Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
EMPAT ATLET RENANG KEBANGSAAN TERIMA INSENTIF, PENGIKTIRAFAN

‚Äčswimming06.01.19-speech BASA.JPG

[Sumber: Pelita Brunei]

Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 6 Januari 2019 - Seramai empat atlet renang kebangsaan Negara Brunei Darussalam menerima insentif dan pengiktirafan setelah masing-masing berjaya memecahkan rekod Terbuka Kebangsaan Brunei.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan insentif tersebut pada majlis yang berlangsung di Saffron Restaurant, Kiulap, di sini ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Juga hadir ialah Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Di-Raja Dato Laila Utama Haji Awang Isa bin Pehin Datu Perdana Manteri Dato Laila Utama Haji Awang Ibrahim.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dalam ucapannya antara lain memberikan galakan kepada para atlet bagi kejohanan yang akan datang dan menasihatkan agar mereka sentiasa memberikan komitmen penuh semasa latihan dan pertandingan-pertandingan yang disertai.

Pada majlis tersebut, empat perenang, iaitu Awang Christian Nikles, Awang Nur Haziq Samil, Dayang Ashley Chai dan Awang Muhammad Isa Ahmad masing-masing menerima insentif berupa ganjaran wang tunai berjumlah BND300.

Swimming06.01.19-2.JPG

swimming-06.01.19-3.JPG

Menerusi temu bual Pelita Brunei bersama Dayang Ashley Chai berkata, dengan adanya insentif tersebut ia akan dapat memberikan motivasi, bukan sahaja untuk dirinya, tetapi juga bagi perenang-perenang yang lain.

Beliau berjaya memecah rekod kebangsaan bagi 100 Meter Kupu-kupu dan 100 Meter Medley Perseorangan, masing-masing dengan catatan masa 1:10.04 saat dan 1:12.52 saat pada Kejohanan Renang ISB Sprints Kali Ke-3 pada 25 November tahun lepas.

Sementara itu, Awang Christian Nikles semasa ditemui menjelaskan, sukan renang mendapat minat bagi golongan belia tempatan, yang mana merupakan satu petanda yang baik untuk masa depan sukan tersebut.

Swimming-06.01.19-4.JPG

Tambahnya, dengan adanya insentif tersebut, ia akan dapat menampilkan lagi ramai perenang-perenang baharu dan bakal pemenang pingat yang berpotensi pada masa akan datang.

Awang Christian Nikles berjaya memecahkan dua rekod kebangsaan bagi 100 Meter Kuak Lentang dan 100 Meter Medley Perseorangan, masing-masing dengan catatan masa 1:5.33 saat dan 1:1.41 saat semasa Kejohanan Terbuka Musim Sejuk Carnegie di United Kingdom pada 27 hingga 28 Oktober tahun lepas.

Manakala, Awang Muhammad Isa Ahmad ketika ditemui pula berharap akan meningkatkan lagi rekod pencapaiannya pada kejohanan-kejohanan yang akan datang, termasuk Kejohanan Renang Dunia di Korea dan Sukan Asia Tenggara di Filipina nanti.

Swimming06.01.19-1.JPG

Awang Muhammad Isa Ahmad berjaya memecahkan empat rekod kebangsaan dalam masa tiga bulan, iaitu semasa Kejohanan Renang Terbuka Brunei Kali Ke-7 bagi acara 50 Meter Kuak Dada dan 200 Meter Medley Perseorangan, masing-masing dengan catatan masa 30.51 saat dan 2:19.40 saat.

Semasa Kejohanan Renang Dunia FINA yang berlangsung di Hangzhou yang berlangsung pada 11 hingga 16 Disember 2018 yang lalu, Awang Muhammad Isa Ahmad sekali lagi berjaya memecahkan rekod kebangsaan bagi acara 50 Meter dan 100 Meter Kuak Dada, masing-masing dengan catatan masa 29.65 saat dan 1:4.45 saat.

Ganjaran tersebut merupakan salah satu insentif Persatuan Renang Amatur Brunei (BASA) bagi perenang kebangsaan yang mengambil bahagian dalam acara-acara yang disahkan oleh BASA dan FINA, di samping mematuhi peraturan dan peraturan FINA, juga sistem waktu elektronik yang tepat pada kejohanan tempatan atau antarabangsa.

Melalui insentif tersebut, ia diharap akan memberi semangat dan inspirasi kepada perenang-perenang lain, terutamanya atlet muda untuk membuat latihan dan mencapai keputusan lebih baik, juga menggalakkan dan meningkatkan prestasi para perenang negara ke tahap lebih tinggi.

 swimming06.01.19-5.JPG

Attachments
Created at 1/7/2019 10:05 AM by Lee Chin Foo
Last modified at 1/7/2019 10:05 AM by Lee Chin Foo