Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
PAMERAN SENI VISUAL HARGAI KARYA SENI TEMPATAN

‚ÄčDSC_3026.jpg

[Sumber: Pelita Brunei]

Berita: Nooratini Haji Abas - Penerangan

Foto: Hajah Ajijah Ali - KKBS

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 17 Disember 2017 - Sebagai platform untuk membimbing dan melatih para pelukis wanita  berinteraksi dan berkongsi pengalaman dalam menyediakan pameran dan bengkel secara berkumpulan, Yayasan Seni Zakaria Omar (YSZO) mengungkayahkan Pameran Seni Visual '1st All Women Artist Arts Exhibition 2017' di Seri Qlap Mall, Kiulap.

Objektif pameran antara lain untuk membudayakan aktiviti pameran bagi para pelukis wanita di samping mengukuhkan lagi serta pengisian ke arah kempen menghargai karya seni, iaitu menempatkan hasil karya di tempat situasi yang sebenar agar orang ramai dapat berkongsi pengalaman dan rasa.

Perasmian Pameran Seni Visual disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof selaku tetamu kehormat.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat.

Diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Pengerusi Majlis, Dayang Umi Zaty Bazillah binti Zakaria yang antara lain menyentuh mengenai YSZO yang telah ditubuhkan sejak tiga tahun yang lalu dengan moto 'Seni Jati Diri Bangsa' yang diasaskan oleh Awang Zakaria bin Omar bagi menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Belia  Kebangsaan Tahun 2011.

Dayang Umi Zaty Bazillah juga menyeru para belia agar merebut peluang dalam industri kreatif kerana banyak bidang yang dapat diterokai di negara ini khususnya bidang seni tradisi budaya yang merupakan warisan berharga dan boleh diketengahkan melalui strategi pemasaran berkesan, sebagaimana yang dilakukan oleh negara-negara maju. 

Majlis diteruskan dengan ucapan dan perasmian daripada Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.  

Kira-kira 20 pelukis wanita menyertainya dan sebanyak 40 karya seni visual dipamerkan yang meliputi pelbagai genre dan gaya bentuk dari lukisan realistik hingga ke lukisan kontemporari.

Pameran membawakan tema 'Sensation' atau sensasi sebagai satu proses seni yang berkesinambungan daripada insan seni dengan menggunakan apa jua cabang seni melalui penerapan 'human sense', iaitu pancaindera yang dimiliki setiap insan sama ada berbentuk nyata atau spiritual.

Juga hadir, Setiausaha-Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Pengerusi Brunet Art Forum. 

Attachments
Created at 12/18/2017 4:30 PM by Lee Chin Foo
Last modified at 12/18/2017 4:30 PM by Lee Chin Foo