sambutan; acara-acara sampingan dan peruntukan.

031118-JKT HK-35.3.jpg

Hadir semasa mesyuarat tersebut ialah Grand Chamberlain, Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin bin Pengiran Paduka Tuan Pengiran Haji Abu Bakar; Pengetua Pusat Sejarah Brunei, Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Haji Awang Mohd. Jamil Al-Sufri bin Begawan Pehin Udana Khatib Dato Seri Paduka Haji Awang Umar; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud;  Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Abdul Hamid @ Sabli bin Haji Arsad  dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Seri Pahlawan Awang Mohammad Irwan bin Haji Hambali.

031118-JKT HK-35.Gambar ramai1.jpg

Attachments
Created at 11/4/2018 10:06 PM by Lee Chin Foo
Last modified at 11/5/2018 1:40 PM by Lee Chin Foo