Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
SAMBUTAN ULANG TAHUN HARI KEBANGSAAN NBD KE-36 : KEKALKAN TEMA 'MENJAYAKAN WAWASAN NEGARA'

120220-Sidang Media HK-36 (4).jpg

[Sumber: Pelita Brunei]

Berita: Rohani Haji Abdul Hamid - Penerangan

Foto: Azmah Haji Ahad - Penerangan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 12 Febuari 2020 - Dengan bertemakan 'Menjayakan Wawasan Negara', Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-36, Tahun 2020 satu Sidang Media Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-36, Tahun 2020 dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud selaku Setiausaha Bersama Jawatankuasa Tertinggi sambutan tersebut.

120220-Sidang Media HK-36 (7).jpg

Menurutnya, tema sambutan dikekalkan bagi memfokuskan kepada pencapaian Wawasan Brunei 2035 dengan menekankan pentingnya setiap rakyat dan penduduk serta segenap sektor dalam pembangunan negara memainkan peranan masing-masing serta mengembeling usaha dalam memastikan Wawasan Brunei 2035 tercapai dan berjaya.

"Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah mengurniakan titah perkenan untuk berangkat bercemar duli bersama Kerabat-Kerabat Diraja ke Majlis-Majlis Utama Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-36, Tahun 2020 iaitu: Majlis Kesyukuran Sembahyang Fardhu Maghrib dan Isya' Berjemaah, Membaca Surah Yaasin dan Doa Kesyukuran; Upacara Perhimpunan Agung Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-36, Tahun 2020 dan Acara Riadah Berbasikal Semangat Kebangsaan," jelasnya .

Katanya, acara Kemuncak Sambutan iaitu Perhimpunan Agung Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-36, Tahun 2020 akan diadakan pada hari Ahad, 29 Jamadilakhir 1441 bersamaan 23 Februari 2020 di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan bermula jam 7.30 pagi.

Latihan-latihan bagi acara persembahan padang ujarnya, melibatkan lebih kurang 7,000 orang penuntut dan warga perkhidmatan awam telah rancak diadakan di sekolah-sekolah dan kompleks-kompleks sukan termasuk Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas. Latihan bersepadu/penuh akan diadakan pada hari Isnin, 17 Februari 2020; hari Selasa 18 Februari 2020;  dan hari Khamis 20 Februari 2020,  bermula jam 9.00 pagi di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.

"Untuk sambutan tahun ini, 161 buah pasukan yang melibatkan 26,534 peserta telah mendaftar untuk menyertai acara perbarisan lalu yang mana telah dibahagikan kepada 15 kluster iaitu: Keselamatan Negara, Masyarakat Bestari, Perkhidmatan Awam, Sosioekonomi, Pendidikan Pasca Menengah, Pendidikan Menengah, Pendidikan Swasta, Takmir Masjid, Persatuan Profesional, Pergerakan Belia, Pergerakan Wanita, Persatuan Sukan, Persatuan Umum, Masyarakat Umum, dan Pasukan Generasi Berwawasan. Juga turut menyertai perbarisan lalu pada tahun ini ialah Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Asia Tenggara Ke-30, 2019, Filipina yang telah mengharumkan nama Negara tahun lepas.

"Majlis Pengagihan Bendera Kecil Meja dan Program Semarak Pengibaran Bendera akan dijalankan secara serentak pada hari Sabtu, 15 Februari 2020 di empat daerah, yang mana Majlis Utama Pengagihan Bendera Kecil Meja dan Program Semarak Pengibaran Bendera akan diadakan di Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa'adatul Bolkiah, Lumut, Kuala Belait di mana Tetamu Kehormatnya nanti ialah Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bin Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar, Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, selaku Timbalan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-36, Tahun 2020. Acara yang ditumpukan kepada pelajar-pelajar sekolah rendah, menengah dan ugama termasuk institusi pengajian swasta ini adalah bertujuan untuk memupuk dan memperkasa semangat patriotisme dan kemegahan menjunjung bendera negara dari peringkat akar umbi. Majlis yang sama juga diadakan di Sekolah Rendah Pengiran Anak Puteri Besar, Sungai Kebun, Daerah Brunei dan Muara; Sekolah Chung Hwa, Daerah Tutong; dan Sekolah Ugama Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Daerah Temburong," jelasnya.

Upacara Menaikkan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam jelasnya, menandakan bermulanya pengibaran Bendera Negara akan diadakan pada hari Ahad, 22 Jamadilakhir 1441 bersamaan 16 Februari 2020 bertempat di Kawasan Lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan bermula jam 8.00 pagi, tetamu Kehormat di majlis tersebut ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Haji Apong.

Katanya, sebagai sebuah negara yang sentiasa mengharapkan taufiq dan hidayah Allah Subhanahu Wata'ala serta keberkatan dalam membangun dan memajukan negara ini, beberapa acara keagamaan akan diadakan sempena sambutan tahun ini.  Majlis Kesyukuran dan Sembahyang Fardu Maghrib dan Isyak Berjemaah, Membaca Surah Yaasin dan Doa Kesyukuran akan diadakan pada hari Sabtu, 28 Jamadilakhir 1441 bersamaan 22 Februari 2020 bermula jam 5.45 petang bertempat di Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan sebagai tumpuan utama. Majlis kesyukuran ini diadakan secara serentak di semua masjid, surau-surau dan balai ibadah di seluruh negara di mana di Daerah Tutong tumpuan utama ialah di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong, di Daerah Belait tumpuan utama di Masjid Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait, dan di Daerah Temburong tumpuan utama ialah di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar.

Seterusnya beliau menjelaskan mengenai dengan Upacara Menurunkan Bendera Besar akan diadakan pada hari Selasa, 25 Februari 2020, jam 2.15 petang bertempat di Kawasan Lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan di mana tetamu kehormat di majlis itu nanti ialah Timbalan Menteri Tenaga, Kementerian Tenaga, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Matsatejo bin Sokiaw.

Bagi memeriahkan lagi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-36, Tahun 2020, Riadah Berbasikal Semangat Kebangsaan akan diadakan pada hari Ahad, 6 Rejab 1441 bersamaan 1 Mac 2020 bertempat di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien yang mana akan bermula pada jam 7.00 pagi.

"Di samping itu, beberapa aktiviti acara-acara keraian / sampingan akan diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-36, Tahun 2020. Ini termasuklah Larian Hari Kebangsaan 2020 (29 Mac 2020), Majlis Khatam Al-Quran 36 kali (5 Mac 2020), Pertandingan Bicara Berirama (09 April 2020), Kejohanan Gasing Pangkah Terbuka (13-15 Mac 2020), Pesta Buku Brunei (28 Februari - 08 Mei 2020), Program Belia Cinta Tanah Air kali Ke-15 (11-25 Februari 2020) dan kempen Kesedaran dan Bimbingan bagi Ibu dan Anak (12 – 16 Februari 2020)," ujarnya.

Beliau juga mengalu-alukan bagi mana-mana pihak yang ingin menganjurkan acara-acara keraian bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-36, Tahun 2020 untuk menghadapkan ke pihak Urus Setia Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-36, Tahun 2020 di alamat emel urusetiahk@kkbs.gov.bn bagi sebarang tindakan lanjut mengenainya.

Menyentuh mengenai Logo Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-36, Tahun 2020 beliau berkata, ia diilhamkan dari motif kain tenunan Brunei, iaitu Bunga Putar, yang membawa pengertian sebagai khazanah negara berperanan penting dalam pembentukan sebuah negara bangsa; juga bayangan kepada Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara yang kekal mekar, dan pembangunan yang dinamik serta sentiasa menjunjung falsafah Melayu Islam Beraja sebagai falsafah pembangunan bangsa dan negara. Logo ini jika dilihat dari dalam ke luar, menandakan bahawa kita berpandangan jauh ke hadapan (outward looking) dalam mencapai kehendak pembangunan menuju Wawasan Brunei 2035. Logo ini adalah hasil karya Awang Mohammad Abdul Aziz bin Haji Mohd Ali, Perekabentuk Bebas (Freelance Designer) yang telah memenangi Pertandingan Mencipta Logo yang telah dibukakan kepada orang ramai bermula 10 Oktober hingga 31 Oktober 2019 yang lalu.

120220-Sidang Media HK-36 (1).jpg

Pengarah Kesihatan Persekitaran; Dr Hajah Anie Haryani bte Haji Abd Rahman, dalam sesi soal jawab mengenai dengan peserta atau orang ramai mempunyai simptom demam panas, batuk dan selesema diharap tidak perlu hadir menyertai atau menyaksikan sambutan itu nanti.

Menurutnya, pada masa ini Negara Brunei Darussalam belum ada sebarang kes korona virus, akan tetapi pihak Kementerian Kesihatan sudah melaksanakan langkah-langkah untuk penjagaan. Kementerian Kesihatan juga akan sentiasa memantau semasa upacara besar-besaran tersebut. Bagi pemantauan peserta-peserta pihak kesihatan menasihatkan agar mana-mana peserta yang kurang sihat tidak perlu datang.

Pihak Kesihatan tidak menyediakan tempat-tempat untuk pengasingan jika mana-mana peserta yang demam. Penyediaan yang disediakan khas untuk kes-kes kecemasan dan di nasihatkan agar orang ramai atau tetamu jika mempunyai simptom demam tidak di perlukan hadir dan orang ramai yang ingin melihat ucapacara tersebut agar menjaga kebersihan," jelasnya.

120220-Sidang Media HK-36 (8).jpg

120220-Sidang Media HK-36 (2).jpg

Sidang media turut dihadiri oleh beberapa Ahli-Ahli Jawatankuasa Kerja Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-36, Tahun 2020 dan seterusnya juga memberikan penerangan iaitu, Ahli Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Khairunnisa Ash'ari;  Penolong Kanan Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Jabatan Adat Istiadat Negara, Dato Paduka Awang Razali bin Haji Badar selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kerja Jemputan dan Protokol; Pengarah Keanggotaan, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Kolonel (Udara) Haji Alirupendi bin Haji Perudin selaku Penyelaras Bersama Jawatankuasa Kerja Kecil Perbarisan;  Pengarah Kesihatan Persekitaran, Dr Hajah Anie Haryani bte Haji Abd Rahman; Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Dayang Mariam binti Ulat selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kerja Riadah Berbasikal Semangat Kebangsaan; Ketua Bahagian Operasi dan Penguatkuasaan, Supt. Haji Hamri Aslan bin Haji Abu Hanafiah selaku wakil Pengerusi Bersama Jawatankuasa Keselamatan (Sekuriti) dan Lalulintas; Penolong Pengarah, Jabatan Pengangkutan Darat,   Awang Hasbulwafi bin Haji Mohd Salleh selaku wakil Penyelaras Bersama Jawatankuasa Kerja Kecil Pengangkutan; dan Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat II, Jabatan Penerangan, Awang Abdul Karim bin Hamdan selaku wakil Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kerja Media dan Publisiti.

120220-Sidang Media HK-36 (5).jpg

Attachments
Created at 2/13/2020 10:52 AM by Lee Chin Foo
Last modified at 2/13/2020 10:56 AM by Lee Chin Foo