Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
PESERTA PROGRAM PERTUKARAN BELIA BRUNEI - KOREA DIRAIKAN

‚Äč[Sumber: Pelita Brunei]

Berita: Haniza Abdul Latif - Penerangan

Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman - Penerangan

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 28 Ogos 2019 - Seramai 10 peserta belia dari Republik Korea yang menyertai Program Pertukaran Belia Dua Hala Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Republik Korea diraikan pada Majlis Perpisahan yang dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), bertempat di Bilik VIP, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Kebeliaan dan Kesukanan) KKBS, Dayang Saidah binti Haji Wahid @ Burut.

280819-Bru-Kor.exchange.1.jpg

Timbalan Pengarah Belia dan Sukan, Dayang Mariam binti Ulat yang juga selaku Pengerusi Majlis, dalam ucapannya, antara lain berkata, melalui program yang diadakan selama sembilan hari itu dan diisi dengan beberapa aktiviti, termasuk interaksi bersama persatuan belia tempatan, pelajar universiti, pemimpin belia dan usahawan muda; lawatan pendidikan ke sektor kerajaan dan swasta; program 'homestay'; dan menyertai Bandarku Ceria, sememangnya telah berjaya.

Tambahnya, program tersebut juga memberikan para belia daripada kedua buah negara peluang untuk mempelajari bagaimana mereka boleh bersatu sebagai sebuah masyarakat dengan berkongsi pandangan dan idea dalam pelbagai bidang bagi membantu berkembang sebagai seorang pemimpin pada masa akan datang.

Sementara itu, Pegawai dari Ministry of Gender, Equality and Family, Republik Korea, Mr. Junhong Cho selaku Ketua Rombongan dalam ucapan balasnya berkata, melalui program tersebut para peserta berpeluang untuk memahami lebih lagi mengenai kebudayaan dan agama Islam di negara ini.

Beliau percaya bahawa pengalaman selama menyertai program tersebut akan dikongsikan bersama penduduk di Korea agar dapat memberikan mereka sedikit pengalaman di negara ini.

Majlis kemudian disusuli dengan penyampaian sijil juga cenderamata yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis dan diakhiri dengan sesi bergambar ramai bersama tetamu kehormat. 

Program Pertukaran Belia Dua Hala NBD dan Republik Korea merupakan salah satu daripada program di bawah perjanjian kerjasama atau Arrangement on Cooperation on Youth Matters yang dimeterai di antara kedua buah kerajaan dan dipersetujui pada 10 Februari 2010. 

Mula dilaksanakan pada tahun 2011, program tersebut merupakan kali ke-9 ia berlangsung, di mana rombongan Negara Brunei Darussalam akan membuat pertukaran lawatan ke Republik Korea pada bulan Oktober 2019 nanti.

Program dianjurkan secara kerjasama oleh Ministry of Gender, Equality and Family, Republik Korea dan KKBS, Negara Brunei Darussalam, antara lain bertujuan untuk menjalin persahabatan dan persefahaman muhibah dalam kalangan belia-belia kedua buah negara dalam suasana harmoni juga setia kawan melalui interaksi yang sihat, selain dapat berkongsi dan bertukar pandangan juga pengalaman berguna dari sudut sosioekonomi, sosiopolitik, adat resam dan kebudayaan termasuk bahasa.

Setakat ini, seramai 170 orang belia, berumur di antara 18 hingga 30 tahun dari NBD dan Republik Korea menyertai program berkenaan.

280819-Bru-Kor.exchange.2.jpg

Attachments
Created at 8/31/2019 10:36 AM by Lee Chin Foo
Last modified at 8/31/2019 10:37 AM by Lee Chin Foo