Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
ATLET CEMERLANG TERIMA GANJARAN

‚Äč170220-Skim Penggalak Sukan (1).jpg

[Sumber: Pelita Brunei]

Berita: Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman - Penerangan

Foto: Azmah Haji Ahad (Penerangan) & Hajah Ajijah Ali (KKBS)

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 17 Februari 2020 - Seramai 36 atlet, tujuh orang jurulatih, dua orang penolong jurulatih dan enam Persatuan Sukan Kebangsaan menerima Ganjaran Kemenangan Skim Penggalak Kecemerlangan Sukan (SPKS) pada majlis penyampaian yang diadakan di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, di sini.

Penerima-penerima tersebut merupakan atlet-atlet dari sukan Polo, Bola Jaring, Wushu, Boling Padang, Pencak Silat dan Karate yang telah berjaya dan meraih pingat di Sukan Asia Tenggara Ke-30 (Sukan SEA) pada 30 November hingga 11 Disember 2019 di Filipina.

 170220-Skim Penggalak Sukan (14).jpg

Berangkat ke Majlis tersebut ialah paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNOC); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah.

Juga berangkat Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar ibni Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

Keberangkatan kerabat diraja dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin. Jumlah ganjaran kemenangan SPKS yang diterima bagi kejohanan Sukan SEA adalah sebanyak BND76,100.00.

 170220-Skim Penggalak Sukan (4).jpg

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen merupakan antara penerima ganjaran kemenangan SPKS setelah berkenan menyertai Sukan Polo Berpasukan pada Kejohanan Sukan SEA Ke-30, Filipina yang lalu, yang juga berkenan disertai oleh DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah, Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Qawi ibni Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar.

 170220-Skim Penggalak Sukan (7).jpg

Sementara itu, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah yang mengetuai Pasukan Bola Jaring Negara Brunei Darussalam juga berkenan menerima ganjaran SPKS pada majlis tersebut.

170220-Skim Penggalak Sukan (6).jpg

Sukan Polo telah meraih satu pingat emas bagi acara Division B (0 - 2) dan satu pingat Gangsa bagi acara Division A (4 - 6). Skim ganjaran kemenangan SPKS yang diperoleh oleh para atlet, jurulatih dan Persatuan Polo Diraja Brunei secara keseluruhan pada kejohanan ini adalah sebanyak BND14,700.

 170220-Skim Penggalak Sukan (8).jpg

170220-Skim Penggalak Sukan (5).jpg

Manakala sukan Wushu menerima jumlah keseluruhan ganjaran kemenangan SPKS BND34,700 setelah berjaya meraih satu pingat emas bagi acara Men's Nandao + Men's NanGun, tiga pingat perak bagi acara Women's TaijiQuan, Men's TaijiQuan dan Men's Duillian, dua pingat gangsa bagi acara Men's TaijiJian dan Women's TaijiJian. Sukan Boling Padang telah meraih dua pingat perak bagi acara Women's Pair dan Men's Fours dan menerima jumlah ganjaran keseluruhan sebanyak BND12,600.

Sukan Bola Jaring pula menerima ganjaran keseluruhan BND8,400 setelah memperoleh satu pingat gangsa. Sementara Sukan Karatedo turut meraih satu pingat gangsa bagi acara Men's Kumite - 67kg. Skim ganjaran kemenangan SPKS yang diperoleh oleh para atlet, jurulatih dan Persatuan Karatedo Negara Brunei Darussalam pada kejohanan ini adalah secara keseluruhan sebanyak BND2,900.

Sukan Pencak Silat pula meraih satu pingat gangsa bagi acara Tunggal Wanita dan menerima ganjaran kemenangan keseluruhan sebanyak BND2,800. Atlet yang menerima ganjaran kemenangan yang tertinggi merupakan atlet sukan Wushu, iaitu Awang Mohammad Adi Salihin bin Roslan menerima BND10,000 atas kejayaan beliau meraih satu pingat emas bagi acara Men's Nandao + Men's NanGun. Manakala dua orang jurulatih dari sukan Wushu menerima ganjaran kemenangan yang tertinggi iaitu Zhao Chunjie dan Li Hui yang menerima sebanyak BND3,600 setiap seorang.

 170220-Skim Penggalak Sukan-infofoto.1.jpg

Persekutuan Wushu Negara Brunei Darussalam juga menerima ganjaran kemenangan tertinggi iaitu sebanyak BND34,700. Penyampaian ganjaran kemenangan kepada atlet, jurulatih dan persatuan sukan kebangsaan telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

170220-Skim Penggalak Sukan-infofoto.2.jpg

Terdahulu, dalam sembah alu-aluan oleh Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud selaku Pengerusi Majlis menjelaskan, pencapaian istimewa di Sukan SEA ini amat tinggi nilainya bukan sahaja bagi para atlet dan kontinjen bahkan bagi seluruh Negara Brunei Darussalam.

Kebanggaan ini jelasnya, sangatlah dirasakan lebih-lebih lagi dengan penghormatan yang diberikan melalui penghargaan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui titah baginda bersempena Tahun Baharu Masihi 2020.

"Pencapaian dan kejayaan yang amat membanggakan telah diraih hasil daripada kepimpinan, sifat pemedulian dan sokongan baginda dan juga BDNOC dalam memastikan pengurusan kontinjen negara sentiasa terjaga dan pencapaian itu adalah hasil kepercayaan, kegigihan serta semangat para atlet sendiri di samping latihan yang konsisten, disiplin dan profesionalisme yang tinggi serta komitmen dalam sukan masing-masing".

"Penglibatan ahli-ahli kerabat diraja dalam Sukan SEA ini juga telah menyuntik semangat atlet-atlet kita ke arah sama-sama mengharumkan nama negara di peringkat serantau dan antarabangsa sehinggakan mencapai kejayaan yang terbaik di luar negara sejak tahun 1977," ujarnya.

Bagi Kejohanan Sukan SEA Ke-30, Tahun 2019 jelasnya, negara telah berjaya meraih dua pingat emas, lima pingat perak dan enam pingat gangsa. Skim Ganjaran Kemenangan adalah seperti terkandung di dalam Dasar Sukan Negara yang diperkenalkan pada tahun 1991 untuk kemudahan insentif kepada atlet-atlet yang cemerlang.

Menuju kecemerlangan dalam bidang sukan, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menyediakan SPKS bagi memberikan dorongan kepada para atlet agar mereka sentiasa terus menyumbangkan komitmen mereka kepada negara melalui pencapaian pingat di kejohanan peringkat serantau dan antarabangsa.

Majlis seumpama ini diadakan adalah untuk memberikan galakkan kepada para atlet bagi mencapai satu-satu tahap kejayaan dalam menjalani latihan secara bersungguh-sungguh agar dapat mengekalkan atau mencapai prestasi yang lebih tinggi di sukan serantau dan antarabangsa, di samping menyampaikan ganjaran berupa wang tunai kepada para atlet yang telah menunjukkan pencapaian cemerlang dalam bidang sukan masing-masing di peringkat serantau dan antarabangsa.

Skim ganjaran ini juga diberikan kepada jurulatih-jurulatih sukan kerana penglibatan mereka dalam perkembangan dan kemajuan dalam latihan. Semua ini adalah mengikut sepertimana yang termaktub dalam Dasar Sukan Negara.

170220-Skim Penggalak Sukan (11).jpg

Attachments
Created at 2/18/2020 2:24 PM by Lee Chin Foo
Last modified at 2/18/2020 2:26 PM by Lee Chin Foo