Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
#nbd36 SEMARAKKAN SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN

‚Äč160220-Hashtag Gergasi (5).jpg

[Sumber: Pelita Brunei]

Berita: Khartini Hamir - Penerangan

Foto: Pg Suhaimi bin Pg Hj Othman - KKBS

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 16 Februari 2020 - Projek Hashtag Gergasi NBD36 merupakan salah satu inisiatif Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) bersempena Ulang Tahun Hari Kebangsaan NBD Ke-36, Tahun 2020 berdasarkan tiga objektif penting yang antaranya bertujuan bagi sama-sama menyemarakkan lagi suasana kemeriahan Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini.

Sehubungan itu, majlis pelancaran projek tersebut disempurnakan pagi tadi di Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB), di ibu negara.

Pelancaran Projek Hashtag Gergasi tersebut dirasmikan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi sempena Ulang Tahun Hari Kebangsaan NBD Ke-36, Tahun 2020.

160220-Hashtag Gergasi (3).jpg

160220-Hashtag Gergasi (1).jpg

Pada tahun ini, KKBS dengan kerjasama kolaborasi bersama Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan menjemput enam buah sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi termasuk pihak swasta yang berminat untuk sama-sama mengambil peluang bersejarah ini berganding bahu menghasilkan karya seni kreatif yang istimewa dan bermakna.

160220-Hashtag Gergasi (6).jpg

Selain itu, projek tersebut juga dapat memberi tarikan dan kegembiraan kepada orang ramai, dalam masa yang sama, orang ramai dapat mengenal dan menghargai hasil seni dan kreativiti belia tempatan, di samping turut membukakan peluang yang lebih besar yang boleh menjana kepada industri kreatif negara kita.

Antara sekolah yang terlibat dalam menjayakan #nbd36 adalah terdiri dari Sekolah Menengah Sultan Mohamad Jamalul Alam (SM SMJA); Politeknik Brunei; Kolej International Graduates Studies (IGS); Sekolah St. Andrew; Pusat Tingkatan Enam Sengkurong (PTES) dan SM Rimba I.

Pelita Brunei dalam temu bualnya bersama salah seorang peserta projek dari PTES, Awang Mohammad Asri bin Haji Hussin, selaku Pengawas Projek menjelaskan, selaras dengan tema sambutan tahun ini, PTES mengambil peluang untuk mengetengahkan dan menggabungkan pelbagai subjek yang mempamerkan keagamaan, alam semula jadi (flora dan fauna), kemakmuran, warisan dan budaya Brunei ke dalam hasil karya lukisan mereka.

160220-Hashtag Gergasi (4).jpg

Sementara itu, projek #nbd36 dari SM SMJA adalah bertemakan moden kontemporari dengan genre semi abstrak, dari Kolej IGS pula mempamerkan lukisan bertemakan makanan Brunei, manakala bagi SM Rimba I pula mengetengahkan tema berdasarkan mercu-tanda terkenal di keempat daerah di negara ini, dan Sekolah St. Andrew pula mempamerkan tema Flora dan Fauna Brunei.

160220-Hashtag Gergasi (2).jpg

Attachments
Created at 2/17/2020 4:39 PM by Lee Chin Foo
Last modified at 2/17/2020 4:41 PM by Lee Chin Foo