Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
HAYATI, PRAKTIKKAN BUDAYA UNIK KITA

‚Äč060919-konvensyen kepimpinan dan variasi budaya Asia Tenggara (7).jpg

[Sumber: Pelita Brunei]

Berita: Haniza Abdul Latif - Penerangan

Foto: Hjh Ajijah Ali - KKBS

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 6 September 2019 - Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin berkata, adalah amat penting bagi para belia untuk terus menghayati dan mempraktikkan budaya unik di negara ini sebagai Orang Brunei yang beradat, berbudi bahasa dan berbudi pekerti berlandaskan falsafah Melayu Islam Beraja memandangkan mereka generasi pewaris.

060919-konvensyen kepimpinan dan variasi budaya Asia Tenggara (4).jpg

Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan berkata demikian semasa merasmikan Konvensyen Kepimpinan dan Variasi Budaya Asia Tenggara (SALAMCON) 2019M / 1441H, bertempat di Dewan Silaturrahim, Pusat Belia, di sini.

Di samping mempunyai pelbagai kemahiran atau 'multi-skill' yang amat diperlukan sekarang, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan seterusnya berkata, para belia hendaklah terus memelihara kesinambungan bangsa, mempunyai identiti yang merentasi generasi dan masa bagi meneruskan legasi kegemilangan negara pada masa depan.

''Oleh itu, adalah mustahak bagi kita, khususnya para belia, untuk mengimbangi tatacara penggunaan teknologi dan amal hidup menerusi sistem berkomunikasi, bermasyarakat dan bernegara, terutamanya dalam Konteks Revolusi Industri Ke-4,'' ujar Yang Berhormat.

Oleh yang demikian, pada menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bahawa golongan belia adalah aset negara selaku jentera pembangunan negara, Yang Berhormat menjelaskan, amatlah penting bagi para belia untuk bersikap inovatif, kreatif juga 'adaptable' dalam memartabatkan warisan budaya kita secara berterusan.

060919-konvensyen kepimpinan dan variasi budaya Asia Tenggara (5).jpg

Menurutnya lagi, tidak dinafikan bahawa kita berada dalam era yang sering dipengaruhi oleh ledakan informasi, yang tidak bersempadan, berpotensi untuk menggugatkan budaya bangsa kita.

''Oleh itu, sebagai langkah seterusnya, kita hendaklah terus berusaha untuk memanfaatkan cara-cara baharu demi memastikan ia terus dipertahankan dan dihayati. Di sinilah kemahiran dalam teknologi digital dapat memainkan peranan yang penting. Dengan memfokuskan kepada peningkatan kemahiran belia dalam bidang berkaitan, ia boleh menyumbang kepada pembangunan budaya dan industri kreatif, di samping meningkatkan penjanaan hasil dalam bidang berkenaan. Dengan landasan ini, insyaaAllah, budaya sebagai teras jati diri bangsa kita akan terus mendapat keistimewaan dan akan terus dihidupkan sepanjang masa,'' jelasnya lagi.

Terdahulu itu, menyentuh mengenai konvensyen yang diungkayahkan sepenuhnya oleh para belia, Yang Berhormat berkata, ia amatlah tepat dengan matlamat badan Islamic Education, Scientific and Cultural Organisation (ISESCO), iaitu untuk membarigakan sejarah ketamadunan Islam di Bandar Seri Begawan dan mewujudkan perpaduan melalui budaya, intelektual juga sumbangan saintifik.

060919-konvensyen kepimpinan dan variasi budaya Asia Tenggara (1).jpg

Attachments
Created at 9/7/2019 1:54 PM by Lee Chin Foo
Last modified at 9/7/2019 1:55 PM by Lee Chin Foo