Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
375 ANAK DAMIT TERIMA PEK LITERASI AWAL

‚Äč[Sumber: Pelita Brunei]

Berita: Nooratini Haji Abas - Penerangan

Foto: Hamzah Mohidin - Penerangan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 11 September 2019 - Seramai 375 anak damit yang lahir pada bulan Februari 2019 seluruh negara telah terpilih untuk menerima Pek Literasi Awal.

Anak-anak damit dibekalkan pek yang diisi dengan beberapa buah buku seperti buku mengenal huruf dan angka yang sesuai dengan usia mereka dan pek tersebut diberikan secara percuma kepada anak-anak damit berkenaan.

110919-PekLiterasiAwal-2.jpg

Majlis penyampaian Pek Literasi Awal 2019 disempurnakan oleh Setiausaha Tetap (Pengurusan, Strategi dan Dasar) Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan (KKBS),  Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil.

Terdahulu, Pemangku Ketua Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dayang Hajah Noreidah binti Haji Ibrahim selaku Pengerusi Majlis Penyampaian Pek Literasi Awal 2019 mengingatkan agar minat membaca patut dipupuk dari awal lagi terutama kepada generasi kanak-kanak agar mencintai buku dan bahan bacaan lain.

Menurutnya, kanak-kanak yang sentiasa berdamping dengan buku tidak akan berasa kekok kerana sudah terbiasa dengan bahan bacaan sedari damit.

Begitu juga katanya, kanak-kanak yang belajar membaca awal biasanya lebih terkehadapan, lebih maju dan boleh bersaing dengan rakan-rakan apabila mereka melangkah ke alam persekolahan.

Justeru itu, ibu bapa yang mengamalkan membaca bersama anak-anak damit mereka ujarnya dapat meningkatkan kemahiran asas anak-anak tersebut dalam membaca, menulis dan mengira.

"Kemahiran membaca itu penting kerana keupayaan membaca menjadikan diri kanak-kanak berkeinginan untuk mempelajari, mengetahui, meneroka, mencuba dan menjadikan diri mereka lebih berkeyakinan, aktif dan bertenaga," tegasnya lagi.

Maka, beliau menambah pembudayaan membaca patut disemaikan dan dibudayakan bermula dari rumah. Apa pun bahan bacaan yang diperoleh sama ada dari buku, sumber media Iain merupakan titik tolak kepada minat membaca kerana terdedah kepada berbagai maklumat yang dapat memberi pengetahuan dan ilmu.

Oleh yang demikian, ibu bapa tegasnya merupakan orang yang pertama berperanan dan bertanggungjawab menyuntik kemahiran membaca dalam diri anak-anak dengan menyediakan sumber ilmu pengetahuan agar anak-anak tersebut kelak terkehadapan dalam dunia yang mencabar pada hari ini dan mendatang.

110919-PekLiterasiAwal-3.jpg

Program Literasi Awal adalah salah satu usaha DBP dalam memperkasa budaya membaca khusus untuk anak-anak damit yang baharu lahir.

Tujuannya adalah untuk menanamkan sikap rajin membaca dalam kalangan masyarakat khususnya ibu bapa kepada anak damit pada awal usia. Bermula dengan aktiviti membaca dan mendedahkan bahan bacaan dapat merangsang dan memperkembangkan minda anak-anak damit tersebut sekali gus dapat membina tabiat suka membaca dan menjadikannya rutin di dalam sesebuah keluarga.

Diharap program tersebut akan dapat meningkatkan lagi semangat khususnya ibu bapa dan masyarakat umumnya terhadap pentingnya membaca. 

110919-PekLiterasiAwal-1.jpg

Attachments
Created at 9/12/2019 8:44 AM by Lee Chin Foo
Last modified at 9/12/2019 8:49 AM by Lee Chin Foo