Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
GIGIH, RAJIN KUNCI KEJAYAAN

050919-PenyampaianSijilSSRU (12).jpg

[Sumber: Pelita Brunei]

Berita: Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman - Penerangan

Foto: Azmah Haji Ahad - Penerangan & Hjh Ajijah Ali - KKBS


BERAKAS, Khamis, 5 September 2019 - Para pelajar diingatkan bahawa usaha dan doa tetap menjadi kunci kejayaan dalam kehidupan ke arah mencapai cita-cita, kerana apa jua usaha hendaklah dijalani dengan sifat gigih dan rajin dan ianya tidak akan sempurna jika tidak diserikan dengan doa dan keyakinan yang kuat untuk mencapai sesuatu.

Oleh itu, pintarkanlah kegunaan masa dan pintarkanlah tatacara belajar di samping menanai sifat saling hormat menghormati. Inilah yang akan membuka pintu kecemerlangan dan kejayaan secara berterusan. InsyaaAllah.

050919-PenyampaianSijilSSRU (10).jpg

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin menyatakan demikian pada Majlis Konvokesyen Tamat Pengajian Bagi Murid Tahun VI Sesi Akademik 2018 Masihi Sekolah Ugama Delima Satu, Kawasan Brunei II B, bertempat di Dewan Multaqa, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Yang Berhormat menjelaskan, kita amat beruntung Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sangat menitikberatkan pendidikan ugama.

Ilmu yang dipelajari, tambahnya, telah menyediakan para pelajar dengan pengetahuan asas Fardu Ain, Fardu Kifayah dan nilai-nilai yang murni termasuk patuh beragama, taat kepada ibu bapa dan menghormati guru.

''Saya yakin para pelajar akan menjadi belia yang bukan setakat berilmu pengetahuan tetapi mempunyai keperibadian yang menyeluruh. Oleh itu, berpeganglah kepada pelajaran yang diberikan ini. Jadikanlah ia sebagai sandaran dan panduan dalam perjalanan hidup dan dalam menghadapi apa jua cabaran. Ingatlah, belia-belia terbaik adalah mereka yang berpengetahuan, beragama serta menghayati nilai-nilai tinggi sebagai insan yang berguna dan mulia di sisi Allah Subhanahu Wata'ala,'' ujar Yang Berhormat.

Yang Berhormat turut melahirkan penghargaan kepada para guru dan memuji komitmen tinggi mereka yang telah berjaya membentuk kerohanian para pelajar untuk meraih kecemerlangan kehidupan duniawi dan ukhrawi.

050919-PenyampaianSijilSSRU (2).jpg

050919-PenyampaianSijilSSRU (1).jpg

Pada majlis tersebut, seramai 37 murid Sekolah Ugama Delima Satu menerima sijil dalam Peperiksaan Sijil Sekolah-sekolah Rendah Ugama (SSSRU) Darjah VI bagi Tahun 2018 yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Manakala dua pelajar terpilih menerima Anugerah Kepujian Akademik iaitu, Awangku Khalis Mirza bin Pengiran Mohd Noor Zamri dan Dayangku Nur Eimanina Rasyidah binti Pengiran Ali Za'akbah yang telah mendapat pangkat satu agregat lima di dalam peperiksaan SSSRU.

Awangku Khalis Mirza turut dianugerahkan dengan Anugerah Kecemerlangan Akademik kerana berjaya mendapat agregat satu atau satu bintang di dalam semua mata pelajaran yang diduduki.

Majlis merupakan acara tahunan dianjurkan oleh sekolah tersebut sebagai tanda penghargaan daripada sekolah, khususnya kepada murid-murid yang telah mendapat kecemerlangan dan telah lulus dalam Peperiksaan SSSRU Darjah VI Tahun 1440H / 2018M.

050919-PenyampaianSijilSSRU (17).jpg

050919-PenyampaianSijilSSRU (7).jpg

Tujuan majlis diadakan ialah sebagai tanda penamatan Sekolah Ugama bagi murid-murid Darjah VI yang telah lulus, di samping sebagai tanda kesyukuran dan penghargaan bagi kejayaan murid-murid dalam Peperiksaan SSSRU Darjah VI bagi Tahun 1440H / 2018M, serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara guru-guru dengan pegawai-pegawai dan ibu bapa murid-murid.

050919-PenyampaianSijilSSRU (3).jpg

Attachments
Created at 9/7/2019 8:12 AM by Lee Chin Foo
Last modified at 9/7/2019 8:12 AM by Lee Chin Foo