Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
PRIHATIN TERHADAP KESIHATAN MENTAL KANAK-KANAK

Gambar YBD.1.jpg

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 20 November 2020- Pada hari ini, 20 November, kita meraikan Hari Kanak-Kanak Sedunia (Universal Children's Day) yang membawakan tema, 'Membayangkan Semula (Merenung Semula) Dunia yang Lebih Baik' atau 'Reimagine a Better World'. Tahun ini merupakan tahun yang sangat mencabar bagi seluruh dunia akibat wabak COVID-19.

Negara Brunei Darussalam (NBD) juga tidak terkecuali menerima kesan akibat wabak ini, bukan sahaja terhadap prasarana negara seperti ekonomi dan sektor kesihatan, malah lebih ketara lagi kepada kanak-kanak dan para belia.

Dalam hubungan ini, Forum Kanak-Kanak ASEAN Ke-6 atau 6th ASEAN Children's Forum, yang dianjurkan oleh Kemboja pada 13 Oktober 2020, memfokuskan kepada impak COVID-19, memberikan peluang kepada kanak-kanak di rantau ini, untuk berkongsi pandangan mengenai isu-isu utama yang dihadapi dari perspektif negara masing-masing.

Delegasi NBD secara umum mengongsikan impak terhadap kesihatan mental yang disebabkan oleh kurangnya interaksi dan aktiviti sosial serta cabaran kaedah pembelajaran dalam talian. Walau bagaimanapun, kesan positif wabak ini membolehkan kita mengadaptasi kebiasaan baharu, meningkatkan penggunaan teknologi, kebersihan alam sekitar dan kesedaran tinggi mengenai kesihatan.

Perkara itu antara perincian yang disampaikan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin semasa menyampaikan perutusan bersempena Hari Kanak-Kanak Sedunia 2020 yang diraikan setiap 20 November setiap tahun.

Seterusnya, Yang Berhormat terus menerangkan bahawa cadangan forum berkenaan kepada ibu bapa dan keluarga telah dikemukakan bagi menangani impak COVID-19 kepada kanak-kanak dan orang muda, di antaranya adalah untuk sentiasa prihatin terhadap kesihatan mental kanak-kanak, meluangkan masa yang berkualiti bersama mereka dan mengelakkan daripada memberi tekanan untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang di dalam pembelajaran dan peperiksaan semasa keadaan yang tidak menentu ini.

Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia bertujuan untuk meningkatkan semangat kesatuan dan kesedaran mengenai hak dan kesejahteraan kanak-kanak khususnya dalam kalangan masyarakat, keluarga dan kanak-kanak sendiri. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mendengar suara mereka dan menitikberatkan cadangan dan pandangan mereka dalam membuat sebarang keputusan sama ada di peringkat keluarga, masyarakat, mahupun negara, ke arah membentuk masa hadapan yang lebih baik untuk semua.

Yang Berhormat juga menjelaskan bahawa pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sentiasa mengambil berat dan peka terhadap kesejahteraan kanak-kanak.

Melalui kaedah 'Whole of Nation' juga, pihak kerajaan akan terus bergiat aktif demi memastikan anak-anak kita akan sentiasa selamat dan hak-hak mereka akan terpelihara serta mengukuhkan ekosistem perlindungan kanak-kanak dan orang muda yang berumur di bawah 18 tahun di negara ini. Alhamdulillah, ke arah itu, beberapa inisiatif telah dilaksanakan.

Antaranya, Talian-talian bantuan kebangsaan seperti Talian ANAK 121 (A.N.A.K - Anak Negara Aset Kitani) oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan yang merupakan platform disediakan untuk kanak-kanak, ibu bapa, penjaga dan orang awam untuk menghubungi mengenai isu melibatkan kanak-kanak dan Talian 145 (Talian Harapan) oleh Kementerian Kesihatan, mengenai kesihatan mental.

Kementerian Pendidikan juga menyediakan talian bantuan bagi menyokong kesejahteraan dan kebajikan pelajar.

Seterusnya, pembentukan Rangka Kerja Perlindungan Kanak-Kanak atau National Framework on Child Protection (NFCP) semenjak awal tahun ini, dengan kerjasama padu pihak-pihak yang berkepentingan yang telah meneliti dokumen ini, bagi memastikan ia akan dilaksanakan secara berkesan, sebelum dilancarkan nanti.

Kemudian, penubuhan sebuah Daftar Kanak-Kanak dan Orang Muda yang Memerlukan Perlindungan ataupun 'Register of Children and Young Person in Need of Protection', bagi memudahkan pemantauan antara agensi terhadap kanak-kanak atau orang muda yang perlu diberikan perlindungan dengan cepat.

Akhir sekali, pembinaan bangunan baharu rumah perlindungan di bawah Kompleks Rumah Kebajikan, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) yang berkonsepkan 'Home' bagi menyediakan suasana tempat tinggal yang lebih selesa kepada penghuni kanak-kanak.

Yang Berhormat juga menerangkan bahawa peranan yang dimainkan oleh pelbagai pihak amat penting dalam berganding bahu memberikan bantuan serta sokongan kepada kanak-kanak bagi perkembangan mental, emosi, fizikal dan pendidikan, terutama dari golongan yang terdedah dan berisiko tinggi.

Sebagai contoh, Kempen 'Technology Devices' oleh Kementerian Pendidikan, menyediakan akses kepada sambungan internet dan rancangan TV berkonsepkan pendidikan bagi membantu pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan, memastikan mereka tidak ketinggalan dalam mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam talian.

Kemudian, bantuan pemakanan melalui catuan pemakanan sama ada di sekolah melalui Kementerian Pendidikan, mahupun bantuan oleh badan-badan bukan kerajaan, agar pelajar-pelajar akan lebih fokus dalam mengikuti pembelajaran.

Akhir sekali, bantuan peralatan sekolah bagi kanak-kanak yang memerlukan, yang aktif diselenggarakan oleh badan-badan korporat dan bukan kerajaan.

Alhamdulillah, semua ini memperlihatkan rasa tanggungjawab yang amat tinggi melalui Whole of Nation terhadap kesejahteraan kanak-kanak dan orang muda kita di negara ini, lebih-lebih lagi dalam keadaan mencabar ketika kita menyesuaikan dan menerapkan norma baharu.

"Marilah kita semua meraikan dan memastikan kesejahteraan kanak-kanak kita di negara ini berterusan, mereka merupakan harta yang tidak ternilai dan penerus generasi kita di masa hadapan serta InsyaaAllah, akan menjadi pemimpin suatu hari nanti dalam memastikan kemapanan ekonomi, kesejahteraan keluarga, agama dan kemakmuran negara," ujar Yang Berhormat.

"Dengan rendah hati, saya ingin mengucapkan 'Selamat Hari Kanak-Kanak Sedunia kepada seluruh kanak-kanak di Negara Brunei Darussalam, Anak Negara Aset Kitani," ucap Yang Berhormat mengakhiri perutusan sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia 2020.

World Children's Day.3.jpg


Attachments
Created at 11/21/2020 10:30 AM by Lee Chin Foo
Last modified at 11/21/2020 10:33 AM by Lee Chin Foo