Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
Pencak Silat Seni Budaya Warisan Orang Brunei

DSC_2201.JPG

DSC_2173.JPG

‚Äč[Sumber: Pelita Brunei]

Berita: Saerah Haji Abdul Ghani - Penerangan

Foto: Hajah Ajijah Ali - KKBS

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 29 November 2017 - Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof berkata, Pertandingan Silat Kebangsaan telah meningkat menjadi Festival Seni Pencak Silat dengan tujuan untuk menghayati seni budaya warisan orang Brunei yang masih lagi disimpan dan dipelihara oleh orang-orang tua.

 

''Warisan ini diturunkan kepada anak-anak muda generasi belia, supaya tidak luput dan tidak dicuaikan dan diubah-ubah seni keasliannya,'' jelas Yang Berhormat pada Majlis Penutup Festival Seni Pencak Silat Sempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, di sini.

 

Terdahulu, Yang Berhormat juga mengambil maklum terhadap latar belakang Persekutuan Pencak Silat Kebangsaan Brunei Darussalam (PERSIB) ini yang kini melewati usia tiga dekad, berusia 31 tahun ini ditubuhkan dan didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan Brunei Darussalam pada 30 Disember 1986 dan berdaftar dengan Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (PERSILAT) pada 25 Ogos 1988 serta merupakan Ahli 4 Negara Pendiri bersama-sama dengan Republik Indonesia (IPSI), Negara Malaysia (PESAKA) dan Republik Singapura (PERSISI).

 

''Juga difahamkan, tujuan tertubuhnya Persekutuan PERSIB ialah untuk menyatupadukan dan mengeratkan hubungan semua badan silat, mahupun di dalam dan luar negeri di samping meningkatkan, memajukan dan membangun serta mengembangkan seni silat ke peringkat antarabangsa,'' tambah Yang Berhormat.

 

Selain itu tambah Yang Berhormat, ia bertindak sebagai badan yang memperjuangkan seni silat, perunding, penyelaras dan penasihat dalam hal ehwal seni persilatan di samping memelihara, mempertahankan dan mengembangkan seni silat sebagai seni budaya warisan orang Brunei yang mengekalkan keperibadian yang halus dan berdisiplin tinggi dalam membentuk jasmani yang kuat dan jiwa satria yang berbudi luhur.

 

''Jelas dengan tujuan-tujuan dan matlamat tertubuhnya Persekutuan PERSIB itu, ianya juga dihasratkan akan dapat menghasilkan atau menyatukan semua badan-badan seni silat untuk bekerjasama dan melaksanakan tujuan dan hasrat serta mematuhi peraturan-peraturan Persekutuan PERSIB,'' ujar Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Attachments
Created at 11/30/2017 1:38 PM by Lee Chin Foo
Last modified at 11/30/2017 1:39 PM by Lee Chin Foo