Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
406 ANAK YATIM DAERAH BELAIT TERIMA BANTUAN DANA

141219-DANA (2).JPG

‚Äč[Sumber: Pelita Brunei]

Berita: Noraisah Haji Muhammed - Penerangan

Foto: Pg Suhaimi bin Pg Hj Othman - KKBS

 

KUALA BELAIT, Sabtu, 14 Disember 2019 - Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim (DANA) ditubuhkan bertujuan bagi membantu anak-anak yatim untuk mendapatkan asuhan, pimpinan dan pendidikan bagi menjadikan mereka warganegara yang berguna.

Salah satu usaha DANA bagi memeduli kebajikan dan hal-ehwal pendidikan anak-anak yatim khususnya bagi meningkatkan motivasi mereka untuk meraih kecemerlangan dalam bidang pendidikan ialah dengan memberikan bantuan peralatan dan keperluan persekolahan.

Sehubungan itu, DANA telah menganjurkan Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Peralatan dan Keperluan Persekolahan Anak-Anak Yatim Bagi Tahun 2020 berlangsung di Dewan Persidangan Kuala Belait, di sini.

141219-DANA (7).JPG

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan sumbangan tersebut, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku Ahli Lembaga Pemegang Amanah Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim.

Hadir sama dan menyampaikan sumbangan kepada penerima, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, selaku Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif DANA.

141219-DANA (6).JPG

Di majlis itu DANA menyampaikan sumbangan bantuan peralatan dan keperluan persekolahan kepada seramai 406 orang anak-anak yatim di Daerah Belait yang berdaftar dengan Sekretariat DANA.

Sumbangan berbentuk kupon pembelian peralatan dan keperluan persekolahan dan keperluan asas bagi anak-anak yatim yang masih belum bersekolah.

Setiap seorang anak yatim akan menerima sumbangan sebanyak 16 keping kupon yang bernilai sebanyak B$450.00.

Jumlah keseluruhan sumbangan pada hari ini ialah B$182,700.00.

Kupon-kupon itu sah ditukarkan atau digunakan di 25 buah syarikat yang membekalkan barang-barang tersebut dan telah dikenal pasti oleh DANA yang terletak di keempat-empat buah daerah, iaitu kedai-kedai yang membekalkan buku-buku latihan, buku-buku kerja, peralatan tulis, pakaian sekolah, beg dan kasut sekolah serta kedai-kedai yang membekalkan barang-barang keperluan harian kanak-kanak bagi anak yatim yang belum bersekolah.

DANA menyalurkan sumbangan yang keseluruhannya berjumlah B$1,622,250.00 kepada 3,605 orang anak yatim di seluruh negara bagi program bantuan peralatan dan keperluan persekolahan anak-anak yatim bagi tahun 2020.

Sejumlah B$1,132,200.00 disumbangkan kepada 2,516 orang anak-anak yatim di Daerah Brunei dan Muara pada  12 Disember.

141219-DANA (4).JPG

141219-DANA (1).JPG

Sementara itu sejumlah B$72,450.00 juga telah disumbangkan kepada 161 orang anak-anak yatim di Daerah Temburong pada  10 Disember lepas.

Manakala sejumlah B$182,700.00 disumbangkan kepada 406 orang anak-anak yatim di Daerah Belait kemarin.

Sejumlah B$234,900.00 akan disumbangkan kepada 522 orang anak-anak yatim di Daerah Tutong pada hari Selasa 17 Disember 2019.

Dalam temu bual dengan beberapa penerima DANA, Dayang Jenny Azrina Haji Abd Hamid bersama dua orang anaknya  Hasanul Farid Kamarul Ariffin, 16 dan Nurul Damia Kamarul Ariffin, 14, melahirkan rasa syukur dan terima kasih atas sumbangan yang diberikan.

"Melalui sumbangan tersebut sedikit sebanyak dapat meringankan tanggungan ibu-ibu tunggal dan balu,'' ujar beliau.

Manakala Dayang Rosnani binti Donglah dan Dayang Janah binti Sarah juga melahirkan rasa gembira atas sumbangan berkenaan untuk anak-anak mereka dan akan menggunakan sumbangan yang diberikan dengan sebaik mungkin.

Sumbangan berkenaan dihasrat untuk memberi galakan dan kesedaran di kalangan anak yatim untuk menghargai kepentingan pendidikan dalam kehidupan mereka di masa hadapan dan seterusnya memberi dorongan kepada mereka untuk mempertingkatkan pencapaian pendidikan.

Bagi ibu dan penjaga pula, sumbangan dihasratkan bagi meringankan bebanan perbelanjaan yang ditanggung khususnya dalam menyediakan keperluan anak-anak mereka apabila menjelang penggal awal persekolahan 2020 nanti.

Adalah diharapkan sumbangan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh anak-anak yatim dan ibu serta penjaga mereka.

DANA sangat menghargai setiap sumbangan ikhlas yang telah dihulurkan oleh para dermawan. Setiap sumbangan mereka akan disalurkan kepada anak-anak yatim di negara ini melalui beberapa program bantuan yang telah dirancang oleh Sekretariat DANA.

Hadir sama di Majlis tersebut, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara; Pegawai Daerah Belait; dan Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan dan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Attachments
Created at 12/16/2019 9:33 AM by Lee Chin Foo
Last modified at 12/16/2019 12:56 PM by Lee Chin Foo