Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
BUDAYAKAN TARIAN BRUNEI ASLI SERTA ETNIK BRUNEI

‚Äč[Sumber: Pelita Brunei]

Berita: Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman - Penerangan

Foto: Dk. Nur afilah Pg. Osman - Penerangan


BERAKAS, Sabtu, 31 Ogos 2019 - Pertandingan Tarian Kebangsaan Tahun 2019 Peringkat Sekolah Rendah, Sekolah Menengah dan Maktab diharap memberi impak positif dalam usaha untuk mencungkil bakat-bakat baharu di kalangan pelajar supaya meminati Seni Tarian Brunei Asli dan Seni Tarian Etnik Brunei agar tidak akan pupus di dalam arus kemodenan.

Pada Peringkat Akhir pertandingan tersebut yang berlangsung di Dewan Auditorium, Bangunan Tambahan Jabatan Penerangan, menyaksikan lapan buah sekolah berentap dalam dua kategori iaitu Sekolah Rendah, murid Tahun 3 - 5 bagi Tarian Brunei Asli yang diwakili oleh empat buah sekolah dan Sekolah Menengah, pelajar Tahun 8 - 10 bagi Tarian Etnik Brunei sebanyak empat buah sekolah.

Dalam Kategori Tarian Etnik Brunei, Sekolah Menengah Sufri Bolkiah dengan tarian Temaruk muncul Johan manakala Naib Johan disandang oleh Sekolah Menengah Sultan Hasan Bangar yang membawa tarian Ancayau dan tempat ketiga dimenangi oleh Sekolah Menengah Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar dengan tarian Aduk-aduk.

310819-tariankebangsaan-3.jpg

Sementara itu, Sekolah Rendah Lambak Kanan Jalan 49 yang membawakan tarian Dang Mengalai berjaya meraih Johan bagi Kategori Tarian Brunei Asli, Naib Johan diraih oleh Sekolah Rendah Sultan Hashim dengan tarian Dundang-dundang dan tempat ketiga disandang oleh Sekolah Rendah Masin yang membawakan tarian Alus Jua Dindang.

310819-tariankebangsaan-2.jpg

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dayang Saidah binti Haji Wahid @ Burut.

Pertandingan Tarian Kebangsaan Tahun 2019 ini merupakan anjuran Jabatan Pendidikan Kokurikulum melalui Unit Akli yang dikendalikan sebagai salah satu acara perayaan Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-73.

Di samping bagi memeriahkan sambutan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pertandingan juga bertujuan bagi mengajar dan melatih pelajar mengenai kemahiran Tarian Brunei Asli dan Tarian Etnik Brunei selain menanam nilai-nilai murni dan sikap bermasyarakat.

Pada masa yang sama, ia juga untuk mencungkil bakat para pelajar yang berminat dalam bidang kebudayaan, khususnya dalam bidang seni tari serta membudayakan tarian Brunei Asli dan Etnik Brunei di kalangan pelajar-pelajar.

310819-tariankebangsaan-1.jpg

Attachments
Created at 9/3/2019 9:19 AM by Lee Chin Foo
Last modified at 9/3/2019 9:21 AM by Lee Chin Foo