​​​
  

Titah Kebawah Duli Yang Mulia Paduka Seri Baginda 

Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah,

Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,

Pada 23 Februari 1984 di Istana Nurul Iman​


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Duli-Duli Yang Maha Mulia, Tuan-Tuan Yang Terutama, Tuan-Tuan dan Puan.

Dengan rasa penuh gembira Beta alu-alukan kedatangan Duli-Duli Yang Maha Mulia, Tuan- Tuan Yang Terutama Presiden-Presiden dan Perdana Menteri-Perdana Menteri, Tuan-Tuan Yang Terutama, Tuan-Tuan dan Puan, dalam sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang pertama bagi memperingati dan meraikan pengambilan semula kemerdekaan yang penuh lagi berdaulat pada 1 Januari 1984.

Sejak mengambil alih tanggungjawab sepenuhnya sebagai sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat, Brunei Darussalam amat beruntung sekali kerana diterima untuk menganggotai Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara, ASEAN, Pertubuhan Persidangan Negara-Negara Islam, OIC dan Pertubuhan Negara-Negara Commonwealth dalam masa yang singkat. Yang demikian, Beta ingin mengambil peluang ini untuk menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada negara-­negara yang bertanggungjawab melancarkan kemasukan Brunei Darussalam ke dalam pertubuhan-pertubuhan itu. Adalah menjadi hasrat Beta untuk terus meningkatkan lagi hubungan dengan negara-negara tersebut yang memberi sokongan atas kemasukan Brunei Darussalam ke dalam pertubuhan-pertubuhan itu. Bagaimanapun dalam mengembangkan hubungan-hubungan yang baru itu, Brunei Darussalam tidak berhasrat untuk mengenepikan hubungan persahabatan yang terjalin sekian lama. Terutamanya, Beta ingin merakamkan setinggi penghargaan atas peranan yang dimainkan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen Elizabeth II dalam perkembangan negara kami dan dengan keikhlasan mengharapkan hubungan Brunei Darussalam dengan United Kingdom akan terus erat dan mesra di tahun-tahun yang akan datang.

Sejak mengambil alih semula tanggungjawab sepenuhnya sebagai sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat, Brunei Darussalam juga amat bertuah dalam beberapa keadaan. Ianya mempunyai peraturan politik yang mantap termasuk perkhidmatan awam yang kukuh, infra-struktur yang baik, kemudahan-kemudahan serta kedudukan sosial yang agak tinggi termasuk bilangan yang besar penduduk berpelajaran serta salah sebuah negara yang paling tinggi taraf hidupnya di Asia. Allah Subhanahu Wataala melimpahkan rahmatnya kepada Brunei Darussalam dengan adanya sumber-sumber asli yang begitu penting seperti minyak dan gas asli yang merupakan sumber pendapatan utama kami. Yang demikian, Kerajaan Beta sejak bertahun-tahun telah dapat membiayai rancangan perkembangannya dengan sumber-sumber kewangannya sendiri, di samping mengekalkan sejumlah besar lebihan setiap tahun untuk penanaman modal di sebarang laut.

Adalah menjadi hasrat Beta bagi mempastikan rancangan perkembangan termasuk memberi tanah dan perumahan untuk rakyat jati yang tidak mempunyai tanah itu dilaksanakan dengan penuh semangat untuk membolehkan rakyat Beta menikmati taraf hidup yang lebih baik dan maju. Memandangkan minyak dan gas merupakan sumber asli yang akan berkurangan adalah menjadi hasrat Beta untuk mempastikan pengeluaran minyak Brunei Darussalam kekal pada peringkat yang lebih rasional selaras dengan keperluan untuk melanjutkan lagi kemakmuran yang kini dinikmati oleh rakyat Beta. Di waktu yang sama Beta ingin mempastikan pelaburan luar negeri kami diuruskan dengan lebih efisien sementara usaha untuk mempelbagaikan ekonomi negara kami dipergiatkan lagi. Dalam usaha-usaha ini sebagai Ketua Negara juga Ketua Kerajaan Beta akan berusaha untuk melaksanakannya bagi faedah rakyat Beta.

Brunei Darussalam tidak pernah menjadi negeri jajahan tetapi mempunyai hubungan perjanjian istimewa dengan United Kingdom yang bermula sejak tahun 1847, tatkala Brunei menandatangani perjanjian persahabatan dan perdagangan dengan United Kingdom. Perjanjian ini kemudiannya diikuti pula dengan beberapa persetujuan yang termasuk memindahkan kepada United Kingdom antara lain tanggungjawab urusan luar Brunei kepada United Kingdom yang berkesudahan dengan perjanjian persahabatan dan kerjasama ditandatangani pada tahun 1979 dengan diputuskan bahawa Britain akan menyerahkan semua kuasa dan tanggungjawabnya kepada Brunei Darussalam mulai 31 Disember 1983. Dan mulai 1 Januari 1984, Brunei akan mengambil alih semula tanggungjawab antarabangsa yang sepenuhnya sebagai sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat. Tidak seperti negeri-negeri yang dijajah ketika mencapai kemerdekaan, Brunei Darussalam mengambil alih kedudukan sebagai sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat dengan pengisytiharan kemerdekaan tepat pada tengah malam 31 Disember 1983 yang kita raikan pada hari ini.

Sebagai negara yang mempunyai tanggungjawab antarabangsa terhadap Brunei sebelum kemerdekaan kami, adalah bertepatan sekali bilamana United Kingdom diwakili di sini dalam perayaan ini oleh Duli Yang Teramat Mulia Putera Wales sebagai wakil peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen Elizabeth II dan atas kehadirannya ini Beta ingin melafazkan penghargaan yang ikhlas.

Beta juga ingin melafazkan penghargaan yang ikhlas negara Beta serta rakyat Beta kepada negara-negara yang diwakili di sini dalam upacara yang penuh gemilang ini oleh Ketua-Ketua Negara, Ketua-Ketua Kerajaan serta pembesar-pembesar negara juga wakil-wakil mereka dan juga kepada mereka yang telah menyampaikan ucapan tahniah mereka kerana tidak dapat hadir sendiri pada hari ini.

Sebagai sebuah negara baru di tengah-tengah masyarakat antarabangsa ini, masalah yang dihadapi Brunei tidaklah berbeza dari yang dihadapi oleh kesemua anggota. Tugas bagi Kerajaan Beta yang demikian, adalah sukar tetapi mencabar. Lebih-­lebih lagi kerana rakyat dalam sebuah negara yang baru merdeka kerap membandingkan diri mereka dengan pengharapan-pengharapan masakini dengan dunia yang telah maju. Dalam menghadapi cabaran-cabaran itu Beta percaya rakyat Beta akan memenuhi kehendak tersebut dengan meningkatkan lagi usaha mereka dalam memainkan peranan mereka masing-masing demi untuk mencapai kemajuan dan kemakmuran dengan infra-struktur yang terdapat pada masa ini yang ditubuhkan di bawah rancangan kebangsaan terdahulu serta pengurusan yang bijaksana terhadap sumber-sumber yang terdapat di negara kita. Beta yakin Brunei akan dapat memenuhi cabaran-cabaran itu dengan izin Allah jua.

Bagaimanapun tanpa keamanan dan kemantapan politik, kemajuan ekonomi tidak akan wujud dan tanpa kemajuan ekonomi kemerdekaan dan kebebasan kita akan menjadi kucar-kacir. Dalam dunia yang semakin bebas, ditambah pula dengan keadaan ekonomi dunia yang semakin meleset, keperluan terhadap usaha-usaha kerjasama adalah semakin mendesak. Oleh yang demikian adalah menjadi dasar negara kami untuk bekerja bersama-sama dengan semua rakan dan sekutu ke arah pencapaian keamanan, kemajuan ekonomi serta persahabatan di kalangan negara-negara berasaskan persamaan, saling menghormati kemerdekaan kedaulatan dan keutuhan wilayah mereka dan dengan prinsip tidak campurtangan dalam ehwal negara-negara lain.

Brunei bertuah mempunyai negara-negara ASEAN sebagai jiran dan Brunei sendiri sebagai anggotanya dan yang mana Brunei sama-sama mempunyai tujuan dan matlamat yang setara. Sebagai anggota negara-negara Commonwealth, kami akan dapat meneruskan hubungan yang wujud dengan negara-negara yang mana kami mempunyai hubungan sejak sekian lama melalui perhubungan dengan United Kingdom. Sebagai sebuah Kesultanan Melayu Islam, kami menghargai pernyataan persahabatan dari negara-negara Islam terhadap Brunei. Kami juga menghargai ucapan-ucapan yang begitu mesra dari berbagai negara yang menjalin hubungan persahabatan dengan kami setelah pencapaian kemerdekaan kami. Kesemuanya ini menjadikan peralihan kami sebagai sebuah negara yang merdeka berjalan dengan lancar dan aman. Dengan adanya hubungan persahabatan dan muhibah itu dari masyarakat antarabangsa terhadap Brunei, kita penuh yakin dalam suasana ini Brunei akan dapat mengusahakan kemajuan ekonomi dan kerohanian bagi rakyatnya serta bekerja bersama-sama untuk keamanan, kemajuan dan kemakmuran di seluruh dunia.

Sebagai penutup, Beta ingin melafazkan harapan semoga para tetamu dari luar negeri berada dalam keadaan yang cukup selesa di negara ini dan sekali lagi ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan rakyat Beta atas penghormatan yang mereka berikan dengan kehadiran mereka ini yang bersama-sama kami merayakan kemunculan kami sebagai sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat. Terima kasih.​​



  

​Titah Kebawah Duli Yang Mulia Paduka Seri Baginda 

Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah,

Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,

Pada 23 Februari 1985

Sempena Ulangtahun Ke-1 Hari Kebangsaan

Negara Brunei Darussalam


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, segala puji-pujian bagi Allah Subhanahu wata’ala, seru sekalian ‘alam, salawat serta salam ke atas Junjungan kita Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam, kaum kerabat Baginda, sahabat-sahabat dan para pengikut Baginda yang setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.

Syukur Kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana semenjak Negara Brunei Darussalam mengambil alih semula tanggungjawab penuh sebagai sebuah negara merdeka lagi berdaulat pada tahun lepas, rakyat dan penduduk Negara ini terus ­menerus dapat menikmati keadaan sosio-politik dan ekonomi yang mantap dan berkembang maju. Kerajaan kita juga dengan sokongan rakyat serta penduduk yang sentiasa bersatu-padu telah membuktikan keupayaannya memikul tanggungjawab sepenuhnya sesuai dengan taraf negara merdeka.

Kita juga telah diterima menjadi ahli penuh kepada berbagai-bagai pertubuhan antarabangsa pada misalnya ASEAN, OIC, Pertubuhan Negara-Negara Commonwealth dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Alhamdulillah, secara beransur-ansur kita telah dapat memainkan peranan yang aktif dan berkesan dalam pertubuhan-pertubuhan antarabangsa itu sesuai dengan sikap dan pendirian serta konsep Negara Brunei Darussalam. Insya Allah, Brunei Darussalam dari semasa ke semasa akan meneruskan pemeliharaan perhubungan persahabatan di kalangan antarabangsa atas dasar saling menghormati terhadap kemerdekaan, kedaulatan, persamaan dan keutuhan (kukuh) wilayah bagi semua negara yang bebas dari campur-tangan dari luar negeri.

Perhimpunan yang diadakan pagi ini adalah dimaksudkan sebagai Perbarisan Perpaduan. Ini amatlah bersesuaian lebih-lebih lagi pada awal zaman Negara kita menikmati semula kemerdekaan yang penuh lagi berdaulat. Perpaduan dalam ertikata yang sebenar-benarnya akan dapat menjamin perkembangan dan kemajuan sesebuah negara itu. Oleh itu, adalah mustahak bagi seluruh rakyat dan penduduk negara ini supaya hidup bersatu-padu di dalam keadaan yang bersefahaman, saling bekerjasama dan hormat-menghormati di antara satu dengan lain. Adalah sebaik-­baik amalan bagi mereka untuk terus-menerus mempunyai sikap hidup berdisiplin supaya perpaduan yang sudah sedia ada itu akan dapat dipertahankan dan akan terus dipelihara dan dipupuk di antara berbagai puak keturunan yang mencurahkan taat setia kepada Raja dan Negara ini. Apa jua anasir-anasir yang ingin menimbulkan salah faham dan kucar-kacir di kalangan masyarakat kita hendaklah dicegah supaya niat dan perbuatan mereka yang jahat itu akan dapat dipatahkan untuk selama-lamanya.

Bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Pertama Hari Kebangsaan Negara kita ini, kita sukacita mencatatkan penghargaan kita kepada Pegawai-Pegawai dan Anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei serta Pasukan Keselamatan yang telah menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka yang berat pada mempertahankan keselamatan dan menjaga kesejahteraan kita. Kita juga tidak lupa mengucapkan terima kasih dan tahniah kita kepada semua Pegawai-Pegawai dan seluruh kakitangan dalam Perkhidmatan Awam Kerajaan kita yang telah bekerja dengan tekun dan rajin, dan kepada seluruh rakyat dan penduduk yang cintakan keamanan dan kedamaian yang telah memberikan sumbangan dan kerjasama kepada Kerajaan kita dalam usaha-usahanya yang berkebajikan dan manfaat. Di samping itu; kita ingin juga mengambil peluang untuk mencatatkan penghargaan kita kepada semua yang telah melibatkan diri dan menyumbangkan tenaga di dalam menyempurnakan aturcara perayaan pada pagi ini, terutama kepada Jawatankuasa yang berkenaan dan juga kepada mereka yang telah mengambil bahagian pada menjayakan perayaan ini.

Akhirnya, marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan terus melimpahkan rahmat-Nya kepada Negara Brunei Darussalam dan segala manusia isi di dalamnya, supaya semua usaha-usaha berkebajikan yang kita laksanakan bagi kepentingan dan kemajuan Negara ini akan dapat disempurnakan dan akan mendapat keredaan Allah jua.

Sekian, Wabillahit Taufiq Wal-hidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarkatuh.​


  

​Titah Kebawah Duli Yang Mulia Paduka Seri Baginda 

Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah,

Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,

Pada 23 Februari 1986

Sempena Ulangtahun Ke-2 Hari Kebangsaan

Negara Brunei Darussalam


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, segala puji-pujian bagi Allah Subhanahu Wata’ala, seru sekalian alam, selawat serta salam ke atas Junjungan kita Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wassalam, kaum kerabat Baginda, sahabat-sahabat dan para pengikut Baginda yang setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.

Di saat yang berkat dan bersukut baik ini, Kita mengucap syukur Kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan izin-Nya jua, dapatlah kita meraikan Ulang Tahun Kedua Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dalam keadaan negara kita menikmati keamanan dan kemakmuran. Sambil kita memohon keredaan Allah Subhanahu Wata’ala, kita merenung kembali usaha-usaha dan kerja-kerja yang telah dilaksanakan sejak Negara Brunei Darussalam mencapai semula tarafnya sebagai sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat. Kita penuh yakin, usaha-usaha tersebut membuktikan keupayaan kita memikul tanggungjawab sepenuhnya terhadap masa depan negara kita, dan segala apa jua cabaran dan rintangan telah dapat kita tempuhi dengan azam dan tekad yang kuat dan dengan izin Allah jua. Namun demikian, kita juga harus beringat bahawa masih banyak 1agi kerja-kerja yang perlu kita ungkayahkan dan janganlah kita merasa leka tetapi kita hendaklah terus melipat-gandakan lagi usaha-­usaha yang berkebajikan. Dalam pada itu, adalah menjadi tanggungjawab bagi setiap rakyat dan penduduk negara ini untuk memelihara dan menjamin supaya suasana keamanan dan ketenteraman yang telah kita nikmati selama ini akan berterusan dan dapat pula dinikmati oleh anak cucu keturunan kita di masa akan datang.

Hari ini, dalam tempuh dua tahun kita menjadi sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat, kita berbangga kerana terdapat kemajuan-kemajuan yang telah kita capai. Di bidang arena antarabangsa, kita telah berjaya memainkan peranan yang aktif dan berkesan sesuai dengan dasar dan pendirian kita yang mangamalkan dasar bekerjasama dengan negara-negara sahabat ke arah pencapaian keamanan, kemajuan ekonomi dan persefahaman antarabangsa atas asas persamaan, saling hormat-menghormati kemerdekaan, kedaulatan dan keutuhan wilayah bagi semua negara, dan bebas dari campur tangan dari luar. Di dalam negeri, usaha-usaha kita untuk memperkukuhkan lagi pencapaian di bidang pembangunan, sosial dan ekonomi terus berkembang maju walaupun keadaan ekonomi dunia pada amnya sedang meleset. Rancangan Kemajuan Negara Yang Ke-5, bagi tempuh tahun 1986-1990, adalah dihasratkan ke arah usaha-usaha bagi membina negara, (yakni nation building), dengan tujuan untuk meningkatkan lagi kesempurnaan hidup seluruh rakyat serta penduduk Negara Brunei Darussalam di samping memperkukuhkan lagi kemajuan ekonomi dan sosial negara. Penubuhan institusi-institusi tertinggi seperti Universiti Brunei Darussalam, Institut Teknologi Brunei, adalah dihasratkan untuk melengkapkan rakyat negara ini dengan ilmu pengetahuan dan pegangan serta fahaman yang betul, juga bagi maksud melahirkan generasi yang penuh bertanggungjawab dan mempunyai kesedaran untuk terus membangun negara. Buku Undang-Undang Negara Brunei Darussalam yang baru telahpun diterbitkan yang mengandungi banyak undang-undang baru yang telah diluluskan dan yang lama telah dipinda atau dimansuhkan. Dengan adanya penyemakan semula, maka undang-undang yang ada itu disesuaikan dengan keadaan yang ada sekarang. Kita juga bersyukur kerana kedudukan pelaburan kita di luar negeri adalah berkeadaan kukuh dan terjamin, yang mana Alhamdulillah dari Crown Agents dalam bulan J ulai 1983 jumlah pelaburan kita sekarang telah meningkat dengan kadar lebih dari 53%.

Kerajaan Kita akan terus membuat perancangan yang teliti untuk menjamin kemajuan yang berterusan terutama sekali dalam bidang pertahanan, pelajaran, perubatan, pembangunan serta perhubungan. Mana-mana projek atau matlamat yang patut diutamakan, akan kita laksanakan dengan segera. Yang lainnya akan dilaksanakan menurut giliran dan keutamaan yang ditentukan. Kita sedar negara kita mempunyai bilangan penduduk yang kecil dan kita mengalami kekurangan tenaga manusia yang terlatih untuk melaksanakan projek-projek kemajuan. Oleh yang demikian, matlamat kita ialah untuk menambah bilangan rakyat yang mempunyai kemahiran dan pengalaman bukan saja di bidang akademik, tetapi juga di bidang teknikal dan professional supaya kemakmuran masa depan akan lebih terjamin lagi. Kita penuh yakin, dengan adanya kerjasama dan sokongan rakyat yang sanggup memikul tanggungjawab pada menyahut seruan Kerajaan Kita, bukan saja matlamat dan projek -projek kemajuan itu dapat dilaksanakan dengan sempurna, tetapi apa yang lebih penting lagi ialah supaya hasilnya akan dapat pula dinikmati bersama secara meluas, yakni oleh mereka yang bekerja teras dan yang tidak melepaskan peluang-­peluang yang halal serta kemudahan-kemudahan yang sememangnya disediakan oleh Kerajaan Kita.

Kita juga ingin mengulangi, adalah mustahak untuk kita hidup bersatu-padu dan sentiasa berwaspada terhadap apa jua anasir-anasir yang cuba menimbulkan salah faham dan membuat kucar-kacir dengan maksud yang jahat yakni merosakkan keamanan, kemerdekaan serta kedaulatan negara kita yang tercinta ini. Kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang tegas terhadap anasir-anasir tersebut supaya niat mereka yang jahat itu akan dicegah dan dihancurkan.

Bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Kita ini, Kita sukacita mencatatkan penghargaan Kita kepada pegawai-pegawai dan anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei yang telah menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka yang berat pada mempertahankan keselamatan dan menjaga kesejahteraan negara kita. Kita juga tidak lupa mengucapkan terima kasih dan penghargaan serta tahniah Kita kepada semua pegawai dan seluruh kakitangan dalam perkhidmatan awam Kerajaan Kita yang telah bekerja dengan tekun dan rajin serta amanah dan jujur, danjuga kepada seluruh rakyat dan penduduk yang cintakan keamanan dan kedamaian yang telah memberikan kerjasama kepada Kerajaan Kita dalam usaha-usahanya yang berkebajikan dan bermanfaat. Di samping itu, Kita ingin juga mengambil peluang untuk mencatatkan penghargaan Kita kepada semua yang telah melibatkan diri dan menyumbangkan tenaga pada menjayakan perayaan tahun ini, terutamanya kepada Jawatankuasa yang berkenaan dan juga kepada mereka yang mengambil bahagian dalam perayaan tersebut.

Akhirnya, marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan terus melimpahkan rahmat-Nya kepada Negara Brunei Darussalam ini, dan semua usaha berkebajikan yang kita laksanakan bagi kepentingan dan kemajuan Negara ini akan dapat disempurnakan dengan mendapat keredaan Allah jua.

Sekian, Wabillahit Taufiq Wal- Hidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarkatuh​


  

Titah Kebawah Duli Yang Mulia Paduka Seri Baginda 

Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah,

Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,

Pada 23 Februari 1987

Sempena Ulangtahun Ke-3 Hari Kebangsaan

Negara Brunei Darussalam

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, segala puji-pujian bagi Allah Subhanahu Wataala, seru sekalian alam, salawat serta salam ke atas junjungan kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, kaum kerabat Baginda, sahabat-sahabat dan para pengikut Baginda yang setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.

Bersempena dengan Ulang Tahun Ketiga Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala, kerana dengan izin-Nya jua dapatlah beta dan rakyat beta yang dikasihi bersama-sama meraikan hari yang bersejarah bagi Negara Brunei Darussalam, iaitu sebagai sebuah negara yang berdaulat lagi merdeka. Dalam tempuh tiga tahun sebagai sebuah negara dan bangsa yang merdeka lagi berdaulat, ianya telah kita lalui dengan aman dan tenteram dan terhindar dari segala bencana yang mana semua ini adalah dengan petunjuk dan keredaan Allah Subhanahu Wataala semata-mata.

Dalam jangka masa yang sama, beta juga telah dapat melihat dan merasakan kerjasama dan sokongan serta kepercayaan penuh daripada segenap peringkat dan lapisan rakyat di negara ini kepada kerajaan beta. Hasil daripada sokongan dan kepercayaan yang diberikan itu, kita telah dapat mencapai kemantapan politik, perkembangan dan kemajuan di bidang sosial dan ekonomi dan keharmonian serta persefahaman di kalangan masyarakat. Unsur-unsur yang beta nyatakan ini adalah penting untuk membuat negara kita ke arah kemajuan dan pembangunan yang pesat seperti yang dihasratkan.

Sejajar dengan aspirasi sebagai sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat, adalah menjadi teras kerajaan beta untuk memberikan perhatian utama kepada soal-soal kesejahteraan, kebajikan, kemakmuran serta jaminan masa depan bagi rakyat dan generasi yang akan datang. Ini dapat dilihat dengan sebab bertambahnya pengalaman di bidang pengurusan di dalam kerajaan beta, melalui perjanjian-­perjanjian yang ditandatangani baru-baru ini, maka kerajaan beta telah menjadi pemegang saham yang terbesar dalam perusahaan LNG. Dalam pada itu juga, bagi pencapaian ke arah yang beta nyatakan tadi, kerajaan beta telah mengungkayahkan berbagai langkah dalam bidang ekonomi dan kemajuan. Usaha-usaha ini adalah semata-mata untuk mempelbagaikan sumber ekonomi negara daripada bergantung sangat kepada sumber-sumber alam, yakni minyak dan gas. Kerajaan beta adalah sangat menyedari pada hakikat bahawa ekonomi negara tidak akan dapat berterusan bergantung hanya kepada penghasilan minyak dan gas.

Di antara langkah-langkah dan projek-projek yang beta maksudkan itu ialah seperti mengadakan pendaftaran lesen perkapalan di Negara Brunei Darussalam, yang mana bertujuan untuk memajukan perindustrian perkapalan di negara ini, penubuhan industri-industri kecil (light industries) dan meningkat dan memperluaskan keupayaan perkhidmatan Penerbangan Diraja Brunei, supaya lebih kemas lagi dan bertaraf antarabangsa. Perlaksanaan projek-projek ini adalah juga bertujuan untuk memperkukuhkan lagi taraf ekonomi dan sosial negara dan memberikan peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan.

Di samping itu, dengan keadaan ekonomi kita yang mantap dan stabil, kerajaan beta akan berterusan merancangkan projek-projek yang akan benar-benar memberikan manfaat dan faedah kepada semua rakyat beta di negara ini, iaitu seperti di bidang pelajaran, kesihatan, perhubungan dan perkhidmatan sosial yang meliputi infrastruktur perindustrian dan perniagaan dengan menurut keupayaan dan keutamaan jua.

Di dalam menyelenggarakan apa jua bentuk rancangan kemajuan dan pembangunan negara, adalah menjadi hasrat kerajaan beta untuk mempastikan penglibatan pihak swasta di negara ini untuk bekerjasama dalam melaksanakan rancangan-rancangan tersebut dengan mengikut kemampuan dan keupayaan mereka. Hendaknyalah setiap peluang yang diberikan itu akan dilaksanakan dengan penuh dedikasi dan perasaan tanggungjawab terhadap kemajuan dan perkembangan negara. Semestinyalah pihak swasta di negara ini akan dapat menyiapkan kerja-kerja yang diberikan mengikut jangka waktu yang ditetapkan dan dibuat dengan sempurna serta perasaan penuh jujur dan amanah, bukannya semata-mata untuk mendapatkan keuntungan.

Penyusunan semula kabinet pada tahun lepas, dalam mana beberapa kementerian baru telah ditambah, dan diikuti pula dengan perlantikan beberapa orang timbalan menteri, adalah semata-mata bertujuan untuik mengemaskinikan jentera pentadbiran negara selaras dengan perkembangan kita sebagai sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat. Dengan wujudnya satu pentadbiran yang cekap, berkesan lagi bersih dan amanah serta accessible, maka dapatlah kerajaan beta mendengarkan dan mengatasi segala pengaduan masalah dan kesulitan yang dihadapi oleh rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam. Adalah beta harapkan saluran-saluran yang telah disediakan ini akan digunakan tanpa ragu-ragu dan dengan perasaan penuh tanggungjawab oleh segenap lapisan rakyat beta untuk mengemukakan secara langsung segala masalah dan kesulitan mereka kepada pihak-pihak kerajaan yang bertanggungjawab mengenai masalah-masalah tersebut, bukannya dengan mengadukan kepada pihak-pihak yang tidak kena-mengena dengan pentadbiran kerajaan, yang mana nanti akan menggunakan pengaduan-­pengaduan tersebut sebagai batu loncatan untuk memenuhi kepentingan diri mereka sendiri.

Dalam pada itu juga, di dalam jentera pentadbiran negara, adalah beta harapkan supaya penilaian dan penelitian yang terperinci akan dilakukan terlebih dahulu sebelum sebarang pembaharuan dan penambahan dilakukan. Ini adalah untuk mempastikan tidak terdapat sebarang kerja bertindih-tindih, yakni ‘duplication’ di dalam sistem pentadbiran dan juga pembaziran tenaga kerja.

Menuju ke arah ini, adalah penting bagi setiap jentera di dalam pentadbiran saling hubung-menghubungi di antara satu dengan lain, dan mengadakan penyelarasan kerja pada setiap masa.

Di peringkat perhubungan antarabangsa, dalam waktu yang singkat ini, Negara Brunei Darussalam telah memainkan peranan mengikut keupayaan kita. Negara Brunei Darussalam telah menyuarakan dengan tegas dan lantang mengenai dengan pendiriannya ke atas isu-isu serantau dan dunia antarabangsa di forum-forum serantau dan antarabangsa. Hasil daripada kemantapan sosio-ekonomi dan politik dalam negeri, disertai dengan keupayaan kita untuk melaksanakan penglibatan di peringkat serantau dan antarabangsa negara-negara luar bertambah yakin kepada kita. Adalah menjadi hasrat beta untuk mempertingkatkan lagi persahabatan dan bidang kerjasama ekonomi dan sosial dengan negara-negara ASEAN dan semua negara-negara sahabat yang berlandaskan kepada prinsip saling hormat­-menghormati terhadap kemerdekaan, kedaulatan, persamaan dan integrity wilayah yang bebas dari campur tangan di dalam hal-ehwal dalam negeri.

Sehubungan dengan tema Hari Kebangsaan pada tahun ini iaitu “BERSATU KE ARAH KEAMANAN DAN KEMAJUAN”, beta ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada belia-belia di negara ini pada khususnya, dan juga seluruh rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam pada amnya, supaya tampil ke hadapan menyahut dan memikul seruan-seruan dan aspirasi kerajaan. Di dalam proses membangun negara, yakni ‘nation-building’, dan mempastikan ‘continuity’ kemerdekaan dan kedaulatan bangsa, agama dan negara, ianya adalah juga bergantung kepada tenaga mental serta fizikal dan kesedaran belia-belia di dalam negeri memikul tanggungjawab. Belia-belia adalah penggerak dan pendukung kepada semua dasar dan matlamat kerajaan untuk membawa bangsa dan negara ke arah keamanan, perpaduan, kemajuan dan kemakmuran hidup. Bagi pencapaian ke arah ini adalah perlu bagi belia-belia di negara ini memainkan peranan dengan cara yang betul dan teratur, bukannya sebagai anggota masyarakat yang tidak acuh dan tidak mengambil indah kepada keadaan sekeliling mereka. Untuk menjamin masa depan negara dan mempertahankan kemerdekaan, kedaulatan bangsa dan kesucian agama, Negara Brunei Darussalam memerlukan belia-belia yang berdisiplin, tahan lasak, berdikari, bertanggungjawab dan taat setia kepada bangsa dan negara, dan cinta kepada agama.

Sejajar dengan ajaran Agama Islam yang suci, hendaknyalah belia-belia dan rakyat Negara Brunei Darussalam pada amnya akan sentiasa bersatu padu dan bermuafakat di dalam kehidupan seharian dan memberikan kerjasama kepada pihak yang berwajib untuk menjaga keselamatan negara daripada musuh dan ancaman anasir-anasir jahat.

Belia-belia negara ini mestilah menghindarkan diri mereka daripada pengaruh­-pengaruh dadah, kerana belia-belia yang menjadi penagih dadah adalah merugikan bangsa dan negara. Di sebaliknya belia-belia mestilah memerangi penyalahgunaan dadah dan membasmi masalah-masalah sosial di negara ini seperti tabiat merosak harta benda dan kemudahan-kemudahan awam, pengotoran alam sekitar, dan sifat tidak bertolak ansur di dalam penggunaan jalan raya.

Bersempena dengan hari yang bersukut baik ini, beta sukacita mencatatkan penghargaan kepada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Pasukan Polis Diraja Brunei yang telah menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka pada menjaga dan mempertahankan keselamatan negara. Beta juga mengucapkan terima kasih kepada pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan yang telah bekerja dengan tekun dan rajin serta amanah dan jujur, dan juga kepada seluruh rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang cintakan keamanan dan kedamaian yang telah memberikan kerjasama kepada kerajaan beta dalam usaha-usahanya yang berkebajikan dan bermanfaat. Seterusnya beta juga tidak lupa mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada semua Ahli Jawatankuasa Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini, dan juga kepada rakyat dan penduduk yang telah melibatkan diri dan menyumbangkan tenaga pada menjayakan perayaan ini.

Marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah Subhanahu Wataala akan terus melimpahkan rahmat-Nya kepada Negara Brunei Darussalam ini, dan semua usaha berkebajikan yang kita laksanakan bagi kepentingan dan kemajuan negara ini, akan dapat disempurnakan dengan mendapat keredaan Allah jua.

Sekian, Wabillahit Taufik Wal-Hidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.​



  

​Titah Kebawah Duli Yang Mulia Paduka Seri Baginda 

Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah,

Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,

Pada 23 Februari 1988

Sempena Ulangtahun Ke-4 Hari Kebangsaan

Negara Brunei Darussalam


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, segala puji-pujian bagi Allah Subhanahu Wataala, seru sekalian alam, selawat serta salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, kaum kerabat Baginda, sahabat­sahabat dan para pengikut Baginda yang taat lagi jujur hingga ke akhir zaman.

Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala, kerana dengan izin dan limpah rahmat-Nya jua, maka rakyat dari penduduk Negara Brunei Darussalam telah dapat menikmati suasana aman, tenteram, kemakmuran dan juga kemajuan di pelbagai bidang sejak ianya menjadi sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat. Bersempena hari dan sukut yang baik lagi penuh bersejarah ini, beta sukacita merakamkan setinggi-­tinggi penghargaan dan terima kasih kepada segenap lapisan rakyat dan penduduk di negara ini, termasuk pegawai-pegawai serta kakitangan kerajaan dan anggota-anggota pasukan keselamatan yang mana dalam melalui tahun-tahun kemerdekaan, telah menampakkan sokongan dan kerjasama yang semakin kukuh kepada kerajaan beta dalam sama-sama berusaha untuk menjamin keselamatan, ketenteraman dan pembangunan negara yang sama-sama kita cintai ini. Beta dapat merasakan, daripada sokongan dan kerjasama yang diberikan itu, akan perasaan megah rakyat dan penduduk negara ini menikmati kemerdekaan dan kedaulatan negara dan bangsa. Adalah beta harapkan semangat yang telah ditunjukkan itu akan sentiasa berterusan terjalin untuk membawa Negara Brunei Darussalam ke arah kemajuan dan pembangunan yang pesat serta mewujudkan suasana kemantapan politik dan sosial yang berkekalan, insya-Allah. Walau bagaimanapun, dalam keadaan negara menikmati suasana aman dan tenteram ini, terdapat juga golongan-golongan yang cuba menggugat kestabilan sosial dan politik di negara ini dengan memesongkan dan mengelirukan pemikiran rakyat dengan dakyah-dakyah politik mereka yang mana mereka sendiri tidak jelas dan pasti dengan apa yang mereka hendak capai, tetapi cuba meniru-niru apa yang dibuat oleh orang lain. Mereka yang menggelarkan diri mereka sebagai pemimpin politik ini adalah mereka yang menjalankan perusahaan dan perniagaan sendiri dan telah diberikan peluang oleh kerajaan beta bagi menyiapkan berbagai projek pembangunan. Akan tetapi, mereka telahpun gagal dalam perusahaan mereka dan di sebaliknya menyalahkan kerajaan beta di atas kegagalan mereka itu. Di samping itu, mereka juga berpeluang untuk melanjutkan pelajaran mereka di luar negeri seperti United Kingdom, akan tetapi telah kembali tanpa memperolehi sebarang kelulusan. Bersandarkan kepada kegagalan mereka ini, kebolehan mereka untuk memimpin rakyat adalah dipersoalkan, kerana mereka sendiri tidak dapat menguruskan kepentingan-kepentingan mereka dengan teratur apatah lagi untuk mentadbirkan negara. Kepada golongan-golongan seperti ini, kerajaan beta tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mereka. Kepada rakyat dan penduduk negara ini, beta ingin mengingatkan supaya berwaspada dengan dakyah-­dakyah yang memberikan janji-janji manis tetapi kosong dan tidak berasas sama sekali.

Kerajaan beta adalah sentiasa mengambil berat untuk mempastikan kemajuan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini bagi jangka masa panjang, iaitu dengan mengungkayahkan berbagai-bagai rancangan pembangunan dan mempelbagaikan ekonomi Negara Brunei Darussalam. lni termasuklah juga perhatian yang teliti telahpun diberikan ke atas bidang pelajaran, kesihatan dan perhubungan di negara ini. Kerajaan beta telahpun menyusun semula dan mengemaskinikan sistem pelajaran di negara ini, untuk menentukan tenaga-tenaga mahir akan dapat dihasilkan bagi menampung keperluan-keperluan pembangunan dan kemajuan ekonomi negara. Selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi yang berkemahiran dan berkeupayaan untuk menggerakkan jentera pembangunan, bidang kesihatan juga telah diberikan perhatian yang khusus oleh pihak kerajaan bagi menjamin masyarakat dan penduduk di negara ini adalah sentiasa dalam keadaan sihat, baik dari segi fizikal dan mental mereka. Menyedari akan pentingnya peranan perhubungan di dalam pembangunan negara dan perdagangan dengan dunia luar, berbagai rancangan permodenan sistem perhubungan di negara ini telahpun diungkayahkan dan akan dilaksanakan. Dalam pada itu, kerajaan beta adalah sangat mengalu-alukan pelabur­-pelabur asing untuk melabur dan mengadakan usahasama dengan anak-anak tempatan di bidang-bidang perindustrian dengan rnemberikan kemudahan-kemudahan asas yang diperlukan.

Usaha juga telah ditumpukan pada mengemaskinikan jentera pentadbiran, dalam mana kerajaan beta sedang giat berusaha mendatangkan pakar-pakar dari luar negeri bagi mengajar kaedah-kaedah pentadbiran moden kepada pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan, untuk membantu pembentukan satu sistem pentadbiran yang efisien, berkesan lagi bersih sepertimana yang dihasratkan. Bagi pencapaian ini, sebagaimana yang selalu beta nyatakan, adalah perlu bagi pegawai-pegawai dan kakitangan di negara ini untuk sentiasa bekerjasama di antara satu dengan lain dan mewujudkan persefahaman untuk sama-sama bertanggungjawab dalam mengusai jentera-jentera pentadbiran kerajaan.

Di bidang antarabangsa, Negara Brunei Darussalam adalah mengambil berat akan peri mustahaknya mewujudkan suasana politik serantau yang mantap lagi stabil. Kemantapan dan kestabilan ini dapat dicapai jika terjalin persefahaman terhadap kepentingan bersama di kalangan masyarakat serantau. Bagi mencapai matlamat ini, Negara Brunei Darussalam sepertimana yang telah beta nyatakan di dalam Persidangan Ketua-Ketua Kerajaan ASEAN kali ke-3, yang telah berlangsung di Manila baru-baru ini, telah memberikan kesediaan dan kesanggupan kita dalam mengungkayahkan rancangan-rancangan belia ASEAN. Ini tidak lain dan tidak bukan adalah semata-mata bagi Negara Brunei Darussalam untuk sama-sama memainkan peranan dalam mewujudkan persefahaman dan setiakawan di kalangan Pertubuhan ASEAN. Kerana dengan wujudnya faktor-faktor itu nanti akan mempermudah dan mempercepatkan lagi usaha-usaha kerjasama politik dan ekonomi dalam Pertubuhan ASEAN.

Sejajar dengan prinsip dasar luar negeri Negara Brunei Darussalam di dalam perhubungan antarabangsa, Negara Brunei Darussalam juga telah memperluaskan hubungan-hubungan persahabatan dengan beberapa buah negara di Benua Afrika. Ini membuktikan bahawa Negara Brunei Darussalam tidak mengenal warna kulit di dalam mewujudkan persahabatan, tetapi adalah bersandarkan kepada prinsip­-prinsip persamaan, kejujuran dan saling hormat-menghormati di antara satu dengan lain, dan bebas daripada campurtangan di dalam hal-ehwal dalam negeri masing-masing.

Pada Hari Ulang Tahun Kemerdekaan Negara Brunei Darussalam ini, beta ingin mengingatkan kepada semua rakyat dan penduduk, khususnya belia-belia di negara ini, akan betapa pentingnya bagi kita semua untuk mewujudkan ketahanan diri dan bangsa dalam menghadapi cabaran-cabaran kancah ekonomi dan politik antarabangsa. Matlamat ini dapat dicapai jika kita semua menyedari akan perlunya memperkukuhkan negara kita dalam mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan bangsa dan negara serta kesucian agama. Menuju ke arah ini, adalah perlu bagi setiap rakyat dan penduduk di negara ini menanamkan semangat untuk sentiasa berdisiplin, cergas dan mengikut lunas-lunas budaya bangsa di dalam melakukan apa jua tanggungjawab dan kerja-kerja yang diamanahkan kepada mereka, dan di dalam kehidupan seharian. Rakyat yang sentiasa cergas dan berdisiplin lagi bertanggungjawab akan memudahkan kerajaan untuk menyelenggarakan dan melaksanakan undang-undang serta peraturan-peraturan, yang mana semata-mata adalah diniatkan untuk membisaikan dan membentuk satu masyarakat yang sejahtera lagi bertamadun. lanya juga akan dapat membantu pihak kerajaan dalam menggerakkan jentera-jentera pembangunan dan mempertahankan keselamatan negara daripada sebarang ancaman musuh dan anasir-anasir yang tidak diingini.

Di samping itu, rakyat yang berdisiplin lagi berbudaya tidak akan sentiasa mengharapkan ataupun bergantung sepenuhnya kepada kerajaan untuk mendapatkan sumber-sumber bantuan, baik berbentuk kewangan ataupun material, malahan mereka akan menjadi anggota masyarakat yang sentiasa berdikari dan berusaha untuk memperbaiki taraf penghidupan mereka. Rakyat juga hendaklah sentiasa memberikan pertolongan secara sukarela dan sedia tampil ke hadapan apabila tenaga mereka diperlukan tanpa mengharapkan sebarang ganjaran, serta mereka juga hendaklah berdedikasi dan mempunyai rasa bangga ke atas setiap pekerjaan yang mereka lakukan dan sentiasa berusaha untuk menghasilkan kerja yang lutanan lagi bermutu. Ini adalah satu-satunya kualiti yang patut ada pada diri kita semua dan ianya sangat-sangat diharapkan oleh negara kita yang sedang membangun.

Sebagai rakyat Brunei, adalah juga penting bagi kita semua untuk mempertahankan ciri-ciri kebudayaan kita sebagai orang Brunei yang mana sentiasa galat-mengalati di antara satu dengan lain, bermaruah, beradat-istiadat dan juga taat beragama dan beribadat. Ciri-ciri ini adalah satu lambang yang menjadi kemegahan kepada kita semua di negara ini. Adalah beta hasratkan ciri-ciri budaya yang beta nyatakan itu akan sentiasa diperkembangluaskan dengan menanamkan semangat-semangat itu kepada generasi-generasi muda yang masih di bangku sekolah. Kerana dengan gabungan rakyat yang berdisiplin lagi cergas serta berbudaya, maka kita akan dapat membawa negara dan bangsa yang kita cintai ini ke arah satu zaman kegemilangan dalam mana rakyat dan penduduk di dalamnya sentiasa di dalam keadaan aman, tenteram serta makmur, dan bebas daripada gejala-gejala sosial dan sifat negatif. Ini adalah sejajar dengan tema hari kebangsaan pada tahun ini yang berbunyi: “BERDISIPLIN CERGAS, BERBUDAYA, NEGARA BAHAGIA”.

Bagi menghasilkan rakyat dan penduduk yang berdisiplin cergas lagi berbudaya, seperti yang beta hasratkan, kerajaan beta di samping menyediakan keperluan-keperluan asas yang lain juga akan menyediakan kemudahan-kemudahan sukan dan riadah iaitu dengan mengadakan bangunan-bangunan pusat sukan di kesemua daerah di negara ini, yang mana nanti akan dilengkapi dengan berbagai-bagai kelengkapan dan akan dapat menampung kehendak-kehendak ramai.

Buat mengakhiri ucapan beta ini, beta sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat dan penduduk di negara ini termasuk pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan, dan juga anggota-anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Pasukan Polis Diraja Brunei yang mana telah rnemberikan kerjasama kepada kerajaan beta dengan bekerja dengan penuh tekun dan rajin serta amanah dan jujur di dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka, dan juga pada menjaga dan mempertahankan keselamatan negara. Beta juga tidak lupa mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada semua ahli-ahli jawatankuasa sambutan pada tahun ini, dan juga kepada rakyat dan penduduk yang telah melibatkan diri dan menyumbangkan tenaga pada menjayakan perayaan ini. Marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah Subhanahu Wataala akan terus melimpahkan rahmat-Nya, dan akan sentiasa memberikan kemakmuran serta keamanan serta menghindarkan daripada apa jua ancaman dan malapetaka kepada, negara, rakyat, penduduk dan sekalian isi di dalamnya.


  

​Titah Kebawah Duli Yang Mulia Paduka Seri Baginda 

Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah,

Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,

Pada 23 Februari 1989

Sempena Ulangtahun Ke-5 Hari Kebangsaan

Negara Brunei Darussalam


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, segala puji-pujian bagi Allah Subhanahu Wataala, seru sekalian alam, selawat serta salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, kaum kerabat Baginda, sahabat­sahabat dan para pengikut Baginda yang taat lagi jujur hingga ke akhir zaman.

Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala, kerana dengan izin dan limpah rahmat-Nya jua, maka rakyat dari penduduk Negara Brunei Darussalam telah dapat menikmati suasana aman, tenteram, kemakmuran dan juga kemajuan di pelbagai bidang sejak ianya menjadi sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat. Bersempena hari dan sukut yang baik lagi penuh bersejarah ini, beta sukacita merakamkan setinggi-­tinggi penghargaan dan terima kasih kepada segenap lapisan rakyat dan penduduk di negara ini, termasuk pegawai-pegawai serta kakitangan kerajaan dan anggota-anggota pasukan keselamatan yang mana dalam melalui tahun-tahun kemerdekaan, telah menampakkan sokongan dan kerjasama yang semakin kukuh kepada kerajaan beta dalam sama-sama berusaha untuk menjamin keselamatan, ketenteraman dan pembangunan negara yang sama-sama kita cintai ini. Beta dapat merasakan, daripada sokongan dan kerjasama yang diberikan itu, akan perasaan megah rakyat dan penduduk negara ini menikmati kemerdekaan dan kedaulatan negara dan bangsa. Adalah beta harapkan semangat yang telah ditunjukkan itu akan sentiasa berterusan terjalin untuk membawa Negara Brunei Darussalam ke arah kemajuan dan pembangunan yang pesat serta mewujudkan suasana kemantapan politik dan sosial yang berkekalan, insya-Allah. Walau bagaimanapun, dalam keadaan negara menikmati suasana aman dan tenteram ini, terdapat juga golongan-golongan yang cuba menggugat kestabilan sosial dan politik di negara ini dengan memesongkan dan mengelirukan pemikiran rakyat dengan dakyah-dakyah politik mereka yang mana mereka sendiri tidak jelas dan pasti dengan apa yang mereka hendak capai, tetapi cuba meniru-niru apa yang dibuat oleh orang lain. Mereka yang menggelarkan diri mereka sebagai pemimpin politik ini adalah mereka yang menjalankan perusahaan dan perniagaan sendiri dan telah diberikan peluang oleh kerajaan beta bagi menyiapkan berbagai projek pembangunan. Akan tetapi, mereka telahpun gagal dalam perusahaan mereka dan di sebaliknya menyalahkan kerajaan beta di atas kegagalan mereka itu. Di samping itu, mereka juga berpeluang untuk melanjutkan pelajaran mereka di luar negeri seperti United Kingdom, akan tetapi telah kembali tanpa memperolehi sebarang kelulusan. Bersandarkan kepada kegagalan mereka ini, kebolehan mereka untuk memimpin rakyat adalah dipersoalkan, kerana mereka sendiri tidak dapat menguruskan kepentingan-kepentingan mereka dengan teratur apatah lagi untuk mentadbirkan negara. Kepada golongan-golongan seperti ini, kerajaan beta tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mereka. Kepada rakyat dan penduduk negara ini, beta ingin mengingatkan supaya berwaspada dengan dakyah-­dakyah yang memberikan janji-janji manis tetapi kosong dan tidak berasas sama sekali.

Kerajaan beta adalah sentiasa mengambil berat untuk mempastikan kemajuan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini bagi jangka masa panjang, iaitu dengan mengungkayahkan berbagai-bagai rancangan pembangunan dan mempelbagaikan ekonomi Negara Brunei Darussalam. lni termasuklah juga perhatian yang teliti telahpun diberikan ke atas bidang pelajaran, kesihatan dan perhubungan di negara ini. Kerajaan beta telahpun menyusun semula dan mengemaskinikan sistem pelajaran di negara ini, untuk menentukan tenaga-tenaga mahir akan dapat dihasilkan bagi menampung keperluan-keperluan pembangunan dan kemajuan ekonomi negara. Selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi yang berkemahiran dan berkeupayaan untuk menggerakkan jentera pembangunan, bidang kesihatan juga telah diberikan perhatian yang khusus oleh pihak kerajaan bagi menjamin masyarakat dan penduduk di negara ini adalah sentiasa dalam keadaan sihat, baik dari segi fizikal dan mental mereka. Menyedari akan pentingnya peranan perhubungan di dalam pembangunan negara dan perdagangan dengan dunia luar, berbagai rancangan permodenan sistem perhubungan di negara ini telahpun diungkayahkan dan akan dilaksanakan. Dalam pada itu, kerajaan beta adalah sangat mengalu-alukan pelabur­-pelabur asing untuk melabur dan mengadakan usahasama dengan anak-anak tempatan di bidang-bidang perindustrian dengan rnemberikan kemudahan-kemudahan asas yang diperlukan.

Usaha juga telah ditumpukan pada mengemaskinikan jentera pentadbiran, dalam mana kerajaan beta sedang giat berusaha mendatangkan pakar-pakar dari luar negeri bagi mengajar kaedah-kaedah pentadbiran moden kepada pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan, untuk membantu pembentukan satu sistem pentadbiran yang efisien, berkesan lagi bersih sepertimana yang dihasratkan. Bagi pencapaian ini, sebagaimana yang selalu beta nyatakan, adalah perlu bagi pegawai-pegawai dan kakitangan di negara ini untuk sentiasa bekerjasama di antara satu dengan lain dan mewujudkan persefahaman untuk sama-sama bertanggungjawab dalam mengusai jentera-jentera pentadbiran kerajaan.

Di bidang antarabangsa, Negara Brunei Darussalam adalah mengambil berat akan peri mustahaknya mewujudkan suasana politik serantau yang mantap lagi stabil. Kemantapan dan kestabilan ini dapat dicapai jika terjalin persefahaman terhadap kepentingan bersama di kalangan masyarakat serantau. Bagi mencapai matlamat ini, Negara Brunei Darussalam sepertimana yang telah beta nyatakan di dalam Persidangan Ketua-Ketua Kerajaan ASEAN kali ke-3, yang telah berlangsung di Manila baru-baru ini, telah memberikan kesediaan dan kesanggupan kita dalam mengungkayahkan rancangan-rancangan belia ASEAN. Ini tidak lain dan tidak bukan adalah semata-mata bagi Negara Brunei Darussalam untuk sama-sama memainkan peranan dalam mewujudkan persefahaman dan setiakawan di kalangan Pertubuhan ASEAN. Kerana dengan wujudnya faktor-faktor itu nanti akan mempermudah dan mempercepatkan lagi usaha-usaha kerjasama politik dan ekonomi dalam Pertubuhan ASEAN.

Sejajar dengan prinsip dasar luar negeri Negara Brunei Darussalam di dalam perhubungan antarabangsa, Negara Brunei Darussalam juga telah memperluaskan hubungan-hubungan persahabatan dengan beberapa buah negara di Benua Afrika. Ini membuktikan bahawa Negara Brunei Darussalam tidak mengenal warna kulit di dalam mewujudkan persahabatan, tetapi adalah bersandarkan kepada prinsip­-prinsip persamaan, kejujuran dan saling hormat-menghormati di antara satu dengan lain, dan bebas daripada campurtangan di dalam hal-ehwal dalam negeri masing-masing.

Pada Hari Ulang Tahun Kemerdekaan Negara Brunei Darussalam ini, beta ingin mengingatkan kepada semua rakyat dan penduduk, khususnya belia-belia di negara ini, akan betapa pentingnya bagi kita semua untuk mewujudkan ketahanan diri dan bangsa dalam menghadapi cabaran-cabaran kancah ekonomi dan politik antarabangsa. Matlamat ini dapat dicapai jika kita semua menyedari akan perlunya memperkukuhkan negara kita dalam mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan bangsa dan negara serta kesucian agama. Menuju ke arah ini, adalah perlu bagi setiap rakyat dan penduduk di negara ini menanamkan semangat untuk sentiasa berdisiplin, cergas dan mengikut lunas-lunas budaya bangsa di dalam melakukan apa jua tanggungjawab dan kerja-kerja yang diamanahkan kepada mereka, dan di dalam kehidupan seharian. Rakyat yang sentiasa cergas dan berdisiplin lagi bertanggungjawab akan memudahkan kerajaan untuk menyelenggarakan dan melaksanakan undang-undang serta peraturan-peraturan, yang mana semata-mata adalah diniatkan untuk membisaikan dan membentuk satu masyarakat yang sejahtera lagi bertamadun. lanya juga akan dapat membantu pihak kerajaan dalam menggerakkan jentera-jentera pembangunan dan mempertahankan keselamatan negara daripada sebarang ancaman musuh dan anasir-anasir yang tidak diingini.

Di samping itu, rakyat yang berdisiplin lagi berbudaya tidak akan sentiasa mengharapkan ataupun bergantung sepenuhnya kepada kerajaan untuk mendapatkan sumber-sumber bantuan, baik berbentuk kewangan ataupun material, malahan mereka akan menjadi anggota masyarakat yang sentiasa berdikari dan berusaha untuk memperbaiki taraf penghidupan mereka. Rakyat juga hendaklah sentiasa memberikan pertolongan secara sukarela dan sedia tampil ke hadapan apabila tenaga mereka diperlukan tanpa mengharapkan sebarang ganjaran, serta mereka juga hendaklah berdedikasi dan mempunyai rasa bangga ke atas setiap pekerjaan yang mereka lakukan dan sentiasa berusaha untuk menghasilkan kerja yang lutanan lagi bermutu. Ini adalah satu-satunya kualiti yang patut ada pada diri kita semua dan ianya sangat-sangat diharapkan oleh negara kita yang sedang membangun.

Sebagai rakyat Brunei, adalah juga penting bagi kita semua untuk mempertahankan ciri-ciri kebudayaan kita sebagai orang Brunei yang mana sentiasa galat-mengalati di antara satu dengan lain, bermaruah, beradat-istiadat dan juga taat beragama dan beribadat. Ciri-ciri ini adalah satu lambang yang menjadi kemegahan kepada kita semua di negara ini. Adalah beta hasratkan ciri-ciri budaya yang beta nyatakan itu akan sentiasa diperkembangluaskan dengan menanamkan semangat-semangat itu kepada generasi-generasi muda yang masih di bangku sekolah. Kerana dengan gabungan rakyat yang berdisiplin lagi cergas serta berbudaya, maka kita akan dapat membawa negara dan bangsa yang kita cintai ini ke arah satu zaman kegemilangan dalam mana rakyat dan penduduk di dalamnya sentiasa di dalam keadaan aman, tenteram serta makmur, dan bebas daripada gejala-gejala sosial dan sifat negatif. Ini adalah sejajar dengan tema hari kebangsaan pada tahun ini yang berbunyi: “BERDISIPLIN CERGAS, BERBUDAYA, NEGARA BAHAGIA”.

Bagi menghasilkan rakyat dan penduduk yang berdisiplin cergas lagi berbudaya, seperti yang beta hasratkan, kerajaan beta di samping menyediakan keperluan-keperluan asas yang lain juga akan menyediakan kemudahan-kemudahan sukan dan riadah iaitu dengan mengadakan bangunan-bangunan pusat sukan di kesemua daerah di negara ini, yang mana nanti akan dilengkapi dengan berbagai-bagai kelengkapan dan akan dapat menampung kehendak-kehendak ramai.

Buat mengakhiri ucapan beta ini, beta sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat dan penduduk di negara ini termasuk pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan, dan juga anggota-anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Pasukan Polis Diraja Brunei yang mana telah rnemberikan kerjasama kepada kerajaan beta dengan bekerja dengan penuh tekun dan rajin serta amanah dan jujur di dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka, dan juga pada menjaga dan mempertahankan keselamatan negara. Beta juga tidak lupa mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada semua ahli-ahli jawatankuasa sambutan pada tahun ini, dan juga kepada rakyat dan penduduk yang telah melibatkan diri dan menyumbangkan tenaga pada menjayakan perayaan ini. Marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah Subhanahu Wataala akan terus melimpahkan rahmat-Nya, dan akan sentiasa memberikan kemakmuran serta keamanan serta menghindarkan daripada apa jua ancaman dan malapetaka kepada, negara, rakyat, penduduk dan sekalian isi di dalamnya.


  

Titah Kebawah Duli Yang Mulia Paduka Seri Baginda 

Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah,

Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,

Pada 23 Februari 1990

Sempena Ulangtahun Ke-6 Hari Kebangsaan

Negara Brunei Darussalam


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, segala puji-pujian bagi Allah Subhanahu Wataala, Seru Sekalian Alam, selawat dan salam ke atas junjungan kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, ke atas keluarga, kaum kerabat Baginda, sahabat-sahabat dan pengikut-pengikut Baginda yang jujur lagi setia hingga ke akhir zaman.

Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah rahmat­-Nya jua kita sekalian dapat menyambut Ulang Tahun Keenam Hari Kebangsaan dalam keadaan negara semakin kukuh dan rakyat serta penduduk terus menikmati hidup yang aman sejahtera. Kesemuanya itu adalah berkat usaha kita yang ikhlas dalam memaju dan memelihara kepentingan negara, iaitu dengan mempergunakan nikmat kemerdekaan menurut yang diredai Allah, secara yang sebaik-baiknya dan bertanggungjawab.

Kemerdekaan kita telahpun jelas di mata dunia. Kita diiktiraf oleh semua negara. Kita mampu menunaikan tanggungjawab antarabangsa. Dan lebih penting lagi ialah kita mempunyai kerajaan yang berkesan dalam ertikata mampu mengendalikan negara, melindungi dan memimpin rakyat serta penduduk ke arah kesejahteraan yang dihasratkan sebagai bangsa yang merdeka.

Berdasarkan keupayaan yang sedemikian itu, insya-Allah dalam menempuh era kemerdekaan seterusnya; kita akan dapat pula mengembangkan aspek-aspek kenegaraan dari semasa ke semasa. Dalam mengembangkannya itu, kita akan sentiasa mengenalpasti kepentingan-kepentingan kita yang sebenar dalam jangka panjang. Bukan sekadar kehendak atau keinginan dalam jangka pendek.

Dalam hubungan ini, beta sangat menghargai sokongan yang sentiasa diberikan oleh segenap lapisan rakyat dan penduduk kepada kerajaan. Sokongan yang dilahirkan menurut cara dan dalam bentuknya yang unik telah mendatangkan faedah kepada negara.

Sebenarnya, cara sokongan yang diterima oleh kerajaan dan bentuk kerjasama di antara rakyat dengan kerajaan seperti yang dapat dilihat dan dirasakan faedahnya itu adalah merupakan budaya bangsa kita turun-temurun. Tradisi berpemerintahan yang berakar umbi dalam sejarah negara ini telah dipertahankan kesempurnaannya semasa bangsa kita mengalami pengaruh kuasa asing. Maka dizaman merdeka di mana bangsa kita kembali berdaulat sepenuhnya tentulah lebih wajar dipertahankan bukan semata-mata sebagai budaya yang dibanggakan, bahkan ianya sudah terbukti sebagai faktor bagi kemantapan serta kesejahteraan negara dan rakyat.

Beta maksudkan ialah tradisi berpemerintahan menurut budaya kita itu bukan semestinya beku dan kaku. Ia suatu yang dinamis. Perlembagaan negara yang mengaturkan susunan pemerintahan kita adalah memperlihatkan dynamisnya tradisi yang diwarisi itu, iaitu apabila pada masa-masa yang lain ia disesuaikan menurut keadaan dan keperluan. Demikian jua halnya di masa-masa hadapan.

Ulangtahun Keenam Hari Kebangsaan tahun ini, kita sambut tepat di awal dekat tahun sembilan-puluhan. Dekad tahun sembilan-puluhan, iaitu menjelang abad kedua-puluh­ satu adalah diramal akan merupakan dekad kemajuan dan peningkatan taraf hidup rakyat serta penduduk di kebanyakan negara-negara dunia.

Persaingan ideologi yang banyak mewarnakan hubungan antarabangsa dalam dekad­-dekad sebelumnya dijangka akan bertukar menjadi persaingan ekonomi. Di rantau sebelah sini pula, suasana keselamatan juga akan lebih mantap, dan memungkinkan kadar pertumbuhan ekonomi yang lebih baik. Kesemuanya itu memberikan harapan kepada rakyat dan penduduk di negara-negara rantau ini untuk menikmati peningkatan taraf kesejahteraan.

Bagi Negara Brunei Darussalam, kita turut sama mempunyai kepentingan terhadap keselamatan serantau. Kita sependapat dengan rakan-rakan dalam ASEAN bahawa keselamatan serantau adalah bermula dari kemantapan negara-negara di dalamnya. Maka pembangunan dan perkembangan kemajuan yang diusahakan bagi kepentingan kita dari dahulu lagi, adalah dengan hasrat mengekalkan kemantapan negara, Dengan demikian, kita membantu mewujudkan kemantapan dan keselamatan serantau.

Khusus mengenai negara kita, Beta nampak bahawa dekad tahun sembilan-puluan akan penuh dengan cabaran bagi memenuhi jangkaan-jangkaan rakyat dan penduduk kepada kehidupan yang lebih selesa. Keupayaan kerajaan untuk merancang dan melaksanaan projek-projek kemajuan yang baharu di samping mengekalkan perkhidmatan-perkhidmatan yang lazim di bidang pendidikan, perubatan dan kesihatan, serta bidang-bidang sosial lainnya, adalah bergantung kepada kedudukan pentadbiran negara dan juga kepada kelicinan pentadbiran kerajaan dengan cara pengurusan yang penuh bertanggungjawab.

Kerana itulah, langkah-langkah yang difikirkan tepat dalam menjimatkan perbelanjaan kerajaan dan pada meningkatkan mutu pentadbiran, akan terus diambil. Beta ingin menegaskan bahawa perbelanjaan kerajaan yang dijimatkan tidaklah akan menjejaskan projek-projek yang mendatangkan faedah secara langsung kepada rakyat dan penduduk. Peruntukan kewangan untuk projek-projek sedemikian itu, insya-Allah akan terus diadakan.

Cabaran yang lain dalam dekad tahun sembilan-puluhan ini di mana kerajaan terus menghadapinya dengan lebih bersungguh-sungguh, ialah bagi melayani keperluan rakyat dan penduduk kepada rumah-rumah kediaman.

Ia merangkumi langkah-langkah bagi keselesaan alam sekitar. Dan serentak dengannya ialah tambahan kemudahan perhubungan dan riadah, bangunan-bangunan masjid dan sekolah, pusat-pusat perubatan dan kesihatan. Maka skim perumahan yang ada sekarang mungkin akan diluaskan dengan maksud mempercepatkan penyiapan rumah-­rumah yang sudah dirancangkan dan mengadakan rancangan-rancangan baharu yang dapat melayani keperluan kepada perumahan itu dalam tempoh yang munasabah.

Di bidang sosial yang melibatkan belia-belia, cabaran tahun sembilan-puluhan ialah bagi mempastikan supaya belia-belia kita mempunyai komitmen yang tinggi kepada negara. Langkah-langkah yang sudah diambil dari aspek pendidikan formal patut diikuti dengan rancangan-rancangan lain secara berterusan. Kita nampak peranan yang dapat dimainkan oleh belia-belia negara ini di masa hadapan. Pada masa ini sebahagian mereka berkhidmat di sektor-sektor kerajaan dan swasta. Sebahagian lagi masih meneruskan pelajaran-pelajaran di pusat-pusat pengajian tinggi di dalam dan luar negeri.

Sebagai golongan muda yang dinamis, mereka mempunyai jangkaan-jangkaan dan harapan-harapan tertentu mengenai masa hadapan negara. Maka adalah penting difikirkan langkah-langkah yang teratur menyelaraskan jangkaan dan harapan mereka itu bagi kepentingan negara keseluruhannya.

Dalam menempuh era kemerdekaan seterusnya, memanglah rakyat dan penduduk, pada umumnya, akan menaruh jangkaan-jangkaan yang berupa harapan untuk menikmati taraf kesejahteraan yang meningkat dan masa depan yang lebih terjamin. Kerajaan pula akan sentiasa dan tidak kendur-kendur berusaha melaksanakan tanggungjawabnya memimpin dan mengendalikan negara dengan lebih berhati-hati.

Namun demikian, dalam apa keadaan pun, rakyat dan penduduk hendaknya menyedari akan masalah-masalah yang dihadapi oleh kerajaan. Dengan ertikata yang lain masalah tersebut adalah sama-sama kita hadapi dalam mencapai matlamat pembangunan sepenuhnya menurut yang dihasratkan. Apa yang penting ialah kita harus melihat masalah-masalah yang berbangkit dengan sikap yang insaf dan mencari huraiannya dengan penuh tanggungjawab.

Dalam hubungan ini, kita perlu mempunyai azam yang kuat, meningkatkan daya usaha serta mempertajamkan tumpuan dan perhatian ke arah menjayakan rancangan­-rancangan yang sudah diatur dan sedang diperingkat perlaksanaan, termasuk juga rancangan-rancangan kemajuan yang baharu. Dengan azam yang kuat disertai kesediaan memikul tanggungjawab-tanggungjawab yang lebih mencabar, insya-Allah, secara berperingkat-peringkat dan dalam jangka waktu yang munasabah, kita akan dapat mengatasi atau sekurang-kurangnya mengurangkan masalah yang merintangi pencapaian sebarang matlamat pembangunan.

Satu aspek yang penting dalam mencapai matlamat pembangunan ialah perpaduan. Beta berpuas hati bahawa perpaduan di kalangan rakyat dan penduduk selama ini telah membantu kerajaan, terutama sekali dalam usahanya mengekalkan keamanan. Kita semua mempunyai kepentingan yang sama untuk terus-menerus menikmati keamanan. Perpadu di semua peringkat, di dalam dan di luar kerajaan akan lebih kita perlukan dalam menghadapi cabaran-cabaran pembangunan dan perkembangan aspek­-aspek kenegaraan di masa hadapan.

Kita memerlukan perpaduan yang lebih kukuh dan erat dari masa-masa yang lain. Dan untuk mengukuhkan serta mengeratkannya itu, kita hendaklah memberi perhatian kepada perhubungan secara berkesan. Yakni perhubungan yang di mungkinkan oleh kelancaran alat-alat perantaraan dan juga oleh cara pendekatan terhadap satu sama lain di kalangan kita semua.

Kerana itu, beta mengalu-alukan tema sambutan ulangtahun Hari Kebangsaan kali ini yang berbunyi 'Perhubungan Berkesan Mengeratkan Perpaduan'. Tema ini selayaknya menjadi semboyan yang sentiasa bergema dalam hidup bermasyarakat, berbangsa dan bernegara.

Sebenarnya, kelancaran alat-alat perantaraan dan cara pendekatan yang mengesankan perhubungan itu, adalah merupakan sebahagian keperluan yang utama dalam pembangunan dan perkembangan aspek-aspek kenegaraan, baik pada masa ini mahupun pada masa-masa yang akan datang. Ditambah lagi dengan perpaduan yang erat maka kesemuannya itu akan lebih meyakinkan kita untuk menempuh cabaran-­cabaran masa depan sebagai bangsa yang merdeka.

Beta menaruh kepercayaan bahawa seluruh rakyat dan penduduk dan segenap jentera kerajaan akan sentiasa berada dalam keadaan perpaduan yang erat. Sama-samalah kita berdoa dan berusaha ke arah masa depan yang lebih cemerlang serta terjamin. Serentak dengan itu tingkatkanlah kesedaran sebagai bangsa merdeka secara bertanggungjawab demi keselamatan negara kita yang tercinta, maju dengan sentiasa mendapat rahmat perlindungan Allah Subhanahu Wataala.

Buat mengakhiri ucapan ini, beta ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi dan lain-lain Jawatankuasa Sambutan Perayaan, serta segenap peserta-peserta dalam semua acara yang diadakan. Semoga Allah memberkati sumbangan yang ikhlas dari semua pihak bagi menjayakan sambutan Ulang Tahun Keenam Hari Kebangsaan ini.

Kepada seluruh rakyat dan penduduk termasuk semua peringkat dalam perkhidmatan awam, pasukan keselamatan dan angkatan bersenjata, beta mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan.

Sekian Wabillahit Taufiq Walhidayah Wassalamu Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.​

  

Titah Kebawah Duli Yang Mulia Paduka Seri Baginda 

Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah,

Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,

Pada 23 Februari 1991

Sempena Ulangtahun Ke-7 Hari Kebangsaan

Negara Brunei Darussalam


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Tuhan pentadbir seluruh alam yang Maha Berkuasa lagi Maha Berkehendak. Salawat serta salam ke atas Junjungan kita Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, kaum kerabat sahabat­-sahabat dan pengikut-pengikut Baginda yang setia lagi taat, jujur serta amanah hingga ke akhir zaman.

Beta amat bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta’ ala, kerana dengan limpah rahmat serta izin-nya jua dapatlah kita bagi kali ke- 7 menyambut ulang tahun hari kebangsaan sebagai hari yang sangat-sangat diagungkan di dalam sejarah kita.

Kita berbangga kerana dengan ini menandakan bahawa kita adalah suatu bangsa yang berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa lain di dunia. Kebanggan kita itu bukanlah untuk menunjuk-nunjuk, tetapi sekadar mengandungi motif yang luhur bagi rakyat dan penduduk negara ini, supaya akan dapat sentiasa bersyukur dan mengingati limpah kurnia Allah yang telah mentakdirkan kita ini mempunyai negara yang merdeka lagi penuh berdaulat.

Sesungguhnya, kemerdekaan bukanlah murah untuk dibeli, dan memangnya ianya tidak boleh dibeli. Kerana itulah kadang-kadang orang terpaksa menebusnya dengan harga yang paling mahal sekali iaitu dengan darah dan nyawa.

Maka berasaskan inilah, sepatutnya kita mesti mengasuh rasa cinta dan cemburu yang mendalam terhadap kelangsungannya serta sambil itu memberikannya baja yang sesuai supaya ia dapat hidup dengan subur bagi menghasilkan buah-buah yang lazat.

Apakah buah kemerdekaan itu?

Ia bermula dari tanggungjawab yang lebih besar. Tanggungjawab inilah benihnya dan kemudian ia beransur menjadi pohon yang berupa rancangan-rancangan kerja dan akhir sekali barulah kita mendapat buahnya daripada hasil-hasil kerja tersebut tadi.

Buah-buah inilah yang mahu kita pastikan benar-benar biar luar dalamnya elok, boleh dinikmati sepenuhnya. Jangan ada yang kulitnya sahaja bagus tetapi isi di dalamnya busuk berulat seperti resam setengah buah mangga misalnya.

Maka demikian itulah, halnya dengan ‘buah kemerdekaan’. Bukan rancangan-­rancangan sahaja yang mesti banyak dan meningkat, tetapi hasil daripada rancangan-­rancangan tersebut mestilah pula dijamin tidak akan sia-sia atau tidak hanya indah di luar tetapi buruk di dalam.

Semenjak kita merdeka, bermacam-macam perubahan telah kita buat dan bermacam-­macam tema telah kita cipta untuk memberangsangkan rakyat dan kerajaan bagi mencapai matlamat yang lebih baik lagi. Hal ini amatlah baik untuk dijadikan tradisi. Tetapi dalam pada itu, tema-tema yang indah dan bernas sahaja belumlah memadai tanpa adanya follow-up ke arah mencapai tujuan dan maksud daripada tema-tema tersebut.

Bagaimanapun alhamdulillah, perubahan-perubahan yang kita capai selama ini telah memberikan kita keyakinan yang kukuh bahawa kita sebenarnya mampu untuk melakukan dan mengadakan sesuatu yang lebih baik bagi negara dan rakyat.

Di dalam bidang pembangunan sahaja umpamanya, kita telah banyak melakukan apa-­apa yang perlu untuk kesejahteraan rakyat. Dari pembangunan fizikal sampailah kepada pembangunan mental menerusi pendidikan dan pelajaran telah dapat diungkayahkan oleh kerajaan dengan jayanya.

Demikian juga bidang-bidang yang lain, Beta adalah optimis akan dapat melihat peningkatannya yang pesat dari masa ke semasa.

Beta percaya semua ini akan lebih mudah lagi dicapai apabila kita benar-benar patuh dan kuat berpegangan kepada disiplin kerja serta penduduk pula akan sentiasa komited dengan tanggungjawab yang besar ini.

Dalam pada itu kita semua mustahak juga memahami bahawa masa depan kita yang lebih gemilang tidaklah semata-mata bergantung kepada pencapaian tahap kemakmuran yang tinggi, tetapi mesti turut dipupuk dan disuburkan ialah kesedaran bernegara, sopan santun dan persefahaman yang lebih bermakna.

Kita sudah banyak belajar dari keadaan dan persekitaran kita, bahawa terdapat banyak negara yang giat membangun yang setengahnya itu memang berhasil mencapai tujuan mereka. Tetapi dalam masa yang sama mereka juga tidak putus-putus bersungut dengan kerenah dan telatah rakyat mereka sendiri yang tidak menyenangkan. Jika hal yang seumpama ini masih berlaku menunjukkan sebuah negara itu belum lagi stabil, walau macam mana banyaknya sekalipun statement yang mengatakannya demikian

Mengapa kerenah-kerenah dan telatah-telatah sumbang boleh berlaku?

Pada hemat beta, di antaranya ialah kerana kurang disiplin, lemahnya kesedaran nasional dan kesedaran bernegara, tidak jujur serta hilang kesopanan di kalangan sesama sendiri. Maka oleh itu satu tanggungjawab kita yang besar dan mencabar ialah mewujudkan perpaduan dan kesedaran yang seragam di kalangan rakyat dan penduduk dalam hal-hal yang disebutkan di atas. Kita tidaklah boleh cuai dan mengabaikan semua ini demi untuk menjamin stabiliti dan keutuhan negara.

Bersabit dengan perkembangan dunia dan politik antarabangsa pula, beberapa insiden telah turut mengusik perasaan dan pemikiran kita. Antaranya dengan redanya perang dingin di antara dua kuasa besar telah banyak membawa harapan di kalangan negara-­negara kecil, bahawa perkembangan tersebut akan mempertingkatkan lagi keberkesanan badan pengaman dunia iaitu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk berfungsi dengan lebih berkesan pada menjamin dan memelihara keselamatan antarabangsa.

Tetapi serentak dengan ini satu insiden baru yang tiba-tiba berlaku di luar dugaan telah memusnahkan harapan tersebut iaitu dengan meletusnya Krisis Teluk sekarang. Badan dunia yang diharap-harapkan itu nampak-nampaknya tidak dapat bebuat apa-­apa selain daripada seolah-olah menjadi podium untuk mengisytiharkan hujah-hujah yang bercanggah semata-mata.

Kita turut bimbang sekiranya moral badan dunia ini sangat banyak terjejas, maka ini memungkinkan kepercayaan masyarakat antarabangsa terhadapnya juga turut terjejas.

Khusus mengenai Krisis Teluk - pendirian negara kita adalah tidak berubah iaitu menghendaki supaya negara-negara yang merdeka yang tidak mahu negara masing-­masing diganggu-gugat dan apatah lagi dicerobohi oleh orang lain.

Tetapi sehubungan ini pula, kita juga turut menyesali corak dan bentuk peperangan di Teluk pada hari ini. Kita khuatir apa yang berlaku sehingga hari ini telah melimpasi batasan mandat ketetapan 678 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Mandat ini tidak ada kaitannya langsung dengan pemusnahan bandar-bandar raya, pusat-pusat sejarah, rumah-rumah ibadat dan tempat-tempat suci, hospital-hospital dan pasar-pasar dan lebih-Iebih lagi tidak mengizinkan kematian di kalangan kanak-­kanak, kaum perempuan dan orang-orang tua yang tidak berdosa.

Daripada dalil-dalil yang sedang ditonton oleh dunia hingga ke hari ini menunjukkan bahawa satu tamadun mulai runtuh akibat peperangan. Dan malahan dunia juga tabu bahawa konflik Teluk apabila berterusan akan membawa bencana sangat besar bukan sahaja kepada pihak-pihak yang berperang, malahan juga kepada alam sejagat. Kesannya adalah tidak mudah untuk digambarkan dengan segera, tetapi yang sudah pasti tidak boleh tidak ianya akan menyebabkan kerugian hartabenda dan wang yang banyak, kerugian mana dimaksudkan untuk kemusnahan, bukan untuk menegakkan kemanusiaan atau membela orang-orang miskin dan melarat di serata dunia ini.

Cubalah gambarkan, satu contoh sahaja dari kesan peperangan ini iaitu pencemaran laut disebabkan tumpahan minyak di Teluk. Menurut ulasan-ulasan pakar ianya bukanlah perkara mudah untuk diatasi, tetapi mungkin mengambil masa lebih daripada seratus tahun bagi pemulihannya semula.

Tidakkah ini suatu petaka yang amat dahsyat, bukan sahaja ke atas manusia malahan juga kepada lain-lain makhluk Allah di permukaan bumi ini.

Berasaskan inilah kita juga turut menyokong kuat setiap usaha damai yang diusahakan oleh mana-mana pihak dari manapun juga datangnya di samping mengharapkan supaya sekalian aktivis keamanan di seluruh dunia akan dapat menyuarakan sokongan­-sokongan dan usaha mereka yang berterusan ke arah mewujudkan perdamaian yang berkekalan.

Adapun hasrat ini kita suarakan dengan niat yang baik lagi suci sebagai sifat kita menjadi warga dunia yang bertanggungjawab. Tidak ada maknanya kita sendiri sahaja yang sedap dan senang sedang warga dunia yang lain menderita di dalam kancah peperangan.

Demikianlah harapan beta dan juga harapan seluruh rakyat serta penduduk di negara ini ingin melihat wajah dunia ini sentiasa manis dan berseri-seri, tidak ada yang menangis kerana tertindas atau dizalimi. Inilah juga pendirian negara kita.

Hal ini selaras dengan hasrat beta ingin melihat rakyat beta sendiri berada di dalam keadaan aman damai, riang gembira lagi sejahtera. Dan makanya kerana itu pula tugas serta tanggungjawab kerajaan yang paling besar ialah menjadi pelindung kepada kebajikan rakyat. Sementara rakyat pula hanyalah dituntut supaya mempunyai kesedaran bahawa mereka bukan sahaja mempunyai kerajaan yang menyediakan kemudahan-kemudahan dan perkhidmatan tetapi juga untuk memimpin.

Beta berharap, dengan mengambil sukut baik di hari yang mulia ini kita sama-sama akan dapat merafakkan doa ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta’ ala semoga negara kita sentiasa berada di dalam aman, damai, selamat lagi sejahtera dan makmur. Rakyat serta penduduk sekalian dikurniakan taufik dan hidayah supaya dengan itu dapatlah mereka menjalankan liku-liku hidup ini dengan tidak terpesong daripada landasan hak dan kebenaran.

Untuk akhirnya beta sukacita dengan ini merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih beta kepada ahli-ahli jawatankuasa tertinggi dan lain-lain jawatankuasa sambutan perayaan ulang tahun ketujuh Hari Kebangsaan kita dan juga kepada segenap peserta serta petugas yang turut menjayakan acara-acara di dalamnya. Mudah-mudahan Allah memberkati segala sumbangan ikhlas kita itu dengan ganjaran rahmat dan pahala daripada-Nya.

Kepada seluruh rakyat dan penduduk tidak terkecuali semua peringkat di dalam perkhidmatan awam kerajaan, pasukan-pasukan keselamatan dan angkatan bersenjata, beta mengucapkan selamat menyambut dan meraikan Hari Kebangsaan.

Sekian sahaja, wa Billahi Taufiq wal Hidayah, was-Salamu’ alaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh.​

  

Titah Kebawah Duli Yang Mulia Paduka Seri Baginda 

Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah,

Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,

Pada 23 Februari 1992

Sempena Ulangtahun Ke-8 Hari Kebangsaan

Negara Brunei Darussalam


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta’ala, kerana dengan limpah rahmat serta izin-Nya jua, dapatlah kita menyambut dan merayakan Ulang Tahun Kelapan Hari Kebangsaan, iaitu sebagai tanda kita bersyukur dan redha di atas nikmat kemerdekaan yang telah dikurniakan oleh Allah itu.

Selama lapan tahun kita menghirup udara merdeka, maka selama itu pula kita telah dapat merasakan betapa beratnya tanggungjawab menanai dan mengisi kemerdekaan itu. Tetapi alhamdulillah, dengan berkat usaha dan keyakinan kita, maka semua tanggungjawab tersebut telah dapat ditunaikan dengan baik dan berkesan.

Kita juga telah berjaya menjalani liku-liku masa yang penuh dengan berbagai duri dan cabaran, yang menandakan satu lagi kemampuan kita pada mengendalikan bahtera kemerdekan itu dengan sebaik-baiknya.

Kita, bukan sahaja setakat bermegah menjadi bangsa yang merdeka, tetapi juga memahami bahawa tujuan kemerdekaan itu ialah sebagai pendorong ke arah kehidupan yang lebih maju, bebas dan bermaruah.

Maka atas tujuan dan matlamat inilah, kita dengan tidak putus-putusnya telah dan sedang berusaha menjayakan beberapa banyak rancangan yang difikirkan boleh menghasilkan kemakmuran dan kebahagiaan kepada rakyat dan penduduk. Kita sesungguhnya tidaklah akan berhenti dari meneruskan usaha-usaha tersebut sambil selebihnya itu, kita serahkan kepada Allah Subhanau wa Ta’ala untuk menentukan segala-galanya.

Sebelum merdeka, kita juga telah memulakan usaha membangun negara. Tetapi selepas merdeka, kita melanjutkannya dengan lebih gigih lagi dan lebih memerlukan commitment yang padu daripada semua pihak, dalam makna tidak siapa pun yang boleh lalai atau leka dari turut mengisi kemerdekaan itu dengan sumbangan-sumbangan yang berpatutan menurut bidang masing-masing.

Menyebut tentang pembangunan ini, kita adalah sama-sama menitikberatkan pembangunan rohani dan kebendaan. Dari dua sudut pembangunan inilah, kita akan muncul sebagai bangsa yang dihormati lagi digalati.

Demikian pendirian kita yang menjadi landasan berterusan ke arah menghadapi abad ke-XXI iaitu suatu abad yang telah diramalkan penuh dengan berbagai-bagai pancaroba dan cabaran, termasuklah cabaran yang berupa persaingan-persaingan sengit dalam bidang-bidang politik dan ekonomi.

Sekarang pun sudah berlaku, di beberapa penjuru dunia terdapat negara-negara yang sedang ghairah membentuk blok-blok kerjasama bagi melindungi kepentingan masing-masing, dalam bidang-bidang politik, ekonomi dan keselamatan.

Memanglah tidak ada salahnya menjalin kerjasama yang seumpama itu, berlandaskan semangat berbaik-baik di antara negara-negara berkenaan, khasnya bagi negara-negara yang berjiran, iaitu sebagai langkah mengekalkan kewujudan bersama secara aman.

Demikianlah dalam hubungan ini, langkah yang serupa adalah lebih mustahak lagi bagi negara-negara kecil seperti kita ini, untuk memantapkan hubungan kerjasama yang sihat berdasarkan faktor-faktor kehidupan termasuk juga faktor sejarah. Dan menyedari inilah, makanya kita sentiasa menitikberatkan peranan yang layak kita mainkan di rantau ini, khasnya melalui keanggotaan kita dalam ASEAN.

Kita turut percaya, dengan adanya ASEAN sebagai badan kerjasama serantau yang kuat dan aktif, maka akan dapatlah ia sama-sama menentukan corak politik antarabangsa, dari segi mengawal dan menjaga kepentingan semua pihak, sama ada yang kecil mahupun yang besar.

Atas asas ini, kita juga tidak terkecuali dari sama-sama merumuskan haluan kerjasama dalam ASEAN, seperti baru-baru ini melalui Sidang Kemuncak Ketua-­Ketua Negara ASEAN di Singapura, yang antara lain menyentuh tentang peningkatan kerjasama ekonomi di antara negara-negara ASEAN, termasuklah keputusan untuk menubuhkan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (ASEAN Free Trade Area). Kita berkeyakinan, bahawa keputusan ini adalah satu peluang keemasan yang membolehkan hasil barangan kita beredar di pasaran yang lebih besar, serta dalam masa yang sama juga akan menjadi pendorong ke arah mempercepatkan lagi usaha-usaha kita mempelbagaikan ekonomi negara.

Kita perlu menyedari, bahawa nasib dan keadaan kita di masa-masa akan datang adalah tergambar daripada usaha-usaha yang sedang kita lakukan itu baik dan bermanfaat, maka insya-Allah, kesudahannya juga adalah baik dan bermanfaat. Begitulah pula sebaliknya.

Tegasnya, tidak ada siapa yang akan menderma untuk memikirkan untung nasib kita, melainkan kita sendiri sahaja.

Oleh kerana itulah, bersempena dengan menyambut Ulang Tahun Hari Kebangsaan pada tahun ini, Beta dengan amat sukacita mengharapkan supaya setiap individu dari kalangan rakyat dan penduduk, akan dapat melaksanakan tanggungjawab masing-masing, walau seberat mana pun, bagi kesejahteraan, kemakmuran dan ketahanan negara.

Akhirnya, Beta tidak lupa merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih Beta kepada ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi dan lain-lain Jawatankuasa Sambutan Perayaan Ulang Tahun Kelapan Hari Kebangsaan, juga kepada segenap peserta dan petugas yang turut berusaha untuk menjayakan perayaan ini.

Mudah-mudahan Allah Subhanahu wa Ta’ala akan memberkati segala sumbangan ikhlas mereka, sambil membalasnya dengan ganjaran-ganjaran yang besar, di dunia mahupun di akhirat.

Kepada seluruh rakyat dan penduduk termasuklah semua peringkat pegawai dan kakitangan di dalam perkhidmatan awam Kerajaan, pasukan-pasukan keselamatan dan angkatan bersenjata, serta juga mereka yang berkhidmat di sektor swasta, Beta mengucapkan selamat menyambut dan meraikan Hari kebangsaan,

Sekian, wa Billahit Taufiq wal-Hidayah, was-Salamu’alaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh.​

  

Titah Kebawah Duli Yang Mulia Paduka Seri Baginda 

Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah,

Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,

Pada 23 Februari 1993

Sempena Ulangtahun Ke-9 Hari Kebangsaan

Negara Brunei Darussalam


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen Wassalatu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen Saayyidina Muhammadin, Wa Alaa Aalihie Wasahbihie Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan izin dan limpah rahmat-Nya jua kita dapat menyambut Ulang Tahun Ke-9 Hari Kebangsaan iaitu hari kesyukuran dan kebanggaan bagi seluruh Negara Brunei Darussalam dan segala isi di dalamnya.

Dengan petunjuk dan inayah Allah Subhanahu Wataala jua kita telah dapat menjaga dan memelihara kemerdekaan itu.

Dengan kemerdekaan, kita telah dapat menguatkan azam bagi sama-sama melaksanakan tanggungjawab membangun dan memajukan negara yang kita cintai ini.

Sesungguhnya kita bertuah, kerana dalam masa menerima kemerdekaan itu kita sudah mempunyai corak pemerintahan yang tulen. Corak tersebut telah berupaya melindungi kepentingan-kepentingan kita dalam semua aspek perkembangan dan keperluan yang kita kehendaki.

Menerusinya negara dan rakyat telah dapat menikmati keamanan yang membolehkan kita hidup selesa dan harmoni.

Bagaimanapun kita juga turut menyedari akan cabaran-cabaran bernegara dan berpemerintahan, khasnya dalam keadaan negara-negara dan bangsa-bangsa seluruh dunia saling bergantung di antara satu sama lain yang memungkinkan interaksi budaya, termasuklah budaya yang bersifat politik.

Maka itulah kita perlu berwaspada menentukan arah dan landasan budaya politik kita sebagai bangsa yang berwibawa dan mempunyai identiti, di samping tidak mengabaikan budaya takwa sebagai penentu kepada dasar-dasar kita.

Ini akan menguatkan lagi keunggulan kita sebagai satu bangsa di tengah-tengah sekian banyak bangsa-bangsa lain yang wujud di merata bumi Allah ini.

Dalam pada itu, kejadian-kejadian mutakhir yang berlaku di dunia antarabangsa pula masih menunjukkan unsur-unsur persengketaan yang menuju kehancuran.

Berakhirnya perang dingin nampaknya belumlah mendatangkan kemanfaatan kepada keamanan dunia pada keseluruhannya. Ini ternyata bilamana berbagai konflik, serta persengketaan yang tidak mengenal erti kemanusiaan masih berleluasa di beberapa tempat di dunia ini.

Selaku bangsa yang mempunyai prinsip cintakan perdamaian dan menghormati hak-hak asasi manusia, kita adalah turut mengutuk sebarang bentuk kekejaman dan penindasan yang dilakukan terhadap sesama insan.

Bagi kita apa pun juga istilah yang digunakan tidaklah boleh menghalalkan tindakan-tindakan ganas yang tidak berperikemanusiaan sepertimana yang masih berleluasa di Bosnia-Hezegovina.

Begitu juga kita turut mengutuk tindakan rejim Yahudi mengusir orang-orang Palestin dari negara tumpah darah mereka dengan mengenepikan resolusi-resolusi Bangsa-Bangsa Bersatu seperti yang lumrah dilakukannya selama ini.

Kita berpendapat kekejaman-kekejaman ini sudah lama berlarutan dan telah banyak mendatangkan korban dan kesengsaraan kepada orang-orang yang berkenaan. Dari itu, kita tidak henti-hentinya mengharapkan agar Bangsa-Bangsa Bersatu menunjukkan kewibawaan ataupun kredibilitinya selaku badan dunia yang terunggul.

Dalam masa yang sama, selaku sebuah negara Islam kita juga melahirkan rasa kekesalan kita terhadap terjadinya beberapa perbalahan dan persengketaan sesama Islam. Kita berdoa semoga mereka yang berkenaan akan diberikan kesedaran oleh Allah Subhanahu Wataala dan akan segera kembali ke jalan persaudaraan yang sejati.

Kita juga turut merasa khuatir dengan perkembangan yang belum mantap di Cambodia kerana kita sedar bahawa keamanan di Indochina juga penting bagi kemantapan rantau ini pada keseluruhannya

Dalam suasana pembangunan ekonomi yang pesat di Rantau Asia dan Pasifik, keadaan aman dan tenteram itu adalah penting.

Kemudian berbalik lagi kepada masalah dalaman kita. Pada sejauh ini alhamdulillah, kita telah dapat meneruskan usaha-usaha yang telah kita jalankan selama ini. Usaha-usaha tersebut meliputi pembangunan fizikal di berbagai bidang dan juga pembangunan dari segi intelek dan kerohanian.

Kita berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wataala agar usaha-usaha yang kita jalankan itu akan sentiasa diberkati-Nya dan rakyat serta penduduk pula benar­-benar dapat merasakan nikmat kemerdekaan itu.

Dalam zaman yang penuh mencabar dan persaingan ini sangatlah perlu bagi setiap usaha yang kita jalankan itu dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh dan dengan sepenuh hati.

Hal ini penting untuk membolehkan kita bersaing dengan bangsa-bangsa lain di dunia ini yang setengahnya itu lebih jauh ke hadapan meninggalkan kita di segi pengetahuan serta penguasaan sains dan teknologi.

Kita juga perlu menumpukan perhatian terhadap langkah-langkah mempelbagaikan ekonomi, khususnya melalui pengembangan bidang perindustrian yang kita laksanakan selama ini, termasuklah penglibatan aktif sektor swasta.

Penglibatan anak-anak tempatan dalam sektor swasta ini perlu, kerana tidak wajar bagi kita secara berterusan bergantung kepada tenaga-tenaga yang didatangkan daripada luar.

Tenaga-tenaga yang didatangkan dari luar negeri akan membawa balik kemahiran dalam pekerjaan yang mereka dapati di negara ini setelah tempoh perkhidmatan mereka tamat. Yang demikian, negara ini tetap sahaja akan berterusan kekurangan tenaga mahir itu.

Dengan tertubuhnya Tabung Amanah Pekerja baru-baru ini, yang tidak berapa lama lagi juga dilaratkan kepada sektor swasta, maka beta berharap anak-anak tempatan kita tidak akan teragak-agak lagi untuk mencaburi sektor tersebut kerana ianya juga sama-sama menjanjikan masa depan yang terjamin bagi setiap pekerja.

Kita juga tidak mahu belakunya pengangguran di negara ini, kerana sumbangan tenaga dan pemikiran setiap rakyat dan penduduk itu adalah penting bagi mengekalkan pembangunan dan kemakmuran serta juga kesejahteraan tanahair.

Akhirnya, bertepatan dengan tarikh sambutan hari kebangsaan tahun ini jatuh pada awal bulan Ramadan, maka beta berharap hanya acara-acara sambutan yang sesuai dengan suasana bulan ini sahaja yang akan diadakan.

Beta adalah tidak lupa merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih beta kepada Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi dan lain-lain Jawatankuasa Sambutan Perayaan Ulang Tahun ke-9 Hari Kebangsaan kita.

Kepada seluruh rakyat dan penduduk yang beta kasihi termasuklah semua peringkat pegawai dan kakitangan di dalam perkhidmatan awam kerajaan, pasukan-­pasukan keselamatan dan angkatan bersenjata serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta beta mengucapkan selamat menyambut dan meraikan Hari Kebangsaan.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.​

  

Titah Kebawah Duli Yang Mulia Paduka Seri Baginda 

Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah,

Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,

Pada 23 Februari 1994

Sempena Ulangtahun Ke-10 Hari Kebangsaan

Negara Brunei Darussalam


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen Wassalatu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen Saayyidina Muhammadin, Wa Alaa Aalihie Wasahbihie Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta’ala di atas limpah rahmat-Nya kepada kita sehingga dengan ini dapatlah kita menyambut Hari Kebangsaan dalam suasana yang aman dan bahagia.

Dengan sambutan pada kali ini, genaplah usia kemerdekaan kita sepuluh tahun. Di dalam masa tersebut, kita telah berjaya melalui liku-liku kehidupan dengan cara yang kita pilih sendiri tanpa dipengaruhi ataupun dikongkong oleh citrasa orang lain.

Rakyat serta penduduk bolehlah berbangga, kerana telah dapat membuktikan kebolehan mentadbir dan menguruskan diri sendiri yang menjadi punca kita mencapai perkembangan dan keamanan.

Sesunggunya matlamat utama bagi bangsa-bangsa di dunia ialah mencari keamanan dan keselamatan. Kerananyalah mereka menganut atau mencipta berbagai-bagai dasar dan ideologi, namun hasilnya masih juga seperti impian belaka.

Ini, dapat kita saksikan dari media-media massa yang saban hari menyogokkan berita-berita tentang pergolakan, konflik dan tragedi-tragedi yang diakibatkan oleh berbagai malapetaka, yang semua itu mendatangkan penderitaan pahit kepada rakyat dan penduduk di negara-negara berkenaan, hatta tidak terkecuali juga negara-negara maju.

Adapun kita alhamdulillah, telah menikmati keamanan dan keselamatan itu lebih daripada orang lain, iaitu suatu kurnia Allah terhadap kita.

Beta percaya, ini semua merupakan kebajikan dan keberkatan darl kemerdekaan ltu, kerana darl awal-awal lagi kita telah menyambut dan menanainya dengan takbir membesarkan Allah, iaitu suatu hal yang belum pernah terjadi di mana-mana. Dan apabila menyebut ini, kita pun teringat betapa ia pernah bergema dikepalai oleh Paduka Ayahanda beta, Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien.

Beta rasa, inilah sebahagian dari syiar dan identiti kita yang sangat unik dan berharga.

Di antara tanda-tanda keberkatan itu iatah kekalnya ikatan yang kukuh di antara kerajaan beta dengan rakyat serta penduduk, yang merupakan asas yang menjadikan kemerdekaan itu bertambah-tambah teguh dan bermakna.

Dalam masa kita menikmati hasil kemerdekaan, kita juga terus berusaha memajukan diri sambil berpegang kuat kepada keperibadian Brunei tulen. Kita akan kekal di sini, di samping jika mustahak, akan menerima apa jua perubahan yang baik dalam bidang pentadbiran dan politik.

Suka beta nyatakan bahawa semenjak beberapa tahun kebelakangan ini, langkah telah dibuat untuk meneliti Perlembagaan Negara Tahun 1959. Ianya akan selesai insya-Allah sedikit masa lagi. Beta percaya rakyat akan menyambut baik sebarang langkah yang akan beta ambil kemudian dalam perkembangan perlembagaan negara itu. lanya dihasratkan semata-mata untuk kepentingan serta kesejahteraan rakyat jua.

Dalam mengusahakan kesejahteraan rakyat ini, sudah barang tentu memerlukan banyak perancangan dan pembangunan di samping kewangan.

Dan selain itu, faktor asas yang turut menentukan kejayaan setiap perancangan itu, iatah keupayaan dari segi tenaga manusia. Maka kerana itu, bagi faedah tersebut, beta telahpun memperkenankan penubuhan sebuah jawatankuasa yang diberi nama ‘Jawatankuasa Kebangsaan Sumber Tenaga Manusia’.

Jawatankuasa ini bertujuan, selain dari untuk menyusun tenaga manusia supaya lebih teratur dan tidak akan berlaku pembaziran, juga yang utama ialah untuk mengimbangi pergantungan kita kepada tenaga-tenaga yang didatangkan daripada luar. Pada masa ini, negara kita masih lagi banyak bergantung kepada tenaga-­tenaga luar itu dalam berbagai peringkat, termasuklah peringkat profesional dan teknikal.

Di samping menghargai sumbangan mereka, kita juga wajar berusaha khasnya di bidang pendidikan, supaya di dalam jangka waktu yang munasabah, tenaga-tenaga yang cukup terlatih serta berkemahiran akan mengambil alih tugas-tugas penting di bidang-bidang yang berkenaan.

Sebagai tanda penghargaan serta perhatian kerajaan terhadap sektor swasta maka jawatankuasa ini juga akan melibatkan perwakilan sektor swasta bagi sama-sama menangani masalah yang dihadapi.

Di bidang perdagangan antarbangsa, kerajaan beta bukan hanya setakat berusaha untuk melahirkan masyarakat yang berilmu, malahan juga ingin melihat pengusaha-pengusaha anak-anak tempatan sendiri.

Kita sedia menyedari, bahawa pembangunan ekonomi negara itu, adalah memerlukan individu-individu yang berjiwa besar dan berpandangan jauh.

Sungguhnya mereka yang dimaksudkan itu sudah ada di kalangan kita namun bilangan mereka masih kecil. Kita masih perlu menambah mereka, supaya lebih banyak lagi aktiviti-aktiviti ekonomi dapat dilaksanakan. Apa yang kita mahu ialah, menambahkan pulangan ataupun keuntungan-keuntungan negara, di samping mampu menyediakan lebih banyak lagi peluang-peluang pekerjaan bagi rakyat.

Kita tidak boleh kekal di tahap yang lama, dengan terus mengalami perbelanjaan yang berlebihan tanpa pulangan yang seimbang. Di mana apabila keadaan begini berlanjutan, ia boleh mendatangkan akibat terburuk kepada negara.

Oleh itu sampailah masanya kita berhati-hati dalam menjalani keadaan hari ini, sambil menyedari hakikat masa depan yang lebih panjang.

Akhirnya beta mengambil kesempatan merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih beta kepada Ahli-Ahli Jawatankuasa Sambutan Perayaan Ulang Tahun Kesepuluh Hari Kebangsaan kita.

Kepada seluruh rakyat dan penduduk yang beta kasihi, termasuklah semua peringkat pegawai dan kakitangan di dalam perkhidmatan awam kerajaan, pasukan-­pasukan keselamatan dan angkatan bersenjata serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta, beta mengucapkan selamat menyambut dan merayakan Hari Kebangsaan.

Sekian, wa Billahit Taufiq wa-Hidayah, was-Salamu ‘Alaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh.​

  

Titah Kebawah Duli Yang Mulia Paduka Seri Baginda 

Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah,

Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,

Pada 23 Februari 1995

Sempena Ulangtahun Ke-11 Hari Kebangsaan

Negara Brunei Darussalam


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen Wassalatu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen Saayyidina Muhammadin, Wa Alaa Aalihie Wasahbihie Ajma’een, Waba’du.

Adalah menjadi kewajiban kita untuk bersyukur hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala atas limpah rahmat-Nya mengizinkan kita sekali lagi dapat menyambut dan merayakan Ulang Tahun Hari Kebangsaan kita.

Kesyukuran itu seharusnya lebih mendalam lagi kerana kita dapat merayakannya dalam suasana yang aman dan tenteram.

Keamanan dan ketenteraman adalah cukup mahal bagi sesiapa sahaja. Tetapi bagi setengah orang atau negara, ianya kadang-kadang tidak lebih dari sebuah impian atau angan-angan belaka.

Salah satu sumbangan terbesar keamanan dan ketenteraman itu, ialah menjanjikan setiap pembangunan akan dapat berjalan dengan lancar dan sempurna.

Ada teori mengatakan, bahawa keamanan itu hanya boleh wujud dengan adanya kemerdekaan. Tetapi teori itni telah dilemahkan oleh banyak peristiwa yang berlaku di merata dunia, peristiwa mana berupa huru-hara dan persengketaan, padahal tempat berlakunya kejadian-kejadian itu ialah dalam negara-negara yang merdeka.

Jadi merujuk kepada hakikat ini, ternyata kemerdekaan itu juga kadang-kadang gagal dalam menjanjikan keamanan dan ketenteraman.

Sungguhpun begitu, hal ini tidaklah pula akan menjatuhkan harga kemerdekaan itu. Kemerdekaan tetap agung dan luhur. Jalan untuk mencapainya adalah amat sukar. Kerana itulah kadang-kadang, terdapat negara-negara atau bangsa-bangsa yang terpaksa menebusnya dengan darah dan nyawa mereka.

Adapun kita alhamdulillah, kemerdekaan sudah pun ada di tangan. Dan sambil kita menghirup udara merdeka, kita juga sedang menikmati keamanan yang menambahkan lagi lazatnya isi atau buah kemerdekaan itu.

Kedua-duanya, yakni kemerdekaan dan keamanan, janganlah ia dipisahkan. Jangan ada salah satu yang hilang. Jika hilang salah satu daripadanya, maka yang satu lagi itu akan kurang bermakna.

Kerana itu adalah manjadi tanggungjawab kita semua untuk memelihara seterusnya kemerdekaan dan keamanan itu dari sebarang bentuk atau corak gangguan oleh anasir-anasir yang tidak diingini.

Kita akan mempertahankan keamanan sambil juga mengisi kemerdekaan dengan berbagai rupa pembangunan.

Pembangunan yang terafdal dan terutama, ialah pembangunan jiwa dan mental bangsa. Pembangunan jenis ini akan melahirkan manusia-manusia yang berkualiti.

Kita tidaklah mahu semata-mata mewah subur tubuh badan sahaja. Adapun kemewahan itu hanyalah hiasan luar sahaja, sementara ‘kualiti dalaman’, itulah sebenar-benarnya yang akan menentukan daya tahan bangsa menghadapi aneka cabaran dan pancaroba.

Dalam konteks Negara Brunei Darussalam di bidang ekonomi, beta percaya, ianya mempunyai peluang-peluang untuk berkembang. lni adalah didasarkan kepada suasananya yang cukup mengizinkan, yang bebas dari sebarang gangguan dan ketakutan.

Para pelabur asing umpamanya, tentulah tidak akan teragak-agak untuk membuat pelaburan mereka, kerana tidak ada apa-apa yang perlu dibimbangkan di sini.

Demikian juga para usahawan, akan lebih berpeluang untuk mempelbagaikan aktiviti-aktiviti ekonomi mereka, termasuk juga meneroka bidang-bidang yang baru dalam perusahaan itu.

Semua ini, tidak sahaja akan mendatangkan keuntungan kepada pengusaha-­pengusaha itu sendiri, malahan juga kepada negara dan orang ramai.

Keadaan inflasi juga akan turut terkawal dengan berkurangnya pengaruh barang-­barang import daripada luar negeri.

Apa yang patut menjadi pegangan kita ialah meletakkan kepentingan kebangsaan atau national interest itu di atas sekali. Kita hendaklah menyingkirkan tabiat suka mementingkan diri sendiri, kerana tabiat ini boleh menggagalkan usaha-usaha pembangunan. Kita tidaklah mahu undur ke belakang hanya disebabkan kesilapan seperti ini.

Marilah kita membina diri serta membebaskannya dari segala macam belenggu pemikiran lama yang tidak berfaedah. Janganlah kita bawa warisan penjajah ke dalam alam merdeka. Di antara warisan yang jelek itu ialah perasaan rendah diri atau inferiority complex.

Sifat ini boleh membawa lemah dan mundur. Kita perlu ingat, bahawa bangsa yang lemah sama sekali tidak akan mampu untuk barsaing, walau dengan siapa pun.

Lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang, di mana persaingan itu terlampau sengit, baik dalam apa jua bidang dan lapangan sekalipun.

Salah satu usaha kerajaan beta untuk membina insan, agar ianya memiliki sifat-sifat patriotik, ialah dengan melalui pendidikan kebangsaan. Sekarang, kampus baru Universiti Brunei Darussalam sudah pun mula digunakan. Ia menelan belanja berjuta-juta ringgit.

Usaha ini adalah untuk melahirkan masyarakat Brunei yang berilmu lagi terpelajar. Mereka inilah kelak yang akan tampil ke hadapan dengan gaya maju, dengan semangat maju dan pemikiran maju, tetapi masih tetap selaku purih Brunei, orang Brunei, jiwa raga Brunei, yang tidak pernah ingkar dan lari dari janji mereka untuk terus mendukung konsep M.I.B (Melayu Islam Beraja) sebagai falsafah negara.

Beta berdoa, semoga niat dan cita-cita kita yang baik tidak akan dihampakan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Akhirnya, beta mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kepada ahli-ahli jawatankuasa tertinggi Sambutan Perayaan Ulang Tahun Kesebelas Hari Kebangsaan.

Kepada seluruh rakyat dan penduduk yang beta kasihi termasuk juga semua peringkat pegawai dan kakitangan dalam perkhidmatan awam kerajaan, pasukan-pasukan keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta, beta mengucapkan Selamat Menyambut dan Merayakan Hari Kebangsaan.

Sekian, wa Billahi Taufiq wal-Hidayah, was-Salamu ‘Alaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh.​

  
  

Titah Kebawah Duli Yang Mulia Paduka Seri Baginda 

Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah,

Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,

Pada 23 Februari 1997

Sempena Ulangtahun Ke-13 Hari Kebangsaan

Negara Brunei Darussalam


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen Wassalatu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen Saayyidina Muhammadin, Wa Alaa Aalihie Wasahbihie Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta ‘ala di atas limpah rahmat-Nya mengizinkan kita semua untuk menyambut Ulang Tahun Hari Kebangsaan kita yang ke-13.

Kita hendaklah menginsafi, bahawa peluang ini adalah suatu nikmat dan kurnia Allah semata-mata. Maka oleh itu, syukurilah nikmat dan kurnia tersebut dengan ketaatan jua, supaya ia bertambah subur dan berkekalan.

Salah satu tuntutan kemerdekaan itu ialah membangun dan memakmurkan negara. Pembangunan, khasnya dalam era yang semakin mencabar ini adalah memerlukan kita bekerja lebih keras lagi pada melipatgandakan usaha pembangunan tersebut.

Sebenarnya di negara kita, usaha-usaha ke arah pembangunan jangka panjang telahpun bermula sebelum negara mencapai semula kemerdekaan yang penuh lagi berdaulat. Rancangan pembangunan jangka panjang negara 20 tahun Beta perkenankan yang telah dimulakan pada tahun 1985.

Sudah setentunya matlamat jangka panjang pembangunan negara itu ialah untuk kesejahteraan serta peningkatan kualiti hidup rakyat dan penduduk di samping untuk meningkatkan pencapaian ekonomi.

Dalam hubungan itu, kita telah mengadakan Rancangan Kemajuan Negara Ketujuh iaitu bagi tahun 1996 hingga tahun 2000 sebagai sebahagian daripada perlaksanaan rancangan pembangunan negara jangka panjang itu.

Bagi melaksanakan projek-projek yang telah dirancangkan dalam Rancangan Kemajuan Negara itu, kerajaan telah menyediakan peruntukan sejumlah tujuh ribu dua ratus juta ringgit.

Ke arah mencapai matlamat jangka panjang pembangunan negara, Beta percaya perkembangan sosioekonomi yang seimbang adalah mustahak untuk diwujudkan.

Demikian juga, tidak kurang pentingnya ialah usaha-usaha pada mempelbagaikan ekonomi, menyediakan infrastruktur dan kemudahan-­kemudahan awam yang teratur, perlaksanaan kemajuan sumber tenaga manusia yang berkesan, perlaksanaan projek-projek bagi perkembangan sosial dan kemasyarakatan, penggunaan teknologi yang bersesuaian dan pengawalan mutu alam sekitar yang berterusan.

Usaha ke arah mempelbagaikan ekonomi telahpun dikenal pasti dan juga sering disebut sejak dulu lagi.

Bagaimanapun, penekanan pada kali ini adalah lebih kepada penglibatan negara kita dalam arena perdagangan luar memandangkan betapa mustahaknya perdagangan luar itu diberikan perhatian oleh negara-negara dunia hari ini.

Perusahaan-perusahaan dalam negeri tidaklah boleh bergantung semata-mata kepada pasaran dalam negeri sahaja, malahan harus pula mengambil peluang-peluang pasaran serantau dan antarabangsa.

Dengan adanya Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN yakni AFTA, terutama sekali melalui penyertaan negara dalam BIMP-EAGA, serta penglibatan yang dinamik dan efektif oleh pihak swasta, maka Beta berharap usaha-usaha pada mempelbagaikan ekonomi itu akan lebih mendatangkan kejayaan yang dihasratkan.

Dalam hal ini, pihak swasta selaku agen pembangunan ekonomi negara sudah sewajarnyalah memainkan peranan yang lebih penting serta meningkatkan lagi daya usaha mereka.

Di samping itu, untuk melengkapi strategi perindustrian, maka aspek-aspek yang lain seperti kemajuan sumber tenaga manusia, perlulah pula diberi perhatian yang berterusan khususnya di bidang kemahiran dan latihan dengan tujuan untuk melahirkan tenaga manusia-manusia yang berkemahiran, cekap dan berdedikasi.

Selain daripada menitikberatkan usaha mempelbagaikan ekonomi, Rancangan Kemajuan Negara ini juga meneruskan projek-projek bagi kepentingan sosial dan masyarakat termasuk infrastruktur asas, pembinaan perumahan, kemudahan pendidikan dan perkhidmatan perubatan serta tidak kurang juga dari segi pengangkutan dan perhubungan.

Dalam melaksanakan segala rancangan tersebut, kerjasama yang erat di antara pihak kerajaan dan swasta adalah mustahak untuk dikukuhkan.

Perkara ini amat mustahak untuk diberikan perhatian demi bagi mencapai matlamat pembangunan negara jangka panjang, lebih-lebih lagi dengan menjelangnya tahun 2000.

Usaha-usaha merancang dan membangun negara itu, adalah turut merangkum serta meliputi pengukuhan sistem berkerajaan yang sempurna lagi berwibawa ­untuk sepanjang masa.

Dalam pada itu, adalah juga sangat mustahak untuk diingat bahawa apa jua jenis pembangunan itu hanya akan dapat berlangsung dengan baik dan berterusan selama mana negara berada dalam keadaan aman dan selamat.

Oleh itu, marilah kita sama-sama berazam untuk tidak sekali-kali membiarkan keamanan dan keselamatan negara dirosakkan oleh sebarang anasir, sama ada anasir daripada dalam apatah lagi dari luar.

Bumi Brunei Darussalam bukanlah tempat semaian bagi sebarang jenayah atau lain-lain kejahatan. Ia adalah amanah Allah untuk rakyat dan penduduk dapat berteduh di dalamnya sambil menikmati keamanan dan kesejahteraan.

Oleh itu Beta sangatlah berharap supaya semua pihak yang berkenaan khasnya, dan seluruh rakyat amnya akan sentiasa mengambil berat soal-soal yang berkaitan dengan keamanan dan keselamatan itu sehinggalah ia benar-benar wujud dan tercipta dengan kukuhnya.

Dalam pada itu, di samping kita meningkatkan usaha pada perkara-perkara pembangunan negara dari segi fizikal, kita juga jangan lupa terhadap pembangunan yang tidak kurang juga pentingnya iaitu pembangunan rohani dan nilai-nilai murni yang sedia kita amalkan sejak turun-temurun lagi.

Insya-Allah berkat perpaduan yang kukuh dan erat di antara kerajaan dan rakyat, kita pasti akan dapat mengekalkan kestabilan dan kemakmuran negara kita selama ini dengan suatu gambaran masa depan yang lebih cemerlang lagi terjamin dengan izin Allah.

Akhirnya, Beta ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada ahli-­ahli jawatankuasa tertinggi serta sekalian peserta dalam semua acara yang dikendalikan. Semoga Allah memberkati sumbangan yang ikhlas semua pihak yang menjayakan sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan pada kali ini.

Kepada seluruh rakyat dan penduduk termasuk semua peringkat dalam perkhidmatan awam, kerajaan, pasukan-pasukan keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta, Beta mengucapkan Selamat Menyambut dan Merayakan Hari Kebangsaan.

Sekian, wa Billahi Taufiq wal-Hidayah, was Salamu ‘Alaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh.​

  

Titah Kebawah Duli Yang Mulia Paduka Seri Baginda 

Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah,

Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,

Pada 23 Februari 1998

Sempena Ulangtahun Ke-14 Hari Kebangsaan

Negara Brunei Darussalam


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen Wassalatu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen Saayyidina Muhammadin, Wa Alaa Aalihie Wasahbihie Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta ‘ala di atas limpah rahmat-Nya mengizinkan kita untuk menyambut Ulang Tahun Hari Kebangsaan yang ke-14 dalam keadaan negara terus menikmati keamanan.

Tidak ada yang lebih bererti ketika kita memasuki alaf baru ini, dari berbekalkan keamanan. Hanya dengan keamanan saja, kita dapat mencapai apa jua yang kita kehendaki.

Perkara ini lebih nyata lagi dengan memerhatikan keadaan yang ada, iaitu di mana saja keamanan itu tidak dapat dijelmakan dalam sesebuah negara, maka negara tersebut akan mengalami berbagai kemelut yang menyertainya kepada bermacam-macam penderitaan. Kerana itulah, keamanan dinamakan asas segala-galanya dan aset yang mencorakkan kehidupan.

Oleh itu, setiap bangsa yang sedar akan perkara ini, pasti terdorong untuk berkorban apa saja bagi mempertahankan keamanan itu.

Beta berharap, kita di negara ini pun demikian juga hendaknya.

Satu lagi perkara yang sangat perlu untuk disebut ialah mengenai krisis mata wang yang melanda Asia serta ramalan tentang ekonomi yang malap.

Pergolakan ini, mestilah kita jadikan iktibar supaya setiap orang tidak memandang ringan terhadap kemakmuran yang sedang kita nikmati selama ini.

Begitu juga, perkara ini seharusnya akan menambahkan lagi komitmen kita terhadap usaha-usaha pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan oleh kerajaan dari masa ke semasa.

Juga dari krisis ini, kita perlu mengambil pengajaran yang mendalam, betapa keadaan itu boleh berubah dengan cepatnya serta menjadi tidak selesa di negara-negara yang terlibat teruk. Ia tidak syak lagi merupakan kemelut paling serius sejak Perang Dunia Kedua.

Daripada pengalaman ini, akan turut pula mengajar kita untuk bagaimana mengamalkan dasar-dasar kewangan yang cermat, serta mengambil langkah-­langkah yang konkrit mengenainya. Langkah-langkah yang dimaksudkan itu, bukan semata-mata mengenai dengan penjimatan perbelanjaan, akan tetapi juga termasuk langkah-langkah meningkatkan penghasilan dan pendapatan negara.

Insya-Allah, untuk kepentingan rakyat dan penduduk, maka program-program pembangunan yang berupa rancangan-rancangan kerajaan, termasuk pertahanan, pembinaan perumahan, kemudahan pendidikan dan perkhidmatan perubatan, infrastruktur asas, pengangkutan dan perhubungan, akan tetap mendapat perhatian yang sewajarnya.

Di samping itu, rakyat pula mustahaklah mengemaskan diri dengan berbagai­-bagai kemahiran, sebagai sumbangan paling bermakna kepada negara.

Pada masa ini, terdapat sebilangan rakyat dan penduduk yang tidak mempunyai pekerjaan. Di antara sebab yang telah dikenal pasti, ialah kerana kurang memiliki kelayakan-kelayakan yang diperlukan bagi satu-satu jawatan itu, khasnya di dalam sektor swasta.

Oleh itu, beberapa program yang bersesuaian yang sudah pun ada pada masa ini, perlulah ditingkatkan lagi untuk membantu mereka memperolehi kelayakan dan kemahiran itu.

Dalam pada itu, perlu juga diperbaiki sikap setengah-setengah yang tidak gemar dengan bidang kerja di sektor swasta. Sikap ini ternyata merugikan, bukan saja kepada pemiliknya, malahan juga kepada negara.

Bagi rakyat tempatan, perkara ini mustahak difahami dengan bersungguh-­sungguh, bahawa walaupun kita menggunakan tenaga luar, namun peluang-­peluang yang ada mestilah direbut terlebih dahulu oleh rakyat dan penduduk negara ini. Kita akan lebih bangga sekiranya apa jua bidang kerjaya itu, sama ada ia di sektor kerajaan atau sektor swasta, dipegang oleh anak-anak tempatan sendiri.

Sudah sampai masanya untuk kita menjadikan perkara ini sebahagian dari wawasan negara. Lahirkan budaya mencintai kerja, dengan tidak memilih siapa majikan, kerajaan atau swasta.

Kita mulakan ia dari sekarang untuk dicontohi oleh generasi akan datang.

Kita hidupkan azam selaku bangsa yang merdeka, dengan keutamaan untuk perpaduan, supaya terjaminlah masa depan yang panjang yang kita bina dengan tenaga dan semangat yang satu, dengan tidak sedikit pun memberikan peluang kepada anasir-anasir yang tidak diingini.

Kita pelihara dan bangunkan negara dengan iringan doa, semoga ia terus diberikan perlindungan oleh Allah, dimakmurkan-Nya dengan rahmat dan nikmat serta rezeki yang mantap.

Beta berharap, semua orang akan mendukung konsep membangun sambil berdoa ini, kerana kita sebenarnya, tidak dapat berdiri sendiri tanpa bantuan Allah.

Akhirnya, Beta sukacita merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada ahli-ahli jawatankuasa tertinggi serta segenap peserta dalam semua acara yang dikendalikan.

Semoga Allah Subhanahu wa Ta ‘ala jua akan memberkati sumbangan ikhlas pihak-pihak yang menjayakan sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan pada kali ini.

Beta juga tidak lupa merakamkan penghargaan yang ikhlas kepada seluruh rakyat dan penduduk, termasuk semua peringkat dalam perkhidmatan awam kerajaan, pasukan-pasukan keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta atas usaha mereka yang ikhlas di bidang masing-masing.

Sekian, wa Billahi Taufiq wal-Hidayah, was Salamu ‘Alaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh.​

  

Titah Kebawah Duli Yang Mulia Paduka Seri Baginda 

Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah,

Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,

Pada 23 Februari 1999

Sempena Ulangtahun Ke-15 Hari Kebangsaan

Negara Brunei Darussalam


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen Wassalatu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen Saayyidina Muhammadin, Wa Alaa Aalihie Wasahbihie Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta ‘ala di atas limpah rahmat-Nya mengizinkan kita untuk menyambut Ulang Tahun Hari Kebangsaan yang ke-14 dalam keadaan negara terus menikmati keamanan.

Tidak ada yang lebih bererti ketika kita memasuki alaf baru ini, dari berbekalkan keamanan. Hanya dengan keamanan saja, kita dapat mencapai apa jua yang kita kehendaki.

Perkara ini lebih nyata lagi dengan memerhatikan keadaan yang ada, iaitu di mana saja keamanan itu tidak dapat dijelmakan dalam sesebuah negara, maka negara tersebut akan mengalami berbagai kemelut yang menyertainya kepada bermacam-macam penderitaan. Kerana itulah, keamanan dinamakan asas segala-galanya dan aset yang mencorakkan kehidupan.

Oleh itu, setiap bangsa yang sedar akan perkara ini, pasti terdorong untuk berkorban apa saja bagi mempertahankan keamanan itu.

Beta berharap, kita di negara ini pun demikian juga hendaknya.

Satu lagi perkara yang sangat perlu untuk disebut ialah mengenai krisis mata wang yang melanda Asia serta ramalan tentang ekonomi yang malap.

Pergolakan ini, mestilah kita jadikan iktibar supaya setiap orang tidak memandang ringan terhadap kemakmuran yang sedang kita nikmati selama ini.

Begitu juga, perkara ini seharusnya akan menambahkan lagi komitmen kita terhadap usaha-usaha pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan oleh kerajaan dari masa ke semasa.

Juga dari krisis ini, kita perlu mengambil pengajaran yang mendalam, betapa keadaan itu boleh berubah dengan cepatnya serta menjadi tidak selesa di negara-negara yang terlibat teruk. Ia tidak syak lagi merupakan kemelut paling serius sejak Perang Dunia Kedua.

Daripada pengalaman ini, akan turut pula mengajar kita untuk bagaimana mengamalkan dasar-dasar kewangan yang cermat, serta mengambil langkah-­langkah yang konkrit mengenainya. Langkah-langkah yang dimaksudkan itu, bukan semata-mata mengenai dengan penjimatan perbelanjaan, akan tetapi juga termasuk langkah-langkah meningkatkan penghasilan dan pendapatan negara.

Insya-Allah, untuk kepentingan rakyat dan penduduk, maka program-program pembangunan yang berupa rancangan-rancangan kerajaan, termasuk pertahanan, pembinaan perumahan, kemudahan pendidikan dan perkhidmatan perubatan, infrastruktur asas, pengangkutan dan perhubungan, akan tetap mendapat perhatian yang sewajarnya.

Di samping itu, rakyat pula mustahaklah mengemaskan diri dengan berbagai­-bagai kemahiran, sebagai sumbangan paling bermakna kepada negara.

Pada masa ini, terdapat sebilangan rakyat dan penduduk yang tidak mempunyai pekerjaan. Di antara sebab yang telah dikenal pasti, ialah kerana kurang memiliki kelayakan-kelayakan yang diperlukan bagi satu-satu jawatan itu, khasnya di dalam sektor swasta.

Oleh itu, beberapa program yang bersesuaian yang sudah pun ada pada masa ini, perlulah ditingkatkan lagi untuk membantu mereka memperolehi kelayakan dan kemahiran itu.

Dalam pada itu, perlu juga diperbaiki sikap setengah-setengah yang tidak gemar dengan bidang kerja di sektor swasta. Sikap ini ternyata merugikan, bukan saja kepada pemiliknya, malahan juga kepada negara.

Bagi rakyat tempatan, perkara ini mustahak difahami dengan bersungguh-­sungguh, bahawa walaupun kita menggunakan tenaga luar, namun peluang-­peluang yang ada mestilah direbut terlebih dahulu oleh rakyat dan penduduk negara ini. Kita akan lebih bangga sekiranya apa jua bidang kerjaya itu, sama ada ia di sektor kerajaan atau sektor swasta, dipegang oleh anak-anak tempatan sendiri.

Sudah sampai masanya untuk kita menjadikan perkara ini sebahagian dari wawasan negara. Lahirkan budaya mencintai kerja, dengan tidak memilih siapa majikan, kerajaan atau swasta.

Kita mulakan ia dari sekarang untuk dicontohi oleh generasi akan datang.

Kita hidupkan azam selaku bangsa yang merdeka, dengan keutamaan untuk perpaduan, supaya terjaminlah masa depan yang panjang yang kita bina dengan tenaga dan semangat yang satu, dengan tidak sedikit pun memberikan peluang kepada anasir-anasir yang tidak diingini.

Kita pelihara dan bangunkan negara dengan iringan doa, semoga ia terus diberikan perlindungan oleh Allah, dimakmurkan-Nya dengan rahmat dan nikmat serta rezeki yang mantap.

Beta berharap, semua orang akan mendukung konsep membangun sambil berdoa ini, kerana kita sebenarnya, tidak dapat berdiri sendiri tanpa bantuan Allah.

Akhirnya, Beta sukacita merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada ahli-ahli jawatankuasa tertinggi serta segenap peserta dalam semua acara yang dikendalikan.

Semoga Allah Subhanahu wa Ta ‘ala jua akan memberkati sumbangan ikhlas pihak-pihak yang menjayakan sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan pada kali ini.

Beta juga tidak lupa merakamkan penghargaan yang ikhlas kepada seluruh rakyat dan penduduk, termasuk semua peringkat dalam perkhidmatan awam kerajaan, pasukan-pasukan keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta atas usaha mereka yang ikhlas di bidang masing-masing.

Sekian, wa Billahi Taufiq wal-Hidayah, was Salamu ‘Alaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh.​

  

Titah Kebawah Duli Yang Mulia Paduka Seri Baginda 

Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah,

Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,

Pada 23 Februari 2000 

Sempena Ulangtahun Ke-16 Hari Kebangsaan

Negara Brunei Darussalam


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen Wassalatu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen Saayyidina Muhammadin, Wa Alaa Aalihie Wasahbihie Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah subahanahu wa Ta’ ala kerana dengan izin-Nya juga dapatlah kita menyambut Hari Kebangsaan pada tahun ini, di alaf baharu, buat pertama kalinya.

Telah banyak perkara dan pengharapan disuarakan mengenai kehidupan di alaf baharu ini.

Ada yang mengaitkannya dengan berbagai-bagai cabaran dan ujian, iaitu sebagai peringatan supaya warga dunia ini dapat menghadapinya dengan penuh kejayaan dan selesa.

Khusus bagi warga Brunei, kita melihatnya dari beberapa sudut, terutamanya yang berkaitan dengan survival bangsa, supaya ianya terus-menerus wujud dan mantap.

Maka ke arah ini, kita memerlukan jati diri yang besar dan yang mampu menghadapi segala-galanya.

Pada hemat beta, kita telahpun memilikinya. Hanya yang tinggal ialah langkah kita mempertahankannya.

Intipati daripada jati diri ialah sikap dan semangat taat beraja, kuat beragama, bersopan santun, elok budi bahasa, gigih dan titih serta rajin berusaha.

Ini semua adalah objektif dan cita-cita yang sukar dicapai oleh sesiapa juga, sama ada ia negara kecil ataupun besar. Tetapi alhamdulillah, Negara Brunei Darussalam telah dapat memperolehnya berkat ciri-ciri luhur yang kita amalkan, dengan agama Islam sebagai kemudinya.

Dalam alaf baharu ini, kita juga tidak terkecuali daripada berhadapan dengan berbagai-bagai arus perubahan dan perkembangan dunia.

lni semua turut memerlukan kita supaya lebih teguh lagi berpegang kepada jati diri, agar ombak badai daripada perubahan dan perkembangan itu tidak dapat memperkotak-katikkan kita.

Hala tuju perjalanan kita adalah terus berfokas kepada beberapa perkara dan agenda.

Antara agenda yang paling mustahak ialah, agenda keselamatan dan agenda kesejahteraan.

Kedua-dua agenda ini sebenarnya sudah pun lama wujud dan sebati, iaitu sejak Rancangan Kemajuan Negara yang pertama lagi.

Namun demikian, kita masih tidak jemu-jemu untuk memberikan penekanan dan tumpuan kepada kedua-dua agenda berkenaan, semata-mata untuk menunaikan komitmen kerajaan, pada mengekalkan kestabilan negara, serta mempertingkatkan lagi kualiti kehidupan rakyat dan penduduk.

Kita bersyukur kerana usaha-usaha ke arah pemulihan ekonomi negara telah dapat dijalankan, setelah melalui kesan-kesan kegawatan ekonomi serantau.

Namun demikian, pergantungan negara kepada hasil minyak dan gas masih saja ketara.

Keadaan sedemikian dijangka akan berterusan, selagi tidak terdapat industri­-industri yang dapat menyaingi, atau menjadi alternatif kepada industri minyak dan gas tersebut.

Perkara ini juga tidak syak lagi menjadi satu ujian dan cabaran kepada kita.

Dalam hubungan ini, pembangunan sumber tenaga manusia merupakan salah satu aspek terpenting dalam memulakan apa jua industri dan perusahaan.

Adalah mustahak bagi agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan memainkan peranan pada mengenal pasti industri yang dapat meningkatkan pendapatan negara, serta dapat pula memberikan pekerjaan kepada anak-anak tempatan.

Perkara-perkara lain, kita juga perlu memastikan bahawa proses globalisasi yang mewarnai alaf baharu ini tidak akan menjejaskan kepentingan negara.

Proses globalisasi yang dicetuskan oleh kemajuan teknologi, khususnya teknologi maklumat, walaupun sering dikaitkan dengan unsur negatif, dan dikatakan membawa kerumitan, namun ada juga sudut positifnya.

Sebagai misalan, ia boleh dilihat sebagai memberikan peluang pasaran yang lebih luas untuk dimanfaatkan, terutama sekali di kalangan pengusaha kita.

Proses globalisasi ini berperanan memperluas pasaran tanpa dibatasi sempadan. Sama ada suka atau tidak, bukanlah menjadi option atau pilihan lagi.

Di kebanyakan negara dunia dan serantau, sektor kerajaan bertindak selaku pemudah cara dan regulator, manakala sektor swasta berperanan sebagai penggerak ekonomi.

Kerjasama erat dan padu di antara kerajaan dan swasta amatlah mustahak untuk menentukan negara ini dapat menarik pelabur-pelabur bagi melabur di dalamnya.

Dalam hubungan ini, Brunei Darussalam selaku tuan rumah Persidangan APEC pada tahun ini, tidak syak lagi akan menghadapi tugas dan tanggungjawab yang berat.

Ia adalah satu ujian besar sejauh mana negara mempunyai keupayaan untuk memimpin perundingan-perundingan yang membabitkan beberapa kuasa dunia dan serantau.

Persidangan ini juga memerlukan kita untuk menggembleng tenaga pada memastikan yang ianya akan berjalan dengan baik dan lancar, sehingga dapat mengharumkan nama negara di mata dunia.

Di samping itu, persidangan ini juga akan turut memberikan peluang kepada negara-negara Asia-Pasifik untuk meninjau Brunei Darussalam dengan lebih dekat.

Dalam masa yang sama, yang juga tidak kurang pentingnya ialah, bagi usahawan-usahawan kita untuk menjalin rangkaian kerjasama perniagaan dengan rakan-rakan ahli negara-negara Asia-Pasifik.

Semua ini adalah sejajar dengan usaha pada mempelbagaikan ekonomi negara, serta membukakan peluang yang terbaik dari segi urusan perniagaan kepada para usahawan di negara ini.

Pada mengakhirinya, beta sukacita merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada sekalian ahli jawatankuasa tertinggi serta para peserta yang terlibat dalam semua acara sambutan yang dikendalikan.

Semoga Allah subhanahu wa Ta’ ala jua akan memberkati sumbangan ikhlas segenap pihak yang menjayakan sambuatan ulang tahun hari kebangsaan pada kali ini.

Beta juga tidak lupa merakamkan penghargaan yang ikhlas kepada seluruh rakyat dan penduduk, termasuk semua perkhidmatan awam kerajaan, pasukan-­pasukan keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta, di atas usaha mereka yang iklas di bidang masing-masing.

Sekian, wabillahi taufiq walhidayah, wassalamualafkum warahmatullahi wabarakatuh.​

  

Titah Kebawah Duli Yang Mulia Paduka Seri Baginda 

Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah,

Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,

Pada 23 Februari 2001

Sempena Ulangtahun Ke-17 Hari Kebangsaan

Negara Brunei Darussalam


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen Wassalatu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen Saayyidina Muhammadin, Wa Alaa Aalihie Wasahbihie Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah subhaahu wa taala kerana dengan izin-­Nya jua kita dapat menyambut Hari Kebangsaan kali yang ke-17 ini.

Sambutan-sambutan Hari Kebangsaan yang lalu telah banyak menekankan mengenai dengan jati diri bangsa dan persediaan bagi menghadapi alaf dan abad baharu.

Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini pula mendukung slogan: Maju Bangsaku Sejahtera Negaraku.

Masa depan yang terjamin dengan kesejahteraan dan kemakmuran adalah menjadi matlamat semua negara dan masyarakat di dunia ini.

Tetapi untuk mencapainya bukanlah mudah, melainkan ianya memerlukan usaha dan pengorbanan yang bukan sedikit, yang mesti dilakukan dengan tabah dan berani, bukan saja di peringkat akar umbi.

Tidak ada satu kejayaan yang boleh dicapai tanpa usaha, kerana usahalah merupakan tangga untuk kita naik, di mana ianya adalah perlu wujud dan berterusan.

Pintu usaha tidak boleh ditutup sama sekali, kerana dengan menutupnya bermakna kita menolak perubahan dan kemajuan.

Kita di negara ini alhamdulillah, telah mengamalkan cara dan formula ini. Sebab itu apabila kita ada masalah dan cabaran, maka kita mampu menghadapi dan menghuraikannya.

Satu contoh yang telah pun menjadi sejarah ialah apabila negara menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak Ketua-ketua Negara APEC. Ianya adalah cabaran berat kepada kita. Namun dengan adanya usaha dan komitmen semua pihak, maka kita pun berjaya dan semua peringkat turut menikmatinya.

Demikianlah berkat dan keramatnya usaha itu. Tidak ada bangsa dan negara tidak bermasalah. Maka demikianlah juga kita, masalah itu tetap ada menjadi garam hidup. Masalah yang amat lumrah di dunia hari ini, antaranya ialah pengangguran. Bukan saja di kalangan mereka yang kurang berpendidikan, malahan juga di kalangan para graduan universiti dan pemegang-pemegang diploma tinggi. Masalah ini lebih ketara berbangkit, selari dengan perubahan masa dan kejadian-kejadian gawat ekonomi yang telah menimpa banyak negara di dunia. Ianya, walaupun tidak siapa yang mengingini, namun kenyataannya telah banyak menutup peluang-peluang pekerjaan.

Beta melihat, untuk Negara Brunei Darussalam, kita perlulah melangkah kepada usaha memperkenalkan satu skim latihan bagi para mahasisiwa dan lepasan-­lepasan HND yang belum lagi mempunyai pekerjaan, baik yang berkelulusan dari dalam mahupun luar negeri.

Mereka ini ditawarkan untuk menjalani skim latihan secara aprentis di syarikat-­syarikat swasta tertentu terutama sekali yang dimiliki oleh kerajaan, dan juga termasuk syarikat-syarikat swasta yang ingin menyertainya. Penglibatan syarikat-syarikat swasta di dalam skim ini bukanlah secara paksa. Para pelatih yang menjalani penempatan di bawah skim ini akan dibayar elaun oleh pihak kerajaan. Penempatan para pelatih itu ialah bagi tempoh tertentu dan juga berdasarkan persetujuan di sepanjang penempatan ini memuaskan dan dapat memenuhi kehendak dan keperluan pihak majikan masing-masing, maka syarikat-syarikat yang berkenaan bolehlah mengambil mereka bekerja secara tetap.

Langkah ini adalah merupakan inisiatif serta-merta oleh kerajaan, dalam usaha untuk menangani masalah pengangguran di kalangan para graduan dan lepasan HND itu. Di samping itu ia juga memungkinkan untuk pihak swasta memperolehi sumber tenaga manusia yang berkualiti dari dalam negeri, yang dengannya nanti, secara beransur-ansur akan mengurangkan pergantungan kita kepada tenaga kerja dari luar negeri.

Melalui skim seperti ini, mudah-mudahan akan membuahkan pula skim-skim lain yang bertujuan untuk menangani masalah yang sama, bukan saja bagi lepasan-lepasan pengajian, malahan juga lebih menyeluruh lagi, termasuk mereka yang tidak mempunyai kelulusan tinggi.

Dengan ini nanti, kita mungkin dapat menilai dan mengenal pasti sehab-sehab yang menjadi punca kepada pengangguran di kalangan para graduan dan lepasan-lepasan sekolah kita. Adalah tidak mustahil ia turut berpunca daripada bidang dan mata pelajaran yang tidak menepati keperluan semasa dalam pasaran pekerjaan. Atau mungkin juga ia berpunca daripada sikap yang terlalu memilih pekerjaan, atau lain­-lain. Apa pun sebabnya, pengangguran adalah musuh bagi kesejahteraan dan pantang berdamai dengan masyarakat maju. Jika pun ada pengangguran itu, kehadirannya janganlah sampai melemahkan masyarakat. Ia mesti diatasi, atau sekurang-kurangnya dibatasi, sehingga dalam tempoh yang munasabah, negara kita bebas daripadanya.

Apa yang beta harapkan, negara kita mustahak mempunyai pasukan untuk membawanya ke hadapan, bukan berundur ke belakang. Tiap-tiap orang perlu ghairah menyertainya, jangan ada yang terkecuali. Kemerdekaan akan hampa jika kita hanya perlu bersikap menonton tetapi di samping menonton, rakyat juga perlu sedar dan peka dengan apa yang terjadi di hadapan mereka. Inilah sikap matang masyarakat bertamadun, sebagaimana diasaskan oleh Islam. Ia menegah sikap ‘lepas tangan’, tetapi sebaliknya mengikat setiap individu untuk bertanggungjawab kepada individu yang lain.

Tegasnya, dalam konteks bernegara dan bermasyarakat, tidak siapa pun yang harus terlantar sendirian, melainkan semuanya itu mestilah mendapat layanan dan pembelaan yang saksama.

Pada hemat beta, perkara ini bukanlah untuk dibincang atau ditawar-tawar lagi, melainkan ianya sudah pun menjadi budaya daripada pegangan kita. Dan insya Allah, dengan ini, buah kemerdekaan itu akan dapat kita nikmati secara berterusan.

Pada mengakhirinya, beta dengan tulus ikhlas sukacita merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada sekalian ahli jawatankuasa tertinggi serta para peserta yang terlibat dalam semua acara sambutan yang dikendalikan. Semoga Allah subhanahu wa taala jua akan memberkati sumbangan ikhlas segenap pihak yang menjayakan sambutan Hari Kebangsaan pada kali ini.

Beta juga tidak lupa merakamkan penghargaan yang ikhlas kepada seluruh rakyat dan penduduk, termasuk semua peringkat dalam perkhidmatan awam kerajaan, pasukan-pasukan keselamatan juga mereka yang berkhidmat di sektor swasta, di atas segala usaha mereka yang ikhlas di bidang masing-masing.

Sekian, wabillahi taufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.​

  

Titah Kebawah Duli Yang Mulia Paduka Seri Baginda 

Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah,

Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,

Pada 23 Februari 2002

Sempena Ulangtahun Ke-18 Hari Kebangsaan

Negara Brunei Darussalam


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen Wassalatu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen Saayyidina Muhammadin, Wa Alaa Aalihie Wasahbihie Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala di atas limpah rahmat­Nya mengurniakan kita peluang untuk menyambut hari-hari yang bersejarah, sama ada ianya hari yang berkaitan dengan agama ataupun bukan.

Pada tahun ini merupakan tahun yang sungguh istimewa, kerana ‘dua’ hari yang bersejarah dapat sama-sama dirayakan dengan serentak iaitu Hari Raya Aidiladha dan Hari Kebangsaan Ke-18.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Aidiladha pada tahun ini turut menyaksikan keadaan umat yang kurang ceria, disebabkan dari beberapa kesan krisis dan pergolakan di mana-mana.

Dunia adalah seolah-olah sempit, apabila semua pihak tidak dapat lagi melepaskan diri dari merasakan bahangnya.

Namun alhamdulillah, Tuhan Maha Kaya Lagi Maha Luas Rahmat-Nya, di tengah-tengah kekusutan serta fikiran-fikiran yang berserabut itu, kita umat Islam masih ada cara untuk mengatasi ketegangan-ketegangan yang ada iaitu di antaranya dengan melakukan ibadat-ibadat kepada Allah.

Pada lO Zulhijjah, umat Islam di seluruh dunia akan melakukan sembahyang Aidiladha, manakala di Mekah Al-Mukarramah pula, mereka itu sedang menjalankan ibadat haji.

Kedua-dua ibadat ini akan menjadikan orang-orang Islam bulat serta hampir dengan Allah Subhanahu Wataala. Dan sebagai natijahnya, sesiapa juga yang bulat dan hampir dengan Allah, maka orang tersebut dengan sendirinya akan masuk dalam jaminan Allah sebagai orang yang dikurniakan ketenangan. Jiwa mereka menjadi tenteram serta sejahtera kerana ibadat itu.

Insya-Allah, kita orang-orang Islam akan tetap terubat dan terpelihara dengan adanya ibadat-ibadat yang disyariatkan itu.

Marilah kita berdoa semoga umat Islam sama-sama dipelihara dan dilindungi oleh Allah, khasnya para jemaah di Mekah pada masa ini.

Beta dan keluarga beta, dengan tulus ikhlas mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh rakyat dan penduduk negara ini yang beragama Islam, di mana juga mereka berada.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar. Walillahi Hamd.

Kemudian kita beralih kepada Hari Kebangsaan. Pada tahun ini tema sambutan Hari Kebangsaan kita ialah MEMPERKASA KEUPAYAAN BANGSA.

Ianya membawa maksud mempertingkatkan keupayaan atau martabat kita sebagai bangsa Brunei yang berdaulat lagi merdeka dan selaku anggota masyarakat antarabangsa, pada menghadapi pelbagai cabaran, dalam era yang sentiasa mengalami perubahan dan keadaan tidak menentu.

Mempertingkatkan keupayaan bangsa atau negara itu adalah mustahak pada menentukan kemajuan, kejayaan dan kecemerlangan sesebuah negara, lebih-lebih lagi dalam konteks perkampungan global yang kompetitif serta tidak bersempadan.

Di arena antarabangsa khususnya di bidang perniagaan, sebagai misalnya, keupayaan pada mengenal pasti adanya peluang-peluang perdagangan dalam sektor atau industri yang tertentu sangatlah berguna untuk membolehkan sebuah negara itu mempunyai kelebihan, yakni ‘competitive edge’ dan dapat mendahului atau mengatasi saingan dari negara yang lain.

Bagi maksud meningkatkan keupayaan tersebut, kita perlulah menilai, mengenal pasti dan mengatasi sebarang kelemahan atau kekurangan kita serta mengambil iktibar akan pengalaman dan perjalanan yang telah ditempuh oleh masyarakat dan bangsa lain yang telah berjaya dan maju.

Yang demikian itu sudah barang tentunya memerlukan komitmen dan ketabahan semua pihak, bukan saja setakat menyerahkannya kepada kerajaan atau sektor swasta, tetapi hendaklah sama-sama berganding bahu pada menanai tugas dan tanggungjawab ini secara bersepadu.

Seperti kata pepatah, ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’.

Apa juga bangsa dan negara itu, mereka perlulah berpandangan jauh, bijaksana, bersatu dan komited dalam merancang serta melaksanakan strategi pembangunan dan kemajuannya.

Dalam hubungan ini, salah satu usaha kita pada meningkatkan keupayaan bangsa dan negara ialah melalui Rancangan Kemajuan Negara Ke-8 bagi tempoh tahun 2001 hingga tahun 2005.

Ianya merupakan fasa ke-4 dan terakhir dalam rancangan pembangunan negara jangka panjang yang telah dimulakan kira-kira 16 tahun yang lalu.

Bagi tahun 2002 ini, kerajaan telah menambah peruntukan kemajuan sebanyak 82 peratus yang membawa kepada 1 bilion ringgit untuk menguatkan lagi kegiatan ekonomi, bagi sasaran kadar pertumbuhan yang lebih positif.

Rancangan Kemajuan Negara kali ini memberikan lebih tumpuan kepada pembangunan sosioekonomi yang seimbang serta pemesatan pembangunan sumber manusia dan mengembangmajukan perusahaan-perusahaan melalui peningkatan pelaburan dalam dan luar negeri.

Di samping itu, ianya menggalakkan kemajuan perkhidmatan-perkhidmatan termasuk perkhidmatan kewangan dan pelancungan serta penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi secara meluas.

Sesungguhnya program-program yang terkandung di dalam Rancangan Kemajuan Negara itu adalah semata-mata dihasratkan untuk menjamin kesejahteraan hidup rakyat dan penduduk negara kita.

Insya-Allah ini akan dapat dicapai melalui pertumbuhan ekonomi dan pembangunan yang lebih berdaya tahan, yang akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan, memperbesarkan saiz sektor swasta dan sekali gus meningkatkan penglibatan secara aktif pengusaha-pengusaha tempatan.

Maka ke arah ini penglibatan bersama di antara sektor kerajaan dan sektor swasta adalah sangat mustahak, lebih-lebih lagi pada menggalakkan pelaburan asing, selain dari meningkatkan pelaburan dalam negeri, terutama sekali di dalam usaha untuk mempelbagaikan ekonomi negara.

Demikian pula perhatian terhadap penguasaan dan kemahiran dalam teknologi maklumat dan komunikasi atau ICT perlulah terus diutamakan, sebagai salah satu usaha memperkasa keupayaan bangsa.

Kerajaan telah melancarkan beberapa projek yang berkaitan dengan teknologi maklumat dan komunikasi termasuk ‘e-government’ bagi meningkatkan lagi produktiviti dan kecekapan dalam perkhidmatan awam dan pentadbiran kerajaan.

Maka bersempena Hari Kebangsaan kita ini, marilah kita sama-sama memperbaharui azam dan tekad untuk terus bersatu padu mempertahankan keamanan dan kestabilan negara serta menjaga keharmonian, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat dan penduduk, seperti mana yang telah sekian lama kita nikmati.

Janganlah hendaknya usaha-usaha pada memperkasa keupayaan bangsa itu tergugat oleh gejala-gejala sosial yang tidak diingini seperti keruntuhan moral, penyalahgunaan dadah dan seumpamanya.

Agensi-agensi yang berwajib hendaklah meningkatkan usaha mereka pada menangani masalah-masalah sosial, supaya ianya tidak melarat sehingga memudaratkan bangsa dan negara.

Keupayaan kita sebagai bangsa yang merdeka hendaklah diperkuat lagi dengan mengukuhkan institusi keluarga serta menjaga keharmonian dalam hidup berumah tangga, bermasyarakat dan bernegara, di samping tekun menjalankan suruhan agama dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Perjalanan yang dilalui memang tidak sunyi daripada pelbagai cubaan dan rintangan, namun berkat keimanan yang disusuli dengan usaha-usaha gigih kita, maka insya-Allah, semua matlamat dan cita-cita murni untuk negara dan bangsa akan dapat disaksikan kejayaannya.

Kita berdoa semoga segala rancangan kemajuan dan program yang diusahakan itu akan mendapat keredaan Allah Subhanahu Wataala jua, Amin Ya Rabbal ‘Alameen.

Akhirnya, beta ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada sekalian ahli jawatankuasa serta para peserta yang terlibat dalam semua acara sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini.

Semoga Allah Subhanahu Wataala akan memberkati dan membalas sumbangan ikhlas segenap pihak yang turut menjayakan sambutan tersebut.

Beta tidak lupa juga merakamkan penghargaan yang tulus ikhlas kepada seluruh rakyat dan penduduk, termasuk semua peringkat dalam perkhidmatan awam kerajaan, pasukan-pasukan keselamatan serta sektor swasta, di atas segala usaha dan sumbangan mereka yang ikhlas di bidang masing-masing.

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.​

  

Titah Kebawah Duli Yang Mulia Paduka Seri Baginda 

Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah,

Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,

Pada 23 Februari 2003

Sempena Ulangtahun Ke-19 Hari Kebangsaan

Negara Brunei Darussalam


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen Wassalatu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen Saayyidina Muhammadin, Wa Alaa Aalihie Wasahbihie Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, Kita bersyukur Ke hadrat Allah Subhanahu Wataala di atas limpah rahmat-Nya mengizinkan kita menyambut Ulang Tahun Hari Kebangsaan ke­19 dalam suasana aman dan sejahtera.

Seperti mana yang beta sering tekankan, bahawa keamanan dan kestabilan adalah mempunyai harga yang tersendiri dalam kehidupan berbangsa dan bernegara. 

Lebih-lebih lagi kita akan dapat memaham harga keamanan itu, manakala berhadapan dengan pergolakan dunia yang sedang mengancam umat manusia pada hari ini.

Rantau ASEAN juga adalah tidak terkecuali dari turut dilanda oleh kejadian-kejadian yang boleh menjejaskan kestabilan dan keamanan.

Dalam menghadapi apa juga ancaman, pendirian Negara Brunei Darussalam adalah tegas, tidak memberikan sokongan atau restu kepada setiap perbuatan yang boleh menjejaskan keamanan, dalam apa jua bentuknya.

Kita selamanya ber­pegang kuat kepada prinsip keadilan dan keamanan yang dipertahankan oleh semua anggota masyarakat antarabangsa.

Kita di Negara Brunei Darussalam sekali-kali tidak mengabaikan usaha­usaha untuk mengekalkan keamanan dan ketenteraman, yang menjadi punca kepada kemakmuran. Pembangunan yang berkesan, hanya akan boleh dicapai dengan adanya keamanan.

Di samping faktor keamanan, semangat cintakan negara juga mestilah dimiliki oleh setiap rakyat. Kerana semangat patriotisme itu adalah merupakan bahan bakar yang amat diperlukan. Tanpa adanya bahan bakar ini, segala jentera tidak mungkin berfungsi.

Begitulah keadaan tabiat manusia, memerlukan rangsangan dari dalam untuk mereka dapat berbakti dan berkorban terhadap negara.

Dengan berbekalkan patriotisme di dada, kita semua akan serentak mendukung perpaduan. sambil membangun negara ini dengan cara kita sendiri.

Kita akan bertolak dari asas yang sama, iaitu sikap saling hormat-menghormati, toleransi dan berawargalat serta mematuhi ajaran-ajaran Islam selaku tunggak utama kepada keharmonian dan kesejahteraan bangsa.

Inilah kunci yang me­nentukan kita mampu bersaing di arena dunia antarabangsa yang serba mencabar ini.

Kerajaan beta dalam pada itu memberikan perhatian yang serius kepada usaha-usaha untuk memajukan tahap sosioekonomi negara.

Usaha sedemikian sangat bergantung kepada rakyat yang berilmu dan berkemahiran. Kerana tanpa ilmu dan kemahiran, tidak mungkin dicapai sebarang kemajuan.

Maka sehubungan ini, kerajaan beta akan terus memastikan bahawa sistem pendidikan kebangsaan kita adalah relevan bagi memenuhi semua kehendak dan keperluan negara.

Kita masih perlu berusaha untuk mencapai infrastruktur pendidikan sehingga ke tahap yang sebaik-baiknya.

Beta gembira, kerana penglibatan sektor swasta dalam mengembangkan pendidikan secara proaktif di negara ini, adalah amat menggalakkan, terutama sekali dalam menyediakan pelbagai perkhidmatan pendidikan, khasnya di peringkat ijazah dan diploma.

Perkhidmatan sedemikian memberikan pilihan kepada para pelajar dan belia untuk meneruskan pengajian mereka ke tahap ijazah dan diploma yang diiktiraf oleh antarabangsa, dengan perbelanjaan yang termampu di dalam negara.

Walau bagaimanapun, keperluan bagi pembangunan dan kemakmuran bukanlah semata-mata bergantung kepada tenaga manusia yang berkemahiran sahaja.

Kita juga memerlukan jumlah pekerjaan yang mencukupi supaya dapat dielakkan pembaziran tenaga manusia dan seterusnya membolehkan setiap ahli masyarakat menikmati kehidupan produktif yang tidak membosankan.

Kita sedia menyedari akan masalah pengangguran yang dihadapi oleh negara.

Selama ini, sektor kerajaan merupakan majikan yang terbesar di negara ini.

Pergantungan sepenuhnya kepada sektor kerajaan bagi menampung keperluan pekerjaan, tidaklah dapat bertahan lama bagi jangka masa yang berterusan.

Oleh itu, membangun serta memantapkan sektor swasta adalah merupakan alternatif utama dalam menangani masalah peng­angguran melalui pewujudan pembangunan ekonomi yang berdaya tahan lagi berterusan. Inilah satu­satunya cara supaya kita dapat menyediakan lebih banyak lagi peluang pekerjaan.

Sebagai salah satu langkah utama terhadap pembangunan sektor swasta dan ekonomi, kerajaan beta melalui Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei telah melancarkan satu inisiatif baru yang dijangka akan membangunkan dua tapak perindustrian di Sungai Liang dan Pulau Muara Besar.

Dengan perlaksanaan inisiatif ini, imej negara sebagai destinasi pelaburan akan dapat ditingkatkan dan insya-Allah, akan menambahkan juga keyakinan para pelabur asing untuk melabur di negara ini.

Cadangan bagi pembangunan industri di tapak-tapak tersebut juga dijangkakan dapat menambahkan lagi peluang-peluang pekerjaan.

Di samping itu, kita juga berharap, kerja-kerja membangunkan infra­struktur yang diperlukan untuk industri-industri yang besar ini, akan menghasilkan pelbagai industri sampingan terutamanya di dalam sektor-sektor perkhidmatan.

Kita juga penuh yakin bahawa sektor swasta akan bersedia untuk memainkan peranan lebih besar serta bersikap proaktif dengan meneroka dan merebut peluang-peluang yang ada ke arah menggerak serta mempercepatkan lagi pertumbuhan ekonomi negara.

Dalam pada itu, beta juga ingin mengingatkan anggota-anggota Perkhidmatan Awam supaya sentiasa peka terhadap keperluan sektor swasta terutama sekali memastikan semangat berdikari rakyat dan penduduk di negara ini terus meningkat dan tidak dilemahkan oleh pengurusan yang kurang cekap, malah hendaklah sentiasa turut dirangsang melalui komunikasi dua hala yang sihat.

Kepada para belia, sikap tidak gemar sebahagian mereka dengan bidang kerjaya di sektor swasta perlulah dikikis dan sebaliknya digantikan dengan sikap dedikasi dan komitmen kepada kerja tanpa memilih siapa majikan, sama ada kerajaan atau swasta.

Akhirnya, beta sukacita merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Kebangsaan dan para peserta di dalam acara yang dikendalikan.

Kepada seluruh rakyat dan penduduk, termasuklah semua peringkat di dalam perkhidmatan awam kerajaan pasukan- pasukan keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta, beta tidak lupa merakamkan penghargaan di atas usaha mereka yang ikhlas di dalam melaksanakan segala tugas dan tanggungjawab mereka masing-masing.

Sekian, Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.​

  

Titah Kebawah Duli Yang Mulia Paduka Seri Baginda 

Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah,

Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,

Pada 23 Februari 2004

Sempena Ulangtahun Ke-20 Hari Kebangsaan

Negara Brunei Darussalam


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen Wassalatu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen Saayyidina Muhammadin, Wa Alaa Aalihie Wasahbihie Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala atas limpah rahmat-Nya mengizinkan kita menyambut Hari Kebangsaan tahun ini dalam suasana aman, tenteram dan sejahtera. 

Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini adalah begitu bermakna kerana ia merupakan genapnya Negara Brunei Darussalam mencapai 20 tahun kemerdekaan.

Dalam masa dua dekad itu, negara kita telah berjaya mencatat pelbagai perkembangan dan kemajuan di pelbagai bidang.

Dalam waktu yang sama kita juga berhadapan dengan cabaran serta turut menyaksikan pelbagai krisis yang berunsur geopolitik, ekonomi dan keselamatan serantau mahupun antarabangsa. Kesemua pengalaman ini menjadikan negara dan rakyat bertambah-tambah matang.

Kita juga berhasil meletakkan negara berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain, sambil tidak ketinggalan turut memelihara keamanan dan kestabilan serantau mahupun antarabangsa. 

Kita adalah negara yang sentiasa menghormati undang-undang antarabangsa. Kerana itu, untuk selama-lamanya kita tidaklah pernah bersetuju dengan sebarang tindakan yang tidak adil, yang berbau penindasan atau keganasan oleh sesiapa juga. 

Sikap dan peranan kita ini amatlah dihormati serta diiktiraf sebagai adil dan bertanggungjawab oleh semua pihak. 

Peranan kita terhadap keamanan sejagat, dicerminkan oleh suasana dalam negara sendiri, dimana dengan kurnia Allah, kita sentiasa berada dalam aman dan rakyat pula hidup bahagia serta harmoni, tiada perpecahan dan pergaduhan sesama sendiri.

Inilah dia Negara Brunei Darussalam.

Jika ada yang melihat Negara Brunei Darussalam itu lain daripada ini, maka kita persilakan mereka supaya melihat lagi. Maklum sajalah negara kita ini kecil dan mungkin saja ia masih tersorok bagi setengah pihak, di mana kerana itu kita tidaklah hairan jika masih ada lagi perkara yang belum sampai ke pengetahuan mereka. 

Kepada rakyat beta, apa pun orang lain menganggapnya namun yang penting ialah realiti, bahawa kita ini adalah bangsa yang merdeka, memerlukan agenda-agenda pembangunan bagi kelangsungan yang tidak terbatas.

Kita masih banyak tugas untuk diteruskan. Dua dekad cumalah satu langkah ke hadapan, di mana masa kita terlalu panjang dan ruang pula terlampau luas untuk diteroka.

Marilah kita sama-sama menempuhnya demi anak emas kemerdekaan yang kita tatang ini. Kita isi ia dengan pembangunan sempurna, dengan komitmen dan patriotisme luhur, bukan dengan slogan-slogan kosong yang kurang bermakna.

Biarpun kita ini berada dalam era globalisasi, namun jati diri tidak akan kita abaikan sama sekali. Kita akan tetap tegak dan berdiri di atas kaki sendiri. 

Kita akan terus memupuk nilai-nilai warisan yang baik, sambi! itu tidak pula keberatan untuk menerima sebarang budaya yang membina, bukan yang merosak.

Jika sesuatu nilai itu bercanggah dengan ugama dan adat resam kita, maka ia sangatlah tidak baik bagi kita, lalu hendaklah ia disekat. Kerana jika tidak, ia akan meracuni kita. 

lnilah tugas semua individu yang bernama bangsa Brunei Darussalam. Dan di sinilah nilai patriotisme itu, bukan hanya untuk diungkapkan, malahan lebih penting menterjemahkan ke dalam tindak-tanduk kita yang diredai oleh Allah, demi untuk keamanan, kesejahteraan dan keselamatan semua. Sebarang tindakan atau perbuatan yang menyalahi konsep mentaati Allah, adalah itu tidak patriotik namanya, kerana ia mengundang kepada kecelakaan.

Inilah tanggungjawab besar kita, jika benar kita sayangkan negara dan ke­mederkaannya. Kita perlu ingat, bahawa negara dengan kemerdekaan itu bukanlah hadiah siapa­siapa, tetapi adalah kurnia daripada Allah.

Oleh itu, dalam usaha kita membangunkan negara dan memelihara kemerdekaan tersebut, maka kita perlulah melihat kedua-duanya itu selaku milik Allah pula.

Dengan ini insya-Allah, kita akan menjadi bangsa yang mulia dengan negara beroleh kemakmuran, keamanan dan kesejahteraan.

Apakah yang lebih hebat daripada ini?.

Semua warga dunia mencari-cari keamanan, di mana kita di sini telah pun memilikinya. Semua warga dunia menginginkan kemakmuran, di mana kita di sini alhamdulillah telah pun menikmatinya. Semua warga dunia tidak mahu sengsara disebabkan oleh pergolakan-pergolakan atau keadaan-keadaan yang tidak stabil, di mana kita di sini alhamdulillah adalah bebas daripadanya.

Inilah nikmat Tuhan kepada kita, berkat kebolehan kita menjalankan tanggungjawab –tanggungjawab kita terhadap rakyat dan negara dengan jujur, adil dan saksama.

Di bidang perancangan untuk kemajuan dan kemakmuran negara, kita telah pun melaksanakan rancangan kemajuan jangka panjang yang bermula dengan Rancangan Kemajuan Negara Ke-5 dalam tahun 1986 dan akan berakhir dengan Rancangan Kemajuan Nega Ke-8 pada tahun hadapan.

Rancangan-rancang ini tidak syak lagi banyak membawa kepada kemajuan dan perubahan bagi negara. Ia turut menhidangkan cabaran untuk masa depan ke arah kemajuan yang lebih kompetitif, di mana berikutnya kita perlulah mengekalkan matlamat pembangunan kita yang lebih strategi.

Di samping itu, kita masih berkewajipan untuk mempertingkatkan infrastruktur fizikal, rancangan kemajuan jangka panjang selepas tahun 2005. Ia adalah termasuk sebagai hala tuju bentuk wawasan negara.

Bagi tujuan ini, insya-Allah, beta dalam sedikit masa lagi akan menubuhkan sebuah badan petugas bagi mengemaskinikan lagi wawasan negara. Dan sehubungan ini juga, sebuah badan lagi, badan perencana kemajuan jangka panjang akan ditubuhkan diketuai di peringkat menteri dengan peranannya untuk menyediakan rangka kerja dan perancangan kemajuan bagi jangka waktu 30 tahun yang akan bermula pada tahun kewangan 2006 untuk pertimbangan kerajaan beta.

Dalam langkah ini beta percaya, semua lapisan masyarakat di negara ini akan sama-sama komited, di mana sebagai ‘stakeholders’ mereka jua perlu terlibat.

Bagi mendapatkan kesan yang memuaskan dalam pertumbuhan ekonomi negara, ianya adalah turut bergantung kepada jentera pentadbiran dan pengurusan. Ia perlulah lebih efisien dan proaktif atau mungkin juga memerlukan perubahan-perubahan system pengurusan dan pembuatan keputusan dalam kerajaan.

Apa pun jua, secara umumnya dapatlah disimpulkan bahawa negara memerlukan tenaga kerja yang berkemahiran dan mempunyai nilai tambah. Dan ini, hanya boleh dicapai dengan memiliki sistem pendidikan yang sentiasa menyediakan dasar dan kurikulum pendidikan yang relevan kepada pasaran pekerjaan dan keperluan negara, terutamanya di peringkat pendidikan tinggi dan vokasional.

Inilah dia yang paling atas patut menjadi azam kita dalam menyambut dan merayakan Ulang Tahun Ke-20 Hari Kebangsaan kita. Kita membangun negara, membina diri dan mengisi kemerdekaan dengan ketaatan kepada Allah serta dengan patriotisme dan ilmu.

Untuk akhirnya, beta ingin mengambil kesempatan merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih yang tulus ikhlas kepada seluruh rakyat dan penduduk yang beta kasihi, termasuklah semua peringkat ahli Perkhidmatan Awam, pasukan-pasukan keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta.

Demikian juga ucapan terima kasih yang sama kepada Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi dan lain-lain jawatankuasa Sambutan Perayaan Ulang Tahun Ke-20 Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.

Semoga komitmen kita semua diberkati oleh Allah.

Sekian, Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.​

  

Titah Kebawah Duli Yang Mulia Paduka Seri Baginda 

Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah,

Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,

Pada 23 Februari 2005

Sempena Ulangtahun Ke-21 Hari Kebangsaan

Negara Brunei Darussalam


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen Wassalatu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen Saayyidina Muhammadin, Wa Alaa Aalihie Wasahbihie Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, beta bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah rahmat-Nya juga dapatlah kita menyambut Ulang Tahun Hari Kebangsaan Ke-21 ini dalam suasana aman dan bahagia.

Sudah lebih 20 tahun kita menikmati kemerdekaan dan kedaulatan. Dalam tempoh tersebut, kita telah membangun dan memajukan negara ini dengan sepenuh hati dan semangat.

Beta merasa amat bangga dengan usaha-usaha pembangunan oleh rakyat selaku warga masyarakat antarabangsa yang prihatin.

Mereka telah mempamerkan cirri-ciri kematangan dalam bernegara yang ditunjukkan melalui gaya hidup lebih maju dan berdikari.

Sikap bangsa yang demikian inilah yang diperlakukan oleh sesebuah negara merdeka. Kerana tanpa sikap maju serta prihatin itu, negara hanya akan kekal di takuk yang lama atau ia mesti bersedia untuk menerima celaan.

Usaha-usaha kita mengisi kemerdekaan adalah dengan mengambil bentuk proses evolusi. Namun ia tetap cergas dan berterusan. Kerana itu, apa-apa jua yang kita capai atau perolehi adalah sentiasa relevan kepada kehendak dan keperluan negara.

Usaha-usaha ini berjalan serentak melalui pembangunan rohani dan fizikal secara seimbang. Ia tidak boleh pincang dalam kita menjana dan membina ummah.

Sebagaimana juga kita mempersiap dan menyediakan infrastruktur asas untuk kehidupan seperti perumahan, jalan raya, elektrik, air, bangunan-bangunan dan seumpamanya, maka begitulah pula halnya dengan jiwa, semangat dan pemikiran adalah memerlukan tarbiah langsung oleh negara. Maka untuk itu, bidang pendidikan dan dakwah adalah memainkan peranan yang utama. Sebab itulah jentera pendidikan dan dakwah itu tidak boleh sama sekali lemah.

Pendidikan pada khususnya mestilah jelas, bahawa keperluan umum tidak akan mengatasi keperluan agama. Dalam makna, pendidikan agama juga hendaklah sama-sama diutamakan. Di peringkat asas, pendidikan agama hendaklah sempurna, sementara di peringkat tinggi pula hendaklah mampu melahirkan ulama dan cendekiawan berwibawa. Jangan sama sekali ia kurang atau dikurangkan. Kerana berdasarkan fakta sejarah di mana-mana sahaja, jika pendidikan agama lemah, maka akan lemah pulalah bangsa.

Menyentuh mengenai pembangunan negara yang mantap, ia adalah sangat bergantung kepada jentera Perkhidmatan Awam yang dapat memenuhi keperluan dan harapan masyarakat. Lalu untuk itu, kerajaan beta telah mewujudkan satu Wawasan Perkhidmatan Awam Abad K-21.

Setiap agensi kerajaan hendaklah memastikan diri masing-masing dapat mencapai matlamat wawasan tersebut.

Semua kementerian dan jabatan kerajaan dikehendaki mengenai pasti isu-isu yang mempunyai kepentingan nasional bagi dibincang dan seterusnya diselaraskan bersama-sama.

Demikian juga ikatan yang kukuh di antara kerajaan dan rakyat serta penduduk perlulah pula wujud, untuk merealisasikan lagi kejayaan-kejayaan yang telah dan akan dicapai.

Untuk itu kerajaan beta adalah sentiasa menyambut baik pandangan-pandangan yang bernas daripada kalangan rakyat jelata, tentang bagaimana cara-cara yang munasabah untuk mempertingkatkan lagi mutu pengendalian kerajaan di bidang-bidang pembangunan dan pentadbiran.

Dan inilah juga makanya Majlis Mesyuarat Negara diadakan semula, sebagai wadah kearah penglibatan rakyat yang lebih formal dalam menyalur atau mengemukakan buah fikiran dan cita rasa mereka.

Walaupun kita menumpukan tenaga kepada soal-soal dalaman, namun hal ehwal serantau dan antarabangsa tetap pula tidak diabaikan.

Semenjak kita mencapai kemerdekaan, kita juga telah turut memikul tanggungjawab selaku warga masyarakat antarabangsa yang berdaulat.

Kita telah sama-sama menghadapi dan menangani ujian-ujian semasa seperti krisis-krisis ekonomi, keselamatan, kesihatan dan juga bencana-bencana alam yang melanda rantau kita ini di dalam masa satu dekad.

Di sepanjang detik-detik kerumitan tersebut, kita telah banyak memilih jalan kita sendiri, dengan berperang kepada posisi sendiri, dengan berpegang kepada posisi sendiri. Namun begitu, kita juga sentiasa terbuka untuk menilai dan mendengarkan pandangan-pandangan daripada negara-negara lain.

Proses berdialog, berbincang dan bekerjasama tetap menjadi asas kepada dasar hubungan kita dengan negara-negara lain.

Pada akhirnya, marilah kita memelihara kemerdekaan negara dan bangsa ini dengan doa dengan rasa syukur yang mendalam terhadap Allah Subhanahu Wataala, semoga Dia mengekalkannya serta melindungi kita daripaa sebarang kehendak dan rancangan-rancangan jahat musuh untuk memporak-perandakan ketenteraman dan kemakmuran negara.

Beta mengucapkan terima kasih kepada Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi dan lain-lain Jawatankuasa Sambutan Perayaan Ulang Tahun Ke-21 Hari Kebangsaan dan semua peserta dan petugas yang turut berusaha untuk menjayakan perayaan ini.

Kepada seluruh rakyat dan penduduk yang beta kasihi, termasuklah semua peringkat ahli Perkhidmatan Awam, pasukan-pasukan keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta, beta juga tidaklah lupa untuk merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih yang tulus ikhlas.

Sekian Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.​

  

Titah Kebawah Duli Yang Mulia Paduka Seri Baginda 

Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah,

Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,

Pada 23 Februari 2006

Sempena Ulangtahun Ke-22 Hari Kebangsaan

Negara Brunei Darussalam


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen Wassalatu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen Saayyidina Muhammadin, Wa Alaa Aalihie Wasahbihie Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, Beta bersyukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin dan limpah rahmatNya jua, dapatlah kita menyambut Ulang Tahun Hari Kebangsaan ke-22 dalam suasana aman dan sej ahtera.

Tahun ini adalah tahun ke dua puluh lindungnya Paduka Ayahanda Beta, AI-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Kl1airi Waddien.

Maka amat wajarlah rasanya kita mengenang semula Baginda itu selaku raja yang amat prihatin kepada nasib bangsa dan negara ini.

Usaha Paduka Ayahanda untuk memajukan bangsa dan negara, adalah tidak ada tolok bandingnya. 1a dibuat tanpa memikirkan kepentingan diri, dan bahkan tanpa menghiraukan sebarang tekanan daripada mana-mana juga pihak. 1a berjalan begitu teratur, sehingga membuahkan hasil yang sangat membanggakan.

Dan kita alharndulillah, telah mengambil banyak teladan daripada Baginda itu, yang menjadikan kita terus mantap serta menikmati hasil usaha dan perjuangan kita yang panjang.

Perjalanan kita kearah menjana kemakmuran mestilah diteruskan. Ia bukanlah satu jalan mudah, tetapi memerlukan tenaga serta daya fikir yang kuat, sehingga mampu meletakkan kita untuk berhadapan dengan pelbagai rintangan.

Diantara rintangan-rintangan itu ialah kemungkinan terdapatnya kekurangan tenaga.

Di dunia pada hari ini, rata-rata orang bergantung kepada sumber tenaga minyak dan gas, sedangkan dua sumber ini adalah merupakan sumber yang terhad, serta berkemungkinan untuk pupus pada suatu ketika kelak.

Dalam makna, dunia kita ini - apabila sampai waktunya - akan berhadapan dengan kekurangan sumber tenaga itu, yang boleh menjadikan semua pihak terjejas atau tergugat. Tidakkah ini suatu malapetaka besar jika berlaku?

Disinilah harganya hidup saling membantu dan menjalin persefahaman. Ia berguna, bukan sahaja dalam masa senang, malahan lebih perlu ketika ditimpa kesusahan. Kesenangan itu boleh sahaja dicapai dengan kerja keras,. tetapi musibah jika berIaku, biasanya adalah diluar jangkaan.

Sebab itulah, idea menubuhkan “BadanDunia” adalah suatu ‘idea besar’ tujuannya yang utama ialah, supaya hubungan di antara bangsa-bangsa menjadi rapat dan padu, bukannya untuk bersengketa atau berpecah belah.

Ugama kita, Islam, sudah pun lebih awal melihat perkara ini, bilamana Allah Subhanahu Wata’ ala berfirman di dalam Surah al-Hujurat ayat 13, tafsirnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami juga menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku kaum, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra diantara satu dengan yang lain). (Namun) sesungguhnya yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah, siapa yang lebih takwanya.”

Jika kita mengambil semangat Ayat ini, manusia tidaklah akan bergaduh, tidak akan menghina sesama sendiri; apatah lagi menghinakan para nabi dan rasul, siapa yang secara istimewa telah di utus untuk menyempurnakan akhlak serta mengajar manusia bagaimana untuk mengenali hidup ini, selaku hamba yang lemah di hadapan al- Khaliq Yang Maha Pencipta.

Jadi tidak syak lagi, perbuatan menghina nabi dan rasul, sama ada dengan lisan atau tulisan, adalah ia sangat jijik dan dikutuk oleh semua tamadun dan ugama. Dengan apapun alasan untuk menghalalkannya, termasuk dengan alasan kebebasan bersuara dan akhbar, adalah tidak dapat diterima.

Kita ingin bertanya: Manakah satu yang lebih mulia dan lebih berharga, nabi dan rasulkah, siapa yang menjadi penyelamat dan pembawa rahmat kepada ‘alam seluruhnya, ataupun sekadar sekelumit kebebasan yang didakwakan itu? Dan apalah yang ada pada kebebasan jika ia digunakan untuk menyakiti hati serta untuk mengharu-birukan dunia?

Alhalndulillah, Beta amatlah bersyukur, kerana kita di negara ini dan juga media-media kita tidak terlibat langsung untuk mempromosi tengkarah hitam yang tidak berfaedah itu. Maka dengan ini, Beta delfgan tulus ikhlas ingin merakamkan tahniah kepada negara dan rakyat, kerana terus mengekalkan sifat-sifat ketamadunan yang tinggi lagi tulen di dalam kehidupan kita.

Beta yakin, dengan berbekalkan sifat-sifat yang terpuji ini, bangsa kita akan berupaya untuk melihat kehadapan, dimana jalan yang berrmanfa’at untuk ditempuh, dan dimana pula yang tidak baik untuk dihindari.

Kita juga akan turut berperanan, sama ada diarena serantau mahupun antarabangsa, dengan pendekatan yang adil, iaitu sama-sama melakar dan mengusahakan kebaikan, di mana dalam masa yang sama juga sama-sama mengelak dan menolak keburukan.

Beta yakin, tidak ada cara yang lebih baik dari lni.

Marilaah kita berdo’a semoga Allah Subhanahu Wata’ala teru memeIihara kita dengan taufiq dan hidayat-Nya dengan mengurniakan keselamatan, ketenteraman dan kesejahteraan kepada negara.

Akhirnya, Beta mengucapkan terima kasih kepada ahli - ahli Jawatankuasa Tertinggi dan lain-lain Jawatankuasa Sambutan Perayaan Ulang Tahun ke Dua Puluh Dua Hari Kebangsaan, dan semua peserta serta petugas yang turut berusaha untuk menjayakan perayaan ini.

Demikian juga semua rakyat dan penduduk yang Beta kasihi, termasuk seluruh peringkat ahli Perkhidmatan Awam, Pasukan-Pasukan KeseIamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta, Beta tidak lupa untuk merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih yang tulus ikhlas.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatulhlhi Wabarakatuh​

  

Titah Kebawah Duli Yang Mulia Paduka Seri Baginda 

Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah,

Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,

Pada 23 Februari 2007

Sempena Ulangtahun Ke-23 Hari Kebangsaan

Negara Brunei Darussalam


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen Wassalatu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen Saayyidina Muhammadin, Wa Alaa Aalihie Wasahbihie Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin-Nya jua, dapatlah kita menyambut Ulang Tahun Hari Kebangsaan Ke-23 dalam suasana aman dan sejahtera.

Hari ini sudah genap 23 tahun kita mencapai taraf selaku sebuah negara merdeka lagi berdaulat.

Dalam usia 23 tahun ini, kita sudah menjadi matang dan mampu untuk memahami cabaran-cabaIan kehidupan.

Di antara cabaran paling mencabar ialah kesediaan kita mengakui kelemahan yang ada, di samping tidak pula lambat untuk membuat pembaikan-pembaikan.

Dalam perkhidmatan awam, kita dikehendaki berfikiran terbuka untuk mengatasi kelemahan-kelemahan yang ada, dan juga bersikap pro-aktif untuk memperolehi kecemerlangan.

Demikian pula pihak swasta, digalakkan sama-sama untuk menyumbang kepada pertumbuhan negara, khasnya dalam memperkasa Kadar Pengeluaran Kasar Negara yakni G-D-P, melalui kegiatan-kegiatan ekonomi yang lebih terarah dan bermakna.

Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan juga dapat dilihat sebagai penting untuk membina negara dan bangsa, dengan kegiatan-kegiatan mereka yang bermanfa’ at.

Di samping itu, orang ramai juga disatu pihak, mempunyai tanggungjawab tersendiri dengan peranan-peranan mereka yang beraneka jenls.

Keempat-empat sektor inilah yang menjadi tunggak utama negara, untuk ia terus wujud selaku negara merdeka, yang mampu berhadapan dengan suasana dunia yang amat kompetitif dan tidak menentu ini.

Kegiatan-kegiatan berdaya maju yang berasaskan kepada kematangan dan kemantapan sektor-sektor berkenaan itulah, merupakan sumbangan paling bererti kepada negara. Dalam makna sama-sama memberi dan menerima, bukan setakat menjadi pengguna kepada sumber-sumber negara.

Kematangan dan kemantapan iaitu, tidak syak lagi, menjadi bukti keupayaan kita memperkasa bangsa.

Selari dengan hasrat memperkasa bangsa, sektor perkhidmatan awam memerlukan pengemasan dan peningkatkan etika yang lebih disenangi.

Maka kearah ini, Beta telahpun memperkenankan penubuhan sebuah jawatankuasa yang diberi nama Jawatankuasa Pandu Pemberian Perkhidmatan Kepada Orang Ramai Oleh Agensi-Agensi Kerajaan.

Jawatankuasa ini akan diselaraskan oleh Jabatan Perdana Menteri dan akan bertanggungjawab bagi meningkatkan lagi kualiti pemberian perkhidmatan kepada orang ramai.

Kita perlu melihat, selaku sebuah negara kecil dengan sumbernya yang terhad, sudah tentu memerlukan tenaga-tenaga yang lebih inovatif untuk menguruskan sumber tersebut. Hanya dengan ini saja, kita akan mampu mengekalkannya serta juga mengadakan nilai tambah yang diperlukan oleh negara.

Kecemerlangan ekonomi bukan diukur dari pencapaian kuantiti semata-mata, malahan juga kualiti pembangunan secara keseluruhan.

lni, adalah meliputi pengurusan sumber tenaga manusia di bidang-bidang teknologi dan perniagaan. la mesti dirancang secara teratur, untuk melahirkan para pakar dan cendekiawan di dalam bidang masing-masing.

Kalau ini ada, bererti kita sudah layak sebaris dengan negara-negara maju atau membangun di peringkat serantau dan global.

Jadi dalam hubungan ini, nyatalah “tenaga” itu mesti jadi fokus utama kita, khasnya yang bemama “tenaga manusia”. Tanpa sumber tenaga ini, mustahil kita dapat melangkah maju, sekalipun kita kaya dengan lain-lain sumber.

Satu lagi aspek penting di dalam era baru hari ini, iaitu pengurusan alam sekitar. Ini juga turut memerlukan sumber tenaga yang berkualiti.

Kerjanya memang sangat rumit, kerana ia berkaitan dengan “dalaman” manusia. Kawalan dan arahan boleh saja dibuat, tetapi mustahil untuk melihat kawalan dan arahan itu seratus· peratus dipatuhi.

Jadi jawapannya, kita perlu mempunyai mekanisme yang kemas, termasuk tenaga-tenaga pakar yang lutanan untuk menanganinya.

Disini suka juga Beta mengingatkan, supaya semua pihak mempunyai rasa tanggungjawab untuk memelihara alam sekitar, menjadikannya menarik dan bersih, tidak terdapat sampah sarap yang berselerak, terutama di tempat-tempat membeli-belah, pasar-pasar, termasuk juga pasar tamu dan pasar tani.

Berkaitan dengan fenomena alam, kita janganlah lupa terhadap bencana-bencana yang sering rnelanda.

Kita telahpun sarna-sarna menyaksikan beberapa musibah yang menimpa dunia, khasnya jiran-jiran kita. Kita mengikutinya dengan penuh simpati bercampur cemas, kerana apa jua bentuk bencana itu, bagi orang yang terlibat, tetap akan merasakan pedihnya.

Melihat kepada situasi ini, kitapun juga perlu berwaspada, di samping jangan lupa merafa’kan do’a kepada Allah, semoga negara kita terus dilindungi dari sebarang malapetaka.

Dengan semangat simpati yang mendalam serta sifat kemanusiaan yang tinggi inilah, kita mengasaskan hubungan kita dengan warga dunia antarabangsa.

Kita berharap, jika Brunei dengan izin Allah mene’mati kesejahteraan, maka demikian itu pula, kita mengharapkan rakan-rakan kita di seluruh dunia dapat mene’matinya sarna.

Akhimya, Beta dengan ikhlas, merakamkan ucapan terima kasih kepada ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi dan lain-lain Jawatankuasa Sambutan Perayaan Ulang Tahun Kedua Puluh Tiga Hari Kebangsaan, dan semua peserta serta petugas yang turut berusaha untuk menjayakan perayaan ini.

Demikian juga sekalian rakyat dan penduduk yang Beta kasihi termasuk semua peringkat ahli Perkhidmatan Awam, Pasukan-Pasukan Keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta, Beta tidak lupa untuk merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih yang tulus ikhlas.

Sekian Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.​

  



  

Titah Kebawah Duli Yang Mulia Paduka Seri Baginda 

Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah,

Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,

Sempena Menyambut Perayaan Jubli Perak Hari Kebangsaan

Negara Brunei Darussalam

27hb Safar, 1430 bersamaan 23hb Februari 2009


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen Wassalatu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen Saayyidina Muhammadin, Wa Alaa Aalihie Wasahbihie Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana mengizinkan kita dapat menyambut Ulang Tahun Hari Kebangsaan ke-25 dalam suasana aman dan sejahtera. Alhamdulillah kita masih saja menjalani kehidupan yang rukun damai, bersama keluarga dan sahabat handai di Negara yang tercinta ini.

Beta mengambil maklum akan tema Hari Kebangsaan pada tahun ini: Kedewasaan Bernegara.

Sudah suku abad kita merdeka, menandakan, bertapa pantasnya masa bergerak. Dalam masa sepanjang itu, pelbagai kemajuan telah dicapai untuk menambahkan lagi kualiti hidup rakyat.

Pembangunan di negara kita adalah merupakan satu proses panjang yang akan berjalan berterusan. Ia sudah lama bermula, lebih dari 25 tahun sebelum merdeka.

Ianya, telah dan sedang berlangsung di Bumi Permai Darussalam, iaitu sebuah Negara Melayu Islam Beraja, yang dengan izin Allah jua, akan selama-lamanya kekal berdaulat, merdeka lagi demokratik.

Hala tuju pembangunan negara telah dibentuk oleh wawasan, pemikiran serta usaha gigih para negarawan dan cendikiawan negara. Al-Marhum Paduka Ayahnda, Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, adalah contoh seorang negarawan ternama sehingga dikenali sebagai Arkitek Brunei Moden.

Salah satu jasa besar Al-Marhum ialah melancarkan Rancangan Kemajuan Negara 5 Tahun Yang Pertama pada tahun 1953. Pelaburan awal, sejumlah $100 juta, adalah merupakan formula yang berupaya mengangkat program pemodenan Brunei dalam skala besar dan skop yang luas.

Pada waktu itu, keseluruhan jalan raya cuma kurang 160 kilometer panjang. Bilangan rumah sangat kecil. Bilangan sekolah sedikit. Hospital ada sebuah, dan belum ramai lagi orang pandai membaca dan menulis.

Al-Marhum dengan budi bicara dan wawasan tersendiri telah menumpukan usaha bagi memenuhi bebrapa keperluan asasi, seperti kemudahan kesihatan dan pelajaran, pembinaan rumah, jalan raya, janakuasa elektrik, sistem perhubungan dan pengembangan industri minyak, pertanian dan perikanan. Rancangan Kemajuan Negara pada keseluruhannya berjaya memberikan kemakmuran dan kesejahteraan untuk rakyat serta penduduk negara ini.

Kesinambungan dari usaha-usaha pembangunan itu, sampai ke era merdeka, telah melakar kemajuan lebih meluas. Ia membawa makna ‘pencapaian lengkap’, apabila kita juga turut memasuki bidang hubungan antarabangsa.

Brunei Darussalam dengan izin Allah, telah menjalinkan hubungan dengan banyak negara di dunia dalam keadaan mesra dan berpesefahaman tinggi.

Kita juga alhamdulillah, telah mempunyai beberapa institusi pendidikan tinggi, turut menikmati telekomunikasi termoden dan lain-lain lagi kemajuan.

Namun untuk merangsang pertumbuhan selanjutnya, kita juga masih perlu untuk mempertingkat usaha bagi perubahan minda dan sikap serta memperkukuh asas-asas moral dan etika yang baik, kearah mencapai prestasi dan kecemerlangan bernegara.

Seperti kita sedia maklum, baru-baru ini negara mengalami bencana agak luar biasa, dimana sebahagian kawasan dilanda banjir, tanah susur, gangguan bekalan eletrik dan sistem perhubungan. Ini, tidak syak lagi, adalah satu cabaran untuk menjadikan sebagai peringatan dan pembelajaran, bagaimana langkah-langkah perlu diambil serta dipersiapkan, bagi sekurang-kurangnya, mengurangkan kesan-kesan kejadian tersebut.

Dasar belajar dan mengenali punca hendaklah dihidupkan terus. Jangan memadai setakat membuat kerja-kerja rutin sahaja, tetapi mesti dicari jawapan-jawapan tepat mengapa ia terjadi, dan kemudian bagaimana mengatasinya?

Satu soalan mudah, misalnya: Mengapakah dahulu tidak berlaku dan sekarang berlaku? Dahulu, dikawasan-kawasan tertentu tidak pernah banjir tetapi sekarang banjir besar? Dahulu tidak berbangkit tanah susur tetapi sekarang banyak tempat yang berlaku tanah susur?

Ini semua, memerlukan jawapan-jawapan tepat yang berfakta, bukannya setakat teori semata-mata.

Berasaskan kedewasaan yang telah kita capai, adalah penting untuk kita mempunyai azam dan persediaan bagi melakukan pembaharuan dan perubahan-perubahan jitu didalam pendekatan mahu pun tindakan.

Kita sedang ingin melihat, diantaranya, pertumbuhan industri bukan minyak meningkat, kemiskinan ditangani, pengeluaran padi dan beras bertambah dengan pertambahan yang melonjak, disamping peranan perkhidmatan awam yang terus menyerlah dan berkesan.

Setiap langkah pembaharuan dan perubahan itu diasaskan kepada Wawasan Brunei, dengan mengambil kira, bukan sahaja kedudukan di dalam negara, malahan juga tren sejagat.

Wawasan turut mengenal pasti keperluan sumber manusia yang berilmu. Ini juga penting, nisbah kita sebuah negara kecil yang mempunyai penduduk, yang juga amat kecil. Sumber manusia berkualiti adalah faktor penentu kepada keupayaan negara untuk menikmati kemajuan secara berpanjangan.

Kerana itu, kita tidak pernah mengabaikan pendidikan. Dasar kita jelas, iaitu ingin melahirkan seberapa ramai para ilmuan, yang mempunyai kemahiran dipelbagai disiplin ilmu, dimana daripada sini, kita mengharapkan juga dapat menyaksikan kemunculan golongan-golongan pemimpin, pemikir dan pengusaha yang berwibawa.

Dalam pada itu, Beta ingin mengingatkan, dasar dan sistem pendidikan kita, tidaklah boleh sama sekali membelakangi nilai-nilai kita yang murni iaitu ugama maha suci serta adat resam bangsa yang luhur.

Akhir sekali, Beta ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan penghargaan Brunei Darussalam terhadap negara-negara sahabat, yang sentiasa memberikan kerjasama mereka, khasnya, semenjak Negara Brunei Darussalam mencapai kemerdekaan penuhnya, dan juga sama-sama berganding bahu menyumbangkan apa sahaja perkara yang berfaedah diperingkat serantau mahu pun antarabangsa.

Beta tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada semua peserta dan petugas serta ahli-ahli Jawatankuasa-Jawatankuasa Sambutan Perayaan Ulang Tahun Ke-25 Hari kebangsaan, yang berusaha untuk menjayakan perayaan ini.

Beta juga dengan ikhlas merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua lapisan rakyat, penduduk dan pemimpin yang terlibat, termasuk semua peringkat ahli Perkhidmatan Awam, Pasukan-Pasukan Keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta, kerana sumbangan mereka terhadap keamanan dan pembangunan negara. Kerjasama rakyat dan keprihatinan Kerajaan, dengan izin Allah Subhanahu Wata’ala jua, telah membawa kemakmuran dan kemerdekaan yang kita nikmati sekarang.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.​

​​

  

TITAH KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 


SEMPENA MENYAMBUT ULANG TAHUN HARI KEBANGSAAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM YANG KE-26 


PADA HARI SELASA 9HB RABIULAWAL 1431 

BERSAMAAN 23HB FEBRUARI, 2010


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen Wassalatu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen Saayyidina Muhammadin, Wa Alaa Aalihie Wasahbihie Ajma’een, Waba’du.

Segala puji dan syukur hanya kepada Allah Subhanahu Wata'ala jua, atas limpah rahmat-Nya mengizinkan kita dapat menyambut Ulang Tahun Hari Kebangsaan ke-26 dalam suasana aman, makmur dan sejahtera.

Kesyukuran kita ini adalah sebagai respon kepada peringatan Allah, ayat 7 surah Ibrahim, tafsirnya:

“Dan (ingatlah), tatkala Tuhanmu memaklumkan: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (ni'mat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (ni'mat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangatlah pedih.”

Ni'mat ini, semoga berkekalan, sehingga kegenerasi demi generasi. Itulah harapan kita.

Tema Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan pada tahun ini berbunyi: “Negaraku Brunei Darussalam.”

Ramai orang beranggapan, tema seperti ini, hanyalah tertentu untuk memupuk semangat patriotisme dan cintakan negara semata-mata. Kalau inilah saja, maka ianya belum lengkap lagi.

Turut lebih penting lagi ialah, apakah sumbangan kita untuk 'mengekalkan' ni'mat Allah, yang dikurniakan-Nya selama ini kepada kita dan negara?

Patriotisme dan cintakan negara, sering dilihat orang dari kulitnya saja, berupa ikrar-ikrar dan upacara-upacara kesukaan. Jarang orang melihatnya sampai ke lubuk-lubuk rahsia : bahawa ni'mat itu ditanai dengan syukur dan digilap dengan kerja-kerja takwa kepada Allah. Jika ini ada, maka barulah ada harapan untuk ni'mat itu berkekalan, sebagaimana janji Allah Subhanahu Wata'ala sendiri.

Maka bersukut dengan sa'at bersejarah ini, marilah kita sama-sama menghayati amal syukur dan amal takwa itu.

Selebihnya, kita adalah memerlukan prestasi perlaksanaan yang berterusan. Kita mahu, apa yang dirancang itu dilaksanakan dengan menepati jadual, bukan sekadar rancangan di atas kertas saja. Dan adapun anak kunci kepada semua ini, ialah “cara” kita melaksanakannya.

Diantara cara paling efektif ialah, perundingan yang berkesan diantara agensi-agensi berkaitan, misalnya ada rancangan untuk membangun sekolah atau masjid, kadang-kadang yang dijadikan alasan mengapa 'lambat', ialah, kerana ada halangan berkaitan dengan syarat-syarat tanah, atau tanah belum digezit dan seumpamanya.

Jika inilah alasannya, bukankah semua itu dari kerajaan jua? Sepatutnya kalau kerajaan sendiri yang berkehendak, tentu saja masalah itu tidak akan jadi sukar lagi. Tetapi kelambatan tetap juga berlaku, mengapa? Adakah kita betul-betul serius ataupun tidak? Jika lambat diperingkat bawah, adakah peringkat atas mahu turun padang berunding? Inilah masalah kita.

Dan inilah makanya mekanisme penyukat prestasi (key performance indicators) telah dibentuk untuk dipakai sebagai panduan oleh setiap agensi kerajaan.

Satu lagi keperluan dalam usaha kita membangun negara ialah keadaan alam sekitar. Tidak ada maknanya pembangunan pesat jika alam sekitar terjejas teruk. Kerana kita juga terus memerlukan tanah yang subur, udara yang bersih, air minum yang bersih, malah air laut yang bersih yang tidak tercemar. Kerana inilah sumber kesejahteraan yang sebenar-benarnya.

Oleh itu, sudah tiba masanya untuk kita menyegerakan penggubalan undang-undang atau peraturan bagi pembangunan lebih terkawal. Pada misalnya kita perlu menguatkuasakan mekanisme 'Environmental Impact Assesment' dan lain-lain seumpamanya bagi projek-projek pembangunan.

Turut penting juga untuk disebut ialah hal ehwal kewangan. Baru-baru ini Kerajaan Beta telah melaksanakan peraturan pengawalan penggunaan kad kredit. Langkah ini menarik perhatian pelbagai pihak dan menjadi satu perkara yang diperkatakan ramai.

Tujuan Kerajaan ialah supaya kita sama-sama memahami, bahawa kemewahan hidup yang disandarkan kepada hutang yang bertumpuk-tumpuk merupakan kemewahan yang rapuh, dan malah, akan banyak mendatangkan kerugian pada jangka panjang.

Walaupun pada peringkat awalnya, perkara ini mungkin sedikit sebanyak mempersulit sebilangan rakyat atau institusi yang mempunyai kepentingan, namun pihak Kerajaan adalah percaya, tindakan ini sungguh tepat, demi menjaga kesejahteraan rakyat dan penduduk negara ini pada jangka waktu yang jauh.

Ini, adalah satu dari strategi kita dalam menjadikan ekonomi sebagai salah satu dari 3 tiang utama Wawasan Brunei 2035.

Negara memerlukan dasar-dasar ekonomi yang lebih teratur, mantap dan menarik, serta juga iklim pelaburan yang kondusif yang berupaya menjadi pemangkin kepada pertumbuhan perekonomian secara keseluruhan.

Demikian juga, usaha-usaha adalah perlu, bagi membolehkan kita mengimbangi kekurangan dalam pasaran domestik, serantau mahupun global, serta menukarkannya kepada situasi yang lebih positif dan menguntungkan.

Pada akhirnya, Beta dengan ikhlas merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada segenap lapisan rakyat serta penduduk negara ini termasuk semua peringkat, ahli Perkhidmatan Awam, Pasukan-Pasukan Keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta di atas segala bentuk pengorbanan dan sumbangan mereka kepada negara.

Ucapan yang sama juga Beta tujukan kepada ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi dan lain-lain Jawatankuasa Sambutan Perayaan Ulang Tahun ke-26 Hari Kebangsaan, dan semua peserta serta petugas yang turut berusaha untuk menjayakan perayaan ini.

Marilah kita sama-sama menadah tangan dan memohon kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala, supaya negara dan kita semua, sentiasa dilimpahkan dengan berkat dan rahmat-Nya, amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalaamu 'Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.​

  

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Menyambut Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-27 pada 23hb Februari, 2011


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen Wassalatu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen Saayyidina Muhammadin, Wa Alaa Aalihie Wasahbihie Ajma’een, Waba’du.

Semua perkara adalah berpunca daripada Allah. Nikmat daripada Allah dan musibah juga daripada Allah. Semua ini berlaku dengan hikmah dan sebab-sebab yang tersendiri.

Kerana itu sayugia diingat, dalam apa pun perkara, kita jangan melupakan Allah, termasuk ketika menyambut dan merayakan ulang tahun Hari Kebangsaan.

Tidakkah kita ingin mengimbas kembali detik bersejarah perisytiharan kemerdekaan, di mana kita telah membesarkan Allah di dalamnya? Kita telah pun sama-sama melafazkan ‘Allahu Akbar’, dengan tujuan, untuk mendapatkan restu Allah serta keberkatan dan pemeliharaan-Nya jua.

Alhamdulillah, tujuan ini tercapai, dengan kemerdekaan yang telah berumur 27 tahun itu sedang membuahkan nikmat dalam bentuk pelbagai kemajuan di semua bidang.

Namun, di samping menerima buah kemerdekaan dengan lebatnya, kita juga tidak lupa terhadap tanggungjawab memelihara kemerdekaan itu dengan amalan-amalan berhemah yang berpaksikan syukur.

Di antaranya, kita sekarang dalam langkah membudayakan amalan berjimat cermat dan berbelanja menurut kemampuan, sebagai salah satu usaha ke arah mengatur kewangan kita melalui perancangan kewangan atau financial planning.

Tujuan yang tersirat ialah untuk melakar perubahan sikap dan mentaliti menyeluruh, supaya rakyat terbiasa dengan cara sederhana serta tahu pula menghargai nilai.

Misalnya dalam menghargai subsidi kerajaan, kita perlu bersikap dan berfikiran seimbang, dengan berterima kasih di samping pandai memanfaatkannya melalui amalan mengelak pembaziran dan penyalahgunaan.

Ini, meliputi semua jenis subsidi, terutama keperluan-keperluan utama, seperti perubatan, pendidikan, jalan raya serta juga komoditi asasi, seperti perumahan, air elektrik, minyak, beras dan gula.

Kesemua perkhidmatan dan keperluan ini amatlah penting dalam menyumbang kepada kesejahteraan rakyat. Pada realitinya, semua ini adalah bergantung kepada ekonomi dan kemampuan kewangan negara, yang pada setakat ini banyak bersandar kepada hasil minyak dan gas.

Maka dalam kedudukan ini, kerajaan sangatlah berhajat untuk mempelbagaikan ekonomi negara, agar pada masa hadapan, kita tidak hanya semata-mata bergantung kepada minyak dan gas sahaja.

Dengan negara mempunyai pelbagai ekonomi dan pandapatan yang lebih luas, serta ditambah pula dengan kadar pertumbuhan yang tinggi, maka peluang kita untuk terus makmur dan mewah adalah cerah.

Untuk mencapai matlamat inilah, kerajaan beta sangat menitikberatkan kemajuan pendidikan bagi tenaga-tenaga muda kita. Bagi sebuah negara yang kecil dengan penduduknya yang sedikit, kita sangat memerlukan rakyat yang berpendidikan tinggi dan mempunyai pelbagai kemahiran strategik

Tidak cukup dengan pendidikan tinggi semata-mata, anak-anak muda kita juga perlu memiliki sahsiah daripada calak Melayu Islam Beraja (MIB) dan jiwa murni daripada asuhan sempurna.

Untuk inilah, kita mengadakan sekolah, pusat latihan dan pengajian tinggi, tanpa mengabaikan juga pemberian biasiswa kepada lebih ramai penuntut yang berkelayakan sebagai pelaburan utama dalam memajukan human capital.

Turut menjadi utama ialah Perkhidmatan Awam. Ia adalah jentera dan pemudah cara untuk kerajaan melakar kemajuan. Pada masa ini sahaja, skop dan tahap hajat orang ramai terus meningkat, di mana Perkhidmatan Awam perlu menyediakan ruang yang luas, termasuk penyediaan dasar-dasar dan pelaksanaan yang cepat lagi berkesan.

Perkhidmatan Awam berkewajipan mengenal pasti sebarang kelemahan yang ada, serta menyediakan mekanisme bagi mengatasinya. Kelambatan atau kegagalan melaksanakan program-program kerajaan, sepatutnya tidak boleh berlaku, kerana ia berisiko tinggi boleh menjadikan persaingan kita lemah untuk menarik pelaburan asing.

Dari faktor-faktor semula jadi, kita sudah memiliki kekuatan-kekuatan tersendiri, di antaranya faktor ketenteraman dan kestabilan politik, ditambah lagi dengan asas ekonomi yang kukuh yang telah dikurniakan oleh Allah kepada kita. Ini semua menjadi aset penting untuk lebih menarik lagi pelabur asing ke negara ini. Tinggal sahaja lagi, kita perlu pandai memelihara dan mempertahankannya.

Maka untuk itu, semua pihak, dari sektor awam dan swasta, perlulah meningkatkan lagi kesedaran mereka dalam usaha mengekalkan aset yang berharga ini.

Dengan itu nanti, insya-Allah, ia bukan sahaja akan meningkatkan lagi keyakinan pelabur-pelabur asing, malahan juga mampu untuk mengekalkan kemakmuran negara.

Akhirnya, beta dengan ikhlas merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada segenap lapisan rakyat serta penduduk negara ini termasuk semua peringkat, ahli Perkhidmatan Awam, pasukan-pasukan keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta di atas segala bentuk pengorbanan dan sumbangan mereka kepada negara.

Beta juga merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi dan lain-lain Jawatankuasa Sambutan Perayaan Ulang Tahun Ke-27 Hari Kebangsaan, dan semua peserta serta petugas yang turut berusaha untuk menjayakan perayaan ini.

Marilah kita sama-sama berdoa, semoga kita dan negara akan sentiasa terpelihara dan mendapat perlindungan daripada Allah Taala jua. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.​

  

Titah Perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Menyambut Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-28 pada 23hb Februari 2012


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen Wassalatu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen Saayyidina Muhammadin, Wa Alaa Aalihie Wasahbihie Ajma’een, Waba’du.

Kita bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan izin-Nya jua, kita dapat menyambut Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara yang ke-28, di dalam suasana sejahtera.

Sepanjang 28 tahun kita merdeka, Negara alhamdulillah, telah berjaya mengekalkan keamanan dan kemakmurannya. Semogalah ia akan berterusan untuk dinikmati oleh generasi demi generasi.

Orientasi kita dalam melakar pembangunan adalah bercorak global. Kerana kita tidak hanya melihat kepada liku-liku kehidupan dalaman, bahkan perlu turut mengambil iktibar dari peristiwa dan kejadian di dunia tanpa sempadan.

Namun dalam segala hal, kita tetap perlu mengukuhkan jati diri kita selaku rakyat Brunei yang ta’at berugama, yang berawar galat, berperawis dan ber’adat.

Janganlah cepat-cepat mengikut arus, tetapi perlu berhemah dan patriotik didalam mempertahan dan mengamalkan warisan berharga, seperti akhlak yang baik, bahasa bangsa dan sebagainya. Kerana semua eleman-eleman ini adalah “penanda” bagi kewujudan kita.
Tidak lama lagi kita akan memasuki tahun kewangan 2012/2013 dan memulakan Rancangan Kemajuan Negara Ke-10.

Kita menyedari, bahawa prestasi perlaksanaan program-program kemajuan kita tidak terlepas dari menghadapi pelbagai cabaran, khususnya cabaran kapasiti yang terhad. Namun ini bukanlah alasan untuk kita menjadi lemah.

Perjalanan kita menuju sasaran Wawasan 2035 memerlukan kita lebih tangkas dan tegas. Mana-mana sasaran yang tercicir dan lambat adalah perlu dipercepatkan dan yang tersasar perlu pula dikembalikan ke atas landasannya semula.

Dalam apa jua tindak-tanduk kita, perancangan yang payu adalah keperluan asasi, sementara pencapaian sasaran pula perlu disukat secara objektif.

Sebagai jentera pentadbiran kerajaan, Perkhidmatan Awam adalah memainkan peranan utama untuk terus menjana gagasan baru, meningkatkan kapasiti dan mempertemukan kaedah-kaedah bukan-konvensional untuk menangani keperluan negara yang kian kompleks dan mencabar di abad ke-21 ini.

Namun walau begitu, bukanlah bermakna setiap yang baru itu tidak ada cacatnya , kadang-kadang ia hanya unggul pada teori sahaja, bukan pada amalinya.

Produktiviti dan efisiensi memanglah kita utamakan, tetapi bukanlah mesti dengan membebankan perkara-perkara yang sepatutnya tidak perlu dibuat.

Kaedah-kaedah baru boleh sahaja dicuba, tetapi bukan mesti yang bersifat teruk lagi membebankan. Pada Beta, kaedah-kaedah lebih mesra adalah lebih utama dan berpatutan.

Seyugia juga diingat, warga Perkhidmatan Awam ini terdiri dari pelbagai peringkat, pelbagai bidang dan pelbagai kelulusan. Apakah ini tidak mewajarkan mereka dengan kaedah-kaedah yang berbeza?

Menyentuh kepentingan lebih umum, diakhir-akhir ini, satu perkara yang sangat merisaukan orang ramai ialah mengenai keselamatan di jalan raya. Perangkaan kematian akibat kemalangan sangatlah membimbangkan.

Lebih membimbangkan lagi, sebahagian besar dari kemalangan itu melibatkan anak-anak muda, dengan penyebabnya adalah berbentuk kecuaian, sikap tidak berhemah, memandu dengan kelajuan melebehi had laju dan tidak mematuhi undang-undang.

Kalau ini benar menjadi penyebabnya, apakah tidak perlu bagi kita untuk mencari cara-cara mencegahnya? Pada hemat Beta, sangatlah perlu.
Salah satu cara “pencegahan” itu ialah melalui undang-undang. Undang-undang sudahpun ada, baik yang berkaitan dengan tali keledar atau penggunaan telefon bimbit semasa memandu. Tetapi adakah ia telah dikuatkuasakan sepenuhnya? Jika belum, bererti kita belum lagi menjalankan pencegahan itu.

Jadi apa yang perlu disini, tidak lain ialah, semua pihak hendaklah tampil, terutama anggota polis, mereka dikehendaki untuk mempertingkatkan lagi kewaspadaan  dan keberadaan mereka didalam pelaksanaan undang-undang berkaitan.
Turut menjadi aspek penting pencegahan ialah mempastikan keadaan jalan-jalan raya utama, supaya benar-benar memenuhi keperluan piawaian keselamatan bertaraf tinggi.

Kesemua langkah-langkah pencegahan ini hanya akan mendatangkan hasil yang berkesan apabila ia benar-benar dibudayakan, melalui promosi dan pengkuatkuasaan yang konsisten.

Di samping kemajuan kita dalam negara, hubungan diplomatik kita dengan negara-negara sahabat juga tetap akan dipupuk dan dipelihara. Ianya adalah teras kemantapan politik, ekonomi dan keselamatan. Ia akan menjadi amalan berterusan, berasaskan prinsip berbaik-baik dan hormat menghormati kedaulatan masing-masing.

Akhir sekali, Beta sukacita merakamkan ucapan terima kasih kepada semua peserta dan petugas serta ahli-ahli Jawatankuasa-Jawatankuasa yang sama-sama berusaha dalam menjayakan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Ke-28 Hari Kebangsaan pada tahun ini.

Beta juga dengan ikhlas merakamkan ucapan yang sama kepada semua lapisan rakyat, penduduk dan pemimpin yang terlibat, termasuk semua peringkat ahli Perkhidmatan Awam, pasukan-pasukan keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta, kerana sumbangan mereka terhadap keamanan dan pembangunan negara.

Sebagai merista balik sukut baik lagi indah serta penuh berkat kita menanai kemerdekaan Negara, maka Beta sudahi perutusan ini dengan lafaz keramat: “Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!”
 
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.​

  

Titah Perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Menyambut Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-29

Pada 12 Rabiulakhir 1434 / 22 Februari 2013


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen Wassalatu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen Saayyidina Muhammadin, Wa Alaa Aalihie Wasahbihie Ajma’een, Waba’du.

Kita bersyukur kehadrat Allah Sudhanahu Wata’ala kerana dapat lagi menyambut Ulang Tahun Hari Kebangsaan kita. Sambutan pada kali ini ialah sambutan yang ke-29.

Ulang tahun itu kita peringati, kerana ia adakah sejarah kita, sejarah menjawat kemerdekaan.

Kita jawat kemerdekaan itu dengan takbir “Allahu Akbar”, iaitu suatu cara tersendiri yang pernah berlaku dimana-mana.

Cara ini tentu tidak kosong daripada hikmah.  Malah Beta melihatnya sebagai satu alamat baik kepada Brunei, yang kini sudah pun jadi kenyataan, dikenali sebagai Negara Zikir atau Negara MIB.

Begitulah, semua itu berlaku, tentu saja dengan izin dan kehendak Allah jua.

Dengan berkat kalimat “Allah Akbar”, kemerdekaan tanah air telah membuatkan hasil yang sangat lumayan, berupa keamanan dan kemakmuran serta Ugama Islam bersinar-sinar menjadi pegangan dan amalan di Negara Brunei Darussalam.

Begitu juga dengan berkat kalimat ini, kita telah ditakdirkan dapat melakukan beberapa “tanggungjawab besar” untuk negara.

Ini semua, kita jangan lupa, berlaku dalam era setelah merdeka. Mengingat ini, kita sepatutnya akan lebih-lebih lagi menyayangi kemerdekan itu.

Tanda orang sayang sangatlah mudah dikenali. Hatinya telus kepada bangsa, dan budinya pula luhur, suka berjasa. Dia tidak mahu dilihat sebagai lemah, menakala berlaku sesuatu kepada negaranya.

Inilah dia sikap yang patut dimiliki oleh setiap diri individu yang bernama rakyat jelata.

Rakyat jelata yang sensitive lagi patriotic sangatlah diperlukan oleh negara, terutama mereka, yang dari kalangan generasi muda seta para belia, kerana mereka itu adalah pewaris masa depan kita.

Masa depan akan suram jika mereka itu tidak telibat membina negara. Mereka mesti turut berkecimpung dalam setiap aktiviti kenegaraa, sekurang-kurangnya menjadi “penyumbang moral” yang aktif.

Contah sumbangan moral itu ialah, seperti menjadi rakyat yang baik, yang iklas lagi amanah, serta ta’at dan mematuhi undang-undang, dan tidak membabani negara dengan perbuatan-perbuata nanti social atau asyik dengan bersoronok-seronok semata-mata.

Berseronok yang melampau-lampau boleh melemahkan jentera masyarakat, kerana tiada apa yang dapat ditunggu daripadanya kecuali kerugian jua.

Kerana itu, menurut kaum cerdik pandai, untuk menjadi bangsa yang maju dan kuat, kenalah kita mengurangkan berseronok dan menggantikannya dengan banyak bekerja dan berfikir.
Elakkan dari menurutkan rasa hati tanpa banyak menimbang dan berfikir, dan ingatlah, bahawa berfikir itu adalah mahkota hidup.

Atas rasional inilah, Kerajaan Beta menguatkan pendidikan, iaitu selaku pemangkin dalam bidang ini adalah menyeluruh untuk sekalian rakyat, tanpa mengira suku atau kaum.

Ia juga adalah antara objektif Wawasan 2035 untuk melahirkan rakyat terpelajar lagi berkemahiran, sebagai prasyarat, membolehkan kita bersaing ditengah-tengah kemajuan global.

Beta mahu, biarlah rakyat responsif terhadap usaha-usaha kerajaan untuk negara. Sekurang-kurangnya mereka itu melakukan sesuatu rancangan itu. Mereka tidak boleh lepas pandang atau berkata “tidak tahu”, kerana perbuatan lepas pandang atau berkata “tidak tahu” itu, adalah amat memalukan bagi suatu bangsa yang sedang membangun.

Dalam era perlumbaan hari ini, kita selaku rakyat tidaklah boleh tercicir dari turut mendukung gagasan negara.  Jika tercicir, bermakna kita tertinggal dibelakang dan perpinggir.
 
Siapa pun juga, mestilah turut berkayuh menuju matlamat yang dituju. Jangan ada yang angkat pengayuh atau enggan berkayuh, tetapi mesti sama-sama berkayuh, barulah namanya kita sejiwa mencipta masa depan yang cerah.

Pada tahun ini saja, ada beberapa “rancangan besar” yang memerlukan komitmen rakyat. Dalam perkara ugama, kita sudah pun menguatkuasakan “perintah Pendidikan Ugama Wajib 2012”, yang melibatkan seluruh rakyat dan penduduk yang berugama Islam.  Kemudian seiringan itu kita juga telah Berjaya mewujudkan “Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar’iah”, yang memerlukan dukungan dan sokongan penuh rakyat.

Demikian juga kita telah menguatkuasakan peraturan menutup sementara premis-premis perniagaan pada Hari Juma’at sehingga selesai menunaikan fardhu Juma’at.

Ini semua adalah “langkah-langkah besar” kearah peningkatan. Sayugia diingat, bahawa kita membangun adalah meliputi pembangunan fizikal dan rohani.  Malah pembangunan jenis kedua inilah yang lebih-lebih lagi dituntut, kerana impaknya mencakup dua keuntungan sekaligus: keuntungan dunia dan keuntungan di akhirat.

Sebab itu, adalah sedikit dikesali jika terdapat pendirian kurang gembira dengan peraturan ini, dengan menganggapnya sebagai menjejaskan ekonomi.

Beta sudahpun menyebut, bahawa peraturan ini penting untuk menjaga imej negara dan jua imej Islam sendiri. Kedua-duanya itu kita mahu supaya terpelihara dan sentiasa indah.

Ini sama halnya apabila kita melarang dari dihidangkan arak didalam penerbangan, ada yang berkata “rugi”, kerana penerbangan akan dikhuatiri tidak laku.  Tetapi orang tidak ingat keuntungan di akhirat dan keuntungan rahmat serta berkat daripada Allah Subhanahu Wata’ala. Dan malah orang tidak Nampak, bahawa dengan kehendak Allah jua, penerbangan yang menghidangkan arak pun boleh juga rugi, bahkan lebih besar kerugian daripada kita yang tidak menghidangkan arak.

Ini membawa makna, perkiraan untung rugi itu adalah semata-mata relatif jua, dimana yang betulnya, kita hendaklah menerima dan membuat apa-apa jua yang terbaik, dengan berpandukan janji Allah Subhanahu Wata’ala.

Inilah cara kita mengisi kemerdekaan sambil mensyukurinya. Kita boleh isi ia dengan seberapa banyak jua rancangan atau aktiviti yang berkebajikan, insya Allah, kita dan negara tidak akan dihampakan.


Akhirnya, Beta dengan ikhlas, merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada ahli-ahli Jawatan kuasa tertinggi dan ahli-ahli Jawatankuasa Sambutan Perayaan Ulang Tahun ke-29 Hari Kebangsaan, dan semua peserta serta petugas turut berusaha untuk menjayakan perayaan ini.

Beta juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua lapisan rakyat, termasuk semua peringkat warga Perhimatan Awam, meliputi mereka yang bertugas di luar negara, Pasukan-pasukan keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta, dengan iringan doa semoga Allah memberkati kita dan negara.  Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.​

  

Titah Perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Menyambut Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-30


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen Wassalatu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen Saayyidina Muhammadin, Wa Alaa Aalihie Wasahbihie Ajma’een, Waba’du.

Kita bersyukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat pula menyambut Ulang Tahun Hari Kebangsaan kita di dalam suasana aman dan sentosa.

Sambutan Hari Kebangsaan Ke 30 ini sangatlah signifikan, kerana genapnya tiga dekad negara kita menikmati kemerdekaan penuh.  Sekarang elok kita sama-sama menilai setakat mana kita telah memanfa’atkan kemerdekaan tersebut.

Dari segi pembangunan fizikal, dalam tempoh tiga dekad ini, negara telah banyak melaksanakan program-program pembangunannya di bawah Rancangan Kemajuan Negara (RKN).  Kualiti kehidupan rakyat dan penduduk terus sahaja meningkat, sejajar dengan masyarakat moden.

Berasaskan petunjuk kualiti antarabangsa mengenai dengan jangka hayat, alhamdulillah tahap kesihatan dan keperluan pendidikan kita, sudah pun mencapai kualiti kehidupan yang tinggi, sebagaimana mengikut sukatan Indeks Kemajuan Manusia atau Human Development Index (HDI) yang digunakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.  Semua ini memberi makna yang besar kepada kita.

Namun begitu, wawasan dan matlamat utama kemerdekaan bukanlah setakat untuk meraih pencapaian kebendaan semata-mata, tetapi juga perlu memenuhi aspek-aspek kerohanian.

Di samping untuk mencapai Wawasan 2035 dalam bidang fizikal, kita juga ingin meraih rahmat dan keberkatan dalam semua aspek kehidupan.  Kita turut menginginkan sebuah negara yang benar-benar memenuhi ciri-ciri ‘Baldatun Tayyibatun Warabbun Ghafur’, yang sejahtera lagi bahagia dibawah pemeliharaan Allah.

Kerana itu , cara kita mengisi kemerdekaan ini sangatlah istimewa.  Kita tidak lupa bersyukur dan berzikir kepada Allah dengan cara sembahyang berjama’ah dan sama-sama mengaminkan do’a.  Inilah amalan Negara Melayu Islam Beraja, negara kita.

Atas landasan unik inilah, kita terus berusaha memantapkan jati diri kita selaku orang Brunei.  Perkara ini sangatlah kritikal bagi kelangsungan hidup kita dan proses ‘nation building’.

Malahan, pada hemat Beta, MIB adalah merupakan satu-satunya pendinding atau ‘Firewall’ yang kukuh lagi berkesan untuk menangani pelbagai isu dan cabaran globalisasi.

Globalisasi, dalam realitinya, telah memacu perubahan paling cepat.  Penggunaan internet dan pelbagai jenis media sosial pula, telah menjadikan penyebaran informasi sebagai tidak lagi bersempadan.  Maklumat-maklumat sudah dapat disalurkan dengan begitu mudah kepada sesiapa sahaja.

Ini, memastikan kita perlu bijak dan berhati-hati untuk memperolehi menfa’atnya.  Sebaliknya jika kita cuai atau salah guna, maka kesan buruknya, bukan sahaja kepada diri individu, malahan juga kepada negara.

Pada masa ini, sudah mula terdapat percubaan daripada pihak-pihak tertentu untuk menghasut generasi masa kini bagi mempersoalkan, dan sekali gus tidak menyokong pelaksanaan hukum Kanun Jenayah Syar’iah di negara ini.  Mereka itu menggunakan saluran-saluran media baru, seperti laman-laman web, blog, aplikasi WhatsApp dan seumpamanya.  Ini bukan sahaja diakses oleh rakyat tempatan, malahan juga pihak luar negara.
    
Semua ini, tidak syak lagi adalah cabaran, khasnya cabaran terhadap generasi baru kita.  Mereka itu perlu mempunyai pendirian kuat, selaras dengan dasar-dasar negara.  Mereka, tidak boleh sama sekali dipengaruhi oleh anasir-anasir yang tidak bertanggungjawab, yang ingin melihat dalaman kita kucarkacir, atau bertelagah sesama sendiri, serta tidak menghormati ketua dan kerajaan.

Di samping mempersoalkan pelaksanaan hukum Kanun Jenayah Syar’iah, golongan ini juga nampak-nampaknya sudah ada yang cuba-cuba menghina raja, menghina ulama dan menghina hukum syara’.  Perkara ini dapat dihidu melalui pelbagai ungkapan mereka apabila mereka itu menyebut tentang raja, tentang ulama dan tentang hukum syara’.

Semua ini adalah cabaran kepada pihak-pihak penguatkuasa undang-undang, khasnya mereka yang secara langsung berkaitan dengan Perintah Hukuman Kanun Jenayah Syar’iah.  Ini tidak syak lagi, adalah jenis-jenis jenayah dibawah penggal Kesalahan-Kesalahan Am.  Mereka ini tidak boleh dibiarkan berterusan melakukan penghinaan-penghinaan itu, tetapi jika betul ada unsur yang melayakkan mereka dibawa ke mahkamah, maka fasa pertama pelaksanaan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar’iah pada bulan April ini, adalah sangat relevan bagi mereka.

Selaku “generasi berwawasan”, kita mustahak berhati-hati terhadap apa jua bentuk cabaran, termasuk cabaran oleh atau dari golongan yang mengaku turut mendukung hasrat suci kita, tetapi kemudiannya memisungkan dukungan itu kepada kepentingan-kepentingan lain.

Disinilah generasi kita sangat perlu memiliki jati diri yang luhur dan tahan lasak, sehingga tidak boleh digugat atau diserit untuk memudharatkan negara.

Maka dalam hubungan ini, kita sekarang adalah sedang giat memupuk nilai-nilai ketahanan diri melalui Program Khidmat Bakti Negara (PKBN).  Program ini memainkan peranan amat penting, khasnya bagi membina nilai-nilai murni para belia.

Tidak syak lagi nilai-nilai murni itu sangat diperlukan oleh bangsa dan negara.
    
Bercakap mengenai nilai ini, kita telah dikejutkan oleh beberapa kejadian pencurian yang melibatkan beberapa buah masjid di negara ini.  Kejadian-kejadian tersebut amatlah mendukacitakan, lebih-lebih lagi ianya berlaku di dalam Rumah-Rumah Allah.

Dalam hal ini, Beta sangat berharap, supaya pihak-pihak berwajib akan dapat mengambil langkah berkesan dan menyeluruh, bagi menjamin, yang gejala memalukan ini tidak akan berulang lagi.

Tidak terbatas kepada jenayah di Rumah Allah sahaja, malah semua jenayah dalam bentuk pencurian dan rompakan yang dilakukan ke atas rumah-rumah kediaman rakyat dan penduduk di negara ini mestilah ditumpaskan setumpas-tumpasnya, tidak hanya memadai dengan kita merekodkan jumlah jenayah-jenayah tersebut sahaja, tetapi hendaklah dengan bertindak tegas sehingga penjenayah-penjenayah itu tertangkap untuk diadili.  Insya Allah,  Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar’iah adalah sedang menunggu mereka.

Seperti negara-negara dalam rantau kita, negara kita juga tidak terkecuali turut mengalami cuaca hujan berterusan yang luar biasa.  Banyak kawasan rendah mengalami banjir sehingga menjejaskan harta benda.

Beta sangat mengkagumi sifat sabar yang ditunjukkan oleh mangsa-mangsa banjir.  Mereka, bersama-sama pihak Kerajaan, dengan tenang sahaja menghadapi situasi ini.  Ditambah lagi dengan para sukarelawan juga tidak ketinggalan menyumbangkan khidmat bakti mereka yang sangat bermakna.

Memang sewajarnya kita mesti menerima perkara ini dengan penuh redha, disamping terus berdo’a memohon keringanan dan keselamatan daripada Allah Subhanahu Wata’ala.

Akhirnya, Beta dengan ikhlas, merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi dan lain-lain Jawatankuasa Sambutan Perayaan Ulang Tahun Ke-30 Hari Kebangsaan, dan sekalian peserta serta petugas yang turut berusaha untuk menjayakan perayaan ini.

Beta juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua lapisan rakyat, termasuk semua peringkat warga Perkhidmatan Awam serta mereka yang bertugas di luar negara, Pasukan-Pasukan Keselamatan dan juga mereka yang berkhidmat di sektor swasta, dengan iringan do’a semoga kita semua dikurniakan rahmat serta hidayat oleh Allah Subhanahu Wata’ala Amin.​

  

TEKS TITAH KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI AL-MAHRUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, 

SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA

BRUNEI DARUSSALAM SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN HARI KEBANGSAAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM KALI KE-31

TAHUN 1436 HIJRAH / 2015 MASIHI


PADA HARI AHAD

04HB. JAMADILAWAL 1436

22HB. FEBRUARI 2015


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen Wassalatu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen Saayyidina Muhammadin, Wa Alaa Aalihie Wasahbihie Ajma’een, Waba’du.

Marilah kita sama-sama mengucapkan syukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala diatas limpah rahmatNya mengizinkan kita dapat meraikan pula Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam kali Ke-31.

Pada tahun ini kita masih saja dalam tema: “Generasi Berwawasan”, untuk sambutan Hari Kebangsaan kita yang ke-31.

Tema ini cukup sesuai untuk diteruskan, kerana hakikatnya kita adalah masih dalam usaha untuk merealisasikan wawasan Negara iaitu Wawasan Brunei 2035.

Untuk berjaya, generasi penerus perlulah berwawasan dengan melengkapkan diri bagi menghadapi cabaran-cabaran mendatang.

Diantara cabaran itu ialah memelihara keamanan, suatu kurnia daripada Allah, yang pada sekian lamanya telah kita nikmati bersama-sama. Dengan adanya keamanan tersebut, maka dapatlah kita menjalani kehidupan ini dengan penuh selesa serta dapat juga menyusun dan melaksanakan pelbagai rancangan kemajuan, sehingga kemudiannya menghasilkan buah yang lazat, berupa kemakmuran dan kesejahteraan.

Bercakap mengenai keamanan juga, Beta ingin menekankan disini, bahawa ianya adalah tanggungjawab semua pihak, bukan diserahkan kepada pihak-pihak keselamatan dan agensi-agensi penguatkuasaan sahaja. Malah orang ramai juga adalah perlu memberikan kerjasama yang erat dan padu.

Salah satu anasir yang boleh menggugat keamanan dan keselamatan, ialah penyalahgunaan dadah. Dalam konteks ini, agensi-agensi kerajaan, orang ramai, ibu-bapa, pihak sekolah, organisasi bukan kerajaan dan pemimpin akar-umbi hendaklah bersatu tujuan memupuk kesedaran dan menggandakan lagi usaha memerangi penyalahgunan dadah itu.

Pendidikan generasi muda di rumah dan di sekolah juga jangan diabaikan. Kerana pendidikan itu, terutama pendidikan ugama, adalah tonggak untuk memperolehi kekuatan.

Keamanan juga turut berkait rapat dengan kemajuan ekonomi. Realitinya, kita ini adalah terdedah kepada persaingan sengit dalam konteks globalisasi, perhubungan cyber dan inovasi.

Persaingan ini terbuka luas dalam bentuk perdagangan bebas, pelaburan langsung luar negeri, pasaran tenaga manusia, kemajuan keusahawanan dan perhubungan online.

Kerana itu, kita perlu mempunyai daya-saing yang tinggi melalui nilai-nilai, sikap dan pemikiran untuk menjadikan kita mampu berdikari dan menyara kehidupan tanpa banyak bergantung kepada bantuan-bantuan.

Untuk itu, kita mesti cepat berubah dan membuat adaptasi yang bersesuaian, supaya kita tidak terus tertinggal di belakang.

Satu keperluan mesti diceburi ialah amalan berjimat cermat dan menjadikannya budaya. Budaya ini adalah satu nilai penting yang perlu dipupuk oleh semua pihak. Lebih-lebih lagi disaat-saat pendapatan berkurangan.

Kebergantungan ekonomi kepada satu sektor sahaja adalah dianggap tidak berdaya-tahan. Kita perlu mempelbagaikan ekonomi sebagai persiapan menutupi masa-masa sukar yang tidak diduga.

Antara cara berkesan melipatgandakan usaha, ialah dengan menarik lebih banyak pelaburan langsung luar negeri (FDI) dalam sektor bukan minyak dan gas, memperbaiki suasana pelaburan dan perusahaan, mempermudahkan tata-cara penubuhan dan perjalan perusahaan, menyediakan infrastruktur fizikal dan memperkasa modal insan.

Keperluan, yang juga tidak usah diabaikan ialah penyediaan tenaga kerja tempatan bagi memenuhi keperluan tenaga kerja sektor swasta. Pihak kerajaan telahpun menyediakan dasar dan program untuk memperlengkap tenaga tempatan dengan kebolehan dan kemahiran yang diperlukan. Namun tidak ramai yang mahu berlumba untuk mengisikan peluang-peluang yang sedia ada.

Mengapa ini berlaku? Mungkin sahaja kerana mereka belum dapat melepaskan diri dari belenggu ‘comfort zone’ dalam mana kebanyakan anak-anak tempat kita masih terlalu berharap kepada sektor kerajaan untuk pekerjaan.

Semua ini perlu dicari penyelesaiannya.

Menyentuh mengenai keusahawanan, pada 1 Januari, 2015 yang baru lalu, Beta telahpun memperkenankan pindaan ke atas Akta Lesen Rampaian (Pindaan) 2015 yang antara lain memperuntukkan bagi Lesen Rampaian digantikan dengan Lesen Perniagaan.

Alhamdulilah, Beta mendapat maklum bahawa dengan pindaan tersebut, lesen perniagaan sekarang boleh diperolehi dalam tempoh satu hari sahaja. Di samping itu, permohonan dan kebenaran bagi pendaftaran syarikat juga boleh dibuat secara online. Beta berharap peluang yang terbuka ini dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh semua generasi muda kita.

Akhirnya, Beta dengan ikhlas merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi dan lain-lain Jawatankuasa Sambutan Perayaan Ulang Tahun Ke-31 Hari Kebangsaan dan semua peserta serta petugas yang turut berusaha untuk menjayakan acara ini.
 
Beta juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua lapisan rakyat termasuk semua peringkat warga Perkhidmatan Awam, meliputi mereka yang bertugas di luar Negara, Pasukan-Pasukan Keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta dengan iringan doa semoga kita dan Negara akan sentiasa terpelihara dan mendapat perlindungan daripada Allah Subhanahu Wata’ala jua, Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.​

  

TEKS TITAH KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI AL-MAHRUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, 

SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA

BRUNEI DARUSSALAM


BERSEMPENA

SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN

NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

KALI KE-32, TAHUN 2016


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen Wassalatu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen Saayyidina Muhammadin, Wa Alaa Aalihie Wasahbihie Ajma’een, Waba’du.

Beta gembira bahawa “Generasi Berwawasan” masih saja diteruskan sebagai tema Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam pada tahun ini. Ini bersesuaian, sebagai sebuah negara yang berhasrat untuk terus maju, yang benar-benar memerlukan generasinya yang berwawasan. Satu soalan penting di sini ialah, apakah bentuk dan ramuan-ramuan utama Generasi Berwawasan itu?

Pada hemat Beta, Generasi Berwawasan ialah mereka yang bijak menangani apa jua cabaran, dan menjadikan cabaran itu sebagai peluang-peluang atau opportunities untuk meningkatkan lagi kesejahteraan hidup bernegara. Hakikatnya, dunia ini sentiasa diasak oleh perubahan dan pergolakan, yang menjadikan semua negara termasuk juga kita, tidak terlepas dari pelbagai cabaran. 

Cabaran sangat berpotensi untuk membawa kepada perubahan. Kerana itu, janganlah takut kepada cabaran. Cuma, cabaran itu mestilah dihadapi dengan bijaksana. Kebijaksanaanlah yang menentukan corak perubahan kepada yang lebih baik. 

Rancangan-rancangan atau pelan-pelan tindakan, semuanya itu memerlukan kebijaksanaan. Tanpa kebijaksanaan, segala usaha boleh saja gagal atau tidak memuaskan. 

Dalam merancang dan bertindak juga memerlukan ‘dasar’ yang jelas, bukan sesuka hati sahaja. Dasar kita di negara ini ialah MIB. Maka semua rancangan dan tindakan itu mestilah berlandaskan MIB. 

Dasar yang kukuh dan sempurna mampu, untuk memangkin pembangunan, di samping juga mampu, untuk melahirkan masyarakat yang baik. Masyarakat yang baik adalah aset dan pasak bagi negara. 

Sifat-sifat masyarakat yang baik ialah seperti jujur, sabar, amanah dan baik hati. Daripada sifat-sifat inilah akan membuahkan suasana dan keadaan yang disenangi, iaitu kehidupan bersatu padu dan harmoni. 

Kita memerlukan perpaduan dan keharmonian, kerana daripada keduanya itulah akan lahir keamanan dan kestabilan. Keamanan dan kestabilan pula amat penting untuk pembangunan, sehingga tanpa keduanya itu, pembangunan tidak mungkin dilaksanakan. 

Inilah harga keamanan dan kestabilan itu. Seyogia kita semua, sama-sama memeliharanya. 

Keamanan dan kestabilan tidak boleh roboh walau apa pun keadaan. Jika ia roboh, walau dalam keadaan kita makmur, maka kemakmuran itu tidak akan memberi makna apa-apa. Apatah  lagi di sa’at-sa’at ekonomi lembap, ia adalah lebih-lebih lagi diperlukan untuk mengimbangi keadaan. 

Kesejahteraan masih saja boleh diraih dari keamanan, walaupun ekonomi global bermasalah. Dengan bermodalkan keamanan, kita masih saja ada peluang untuk memperbaiki keadaan, sama ada melalui usaha-usaha peningkatan ataupun setakat bertahan. Maksud Beta dengan bertahan di sini, ialah seperti langkah berjimat, sementara kita menunggu fajar baru ekonomi kembali pulih. 

Yang penting di sini ialah sikap berani dan optimis. Setiap orang perlu berani menjadi peneroka, di samping berfikiran terbuka dengan apa-apa yang diteroka itu. 

Peneroka yang berani adalah individu yang hebat, walaupun yang diteroka itu cuma berskala kecil atau sederhana sahaja, seperti seorang pengusaha yang baru berlatih memulakan perusahaannya. 
Inilah yang kita perlukan. Negara sangat memerlukan orang-orang seperti ini. Manakala rakyat lebih berani menjadi peneroka, maka kesannya kepada kemajuan adalah positif, dan hasil Keluaran Dalam Negeri Kasar juga boleh ditunggu untuk meningkat. 

Brunei Darussalam adalah sebuah negara merdeka. Kita selaku rakyat dan penduduk adalah dituntut untuk membebaskan diri daripada segala sikap yang merugikan. Di antara sikap merugikan itu ialah, suka berpeluk tubuh dan ketandusan semangat patriotik. 

Sikap seperti ini, sepatutnya, tidak ada lagi dalam era merdeka. Kerana kemerdekaan itu sendiri merupakan perangsang atau penggerak ke arah lebih super dan lebih progressive, bukan lebih culas dan lemah. 

Untuk akhirnya, Beta sukacita merakamkan ucapan terima kasih kepada semua peserta dan petugas serta ahli-ahli Jawatankuasa-Jawatankuasa yang sama-sama berusaha dalam menjayakan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Ke-32 Hari Kebangsaan pada tahun ini. 

Beta juga merakamkan ucapan yang sama kepada semua lapisan rakyat, meliputi semua peringkat warga Perkhidmatan Awam, termasuk mereka yang bertugas di luar negara, Pasukan-Pasukan Keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta dengan iringan doa semoga kita dan negara akan sentiasa berada di dalam pemeliharaan dan perlindungan Allah jua, Amin.  

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. ​

  

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA

SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI

AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

SEMPENA 

SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

KALI KE-33, TAHUN 2017



Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Marilah kita merafa’kan syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat menyambut Hari Kebangsaan Yang Ke-33 pada tahun ini dalam keadaan aman dan makmur.

Pada tahun ini kita menyambutnya dengan tema “Menjayakan Wawasan Negara”. Tema ini sangatlah bersesuaian setelah tiga tahun berturut-turut kita memakai tema 
“Generasi Berwawasan.”

Wawasan Brunei 2035 telah menetapkan Tiga Matlamat Utamanya. 
Bagi merealisasikan matlamat ini, Beta telahpun memperkenankan Kerangka Kerja, yang antara lain, menggariskan bidang-bidang utama yang perlu diberikan perhatian serta ke arah pencapaian hasil-hasil yang perlu dicapai. Peneraju-peneraju bagi setiap strategi juga telah dilantik. 

Kita tidaklah wajar membiarkan Wawasan ini sebagai satu retorik intelektual semata-mata, yang cuma indah dalam sebutan. Tetapi kita mesti melaksanakannya dengan penuh komitmen dan bersungguh-sungguh. Kita perlu bertindak lebih tangkas bagi menghasilkan impak yang tinggi yang boleh menyumbang kepada kemajuan dan kemakmuran negara.

Untuk ini semua, kita diperlukan terlebih dahulu, untuk bersatupadu. Jangan berpecah-belah. Pastikan, semua usaha yang dibuat adalah secara muafakat, relevan dan menepati peredaran masa. Inilah rahasia atau kunci kejayaan bagi Wawasan Negara 2035. 

Ini, meliputi untuk semua, sama ada sektor kerajaan mahupun swasta adalah mustahak untuk memupuk kerjasama dan persefahaman, dalam makna, semua kita adalah dikehendaki untuk bekerja dalam suatu pasukan tanpa melakukan perkara-perkara yang menyalahi peraturan atau undang-undang. 

Walaupun kita sudah memiliki infrastuktur, teknologi, peralatan, mekanisme dan sistem yang baik, namun jika ‘dalaman’ kita tidak baik, maka hasilnya tetap tidak baik juga. Misalnya apabila di dalam kerajaan terdapat mekanisme yang ‘korup’, maka sekalipun ianya dari kalangan ilmuan dan mempunyai kemahiran tinggi, namun sikapnya yang ‘korup’ itu tidak akan menolong untuk membawa kebaikan, malah sebaliknya menjerumuskan negara kepada keburukan.

Inilah yang perlu kita kawal untuk menggelakan negara dari mengalami perkara-perkara yang tidak diingini. 

Kita sudah melihat atau mendengar, banyak kejadian yang tidak diingini berlaku di mana-mana, seperti amalan-amalan pecah amanah, rasuah dan lain-lain. Kita juga turut mengetahui, bahawa tempat-tempat yang dilanda oleh gejala-gejala seperti ini tidak sunyi dari mengalami pelbagai kesusahan. Oleh itu, dalam hubungan ini, Brunei mestilah selalu waspada, sambil mengambil iktibar daripadanya. 

Pengisian sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini, eloklah lebih menekankan kepada pembentukan sifat-sifat dalaman yang sihat, seperti jujur, amanah dan setia. Tanpa semua sifat-sifat ini, jentera kehidupan atau jentera pentadbiran tidak akan dapat berjalan baik, bahkan sebaliknya boleh bermasalah dan lemah. 

Semua program adalah wajar bersifat ilmiah dan bercorak inklusif serta mampu untuk merentasi semua generasi. Tujuan kita dengan ini, ialah supaya semua peringkat, secara sambung bersambung, akan dapat memahami erti sebenar kemerdekaan.

Maka dengan itu, barulah nanti akan dapat diharapkan semua pihak, khasnya para generasi yang menyusul kemudian, akan benar-benar terikat kepada menghargai dan menyayangi kemerdekaan.
 
Sayugia diingat, bahawa kemerdekaan adalah sebahagian dari sejarah bangsa, dan malah merupakan ‘mahkota’ bangsa. Mencuaikan kemerdekaan bermakna mencuaikan sejarah, serta sekali gus ‘menyambaranakan’ mahkota bangsa.

Akhirnya, Beta dengan ikhlas merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua peserta dan petugas serta ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi serta ahli-ahli Jawatankuasa yang sama-sama berusaha dalam menjayakan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Kali Ke-33 pada tahun ini.

Beta juga merakamkan ucapan penghargaan kepada semua lapisan rakyat dan penduduk di negara ini termasuk semua peringkat warga Perkhidmatan Awam, meliputi juga mereka yang bertugas di luar negara, Pasukan-Pasukan Keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta dengan iringan doa, semoga kita dan negara akan sentiasa terpelihara dan mendapat perlindungan daripada Allah Subhanahu Wata’ala jua. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. ​

  

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA

SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI

AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

SEMPENA 

SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

KALI KE-34, TAHUN 2018




Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Kita selayaknya bersyukur, kerana Allah Subhanahu Wata'ala mengurniakan kepada kita keamanan dan kemakmuran. Bukan semua negara dapat meraih nikmat yang agung ini.

Oleh itu dalam apa jua keadaan, kita mestilah berusaha, sambil memohon kepada Allah untuk mengekalkan nikmat ini. Kita jangan sekali-kali berpaling daripada-Nya, kerana nikmat itu datang atau pergi adalah semata-mata kehendak-Nya jua.

Kita hanyalah merancang, sementara Allah jualah yang melaksana. Kerana itu kalau kita merancang, maka rancanglah apa yang baik atau terbaik, bukan merancang perkara buruk atau perkara yang salah, yang tidak disukai oleh Allah.

Di sinilah, ramai orang yang silap, yang tidak faham ini. Mereka hanya merancang apa yang mereka mahu atau yang sedap untuk mereka sahaja, tanpa mengambil kira Maha Pencipta. Lalu awal atau pun akhir, rancangan-rancangan itu pun dipenuhi oleh masalah atau ada-ada saja cacatnya, kerana tiada berkat.

Sebagai sebuah negara Islam yang progresif, pengukuhan "Maqasid Syar'iah" adalah menjadi pra-syarat kepada kejayaan negara. Pengukuhan ini penting, sebagai pemangkin ke arah memastikan negara terus menuai kemakmuran dan kesejahteraan.

Pada tahun ini, kita masih saja mengekalkan tema : "Menjayakan Wawasan Negara". Ini menunjukkan betapa seriusnya kita untuk menjayakan wawasan itu.

Dalam soal ini, rakyat seluruhnya perlu turut memainkan peranan untuk memajukan diri dan meningkatkan lagi usaha-usaha menjana ekonomi dan pembangunan. Agensi-agensi Kerajaan pula perlulah cekap dan bijaksana dalam menguruskan sumber-sumber negara. Demikian juga pembangunan sumber manusia perlu sentiasa diberikan perhatian. Kita memerlukan komitmen dan usaha-usaha bersepadu dari semua pihak, termasuk sektor swasta, bagi memastikan segala perancangan dapat berjalan rancak mencapai sasarannya.

Kita memang berhasrat untuk melihat negara melangkah lebih jauh sebagai sebuah negara maju. Ini adalah matlamat suci negara yang merdeka.

Harapan ini lebih-lebih lagi perlu turut digalas oleh generasi muda. Negara sangat memerlukan generasi muda untuk berani tampil menerajui pembangunan. Para belia perlu mengambil peluang untuk meningkatkan keupayaan diri masing-masing melalui program-program yang ditawarkan di dalam atau di luar negeri. Mereka sepatutnya lebih terpanggil untuk menerajui pucuk pimpinan badan-badan sukarela, mahupun syarikat-syarikat.

Para belia yang biasanya kaya dengan idea-idea baru pasti berani untuk menghadapi pelbagai cabaran. Merekalah yang diharapkan untuk memberikan nafas baru kepada segala usaha pembangunan dalam negara.

Di era baru ini, penggunaan teknologi maklumat semakin meluas dan memainkan peranan yang  sangat penting. Ia juga tidak syak lagi, turut mengalihkan fokus ke arah ekonomi digital yang terbuka luas untuk diceburi. Ini pun satu lagi cabaran itu.

Di arena antarabangsa, Negara Brunei Darussalam akan terus mengamalkan sikap hormat menghormati dan mengekalkan hubungan baik dengan negara-negara lain. Kita akan turut berusaha menangani isu-isu yang menjadi tumpuan masyarakat antarabangsa seperti ancaman keganasan dan perubahan iklim.

Untuk akhirnya, Beta sukacita merakamkan ucapan terima kasih kepada semua peserta dan petugas serta ahli-ahli Jawatankuasa-Jawatankuasa yang sama-sama berusaha dalam menjayakan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Kebangsaan ke-34 pada tahun ini.

Beta juga merakamkan ucapan yang sama kepada semua lapisan rakyat, meliputi semua peringkat warga Perkhidmatan Awam, termasuk mereka yang bertugas di luar negara, Pasukan-Pasukan Keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta dengan iringan do'a semoga kita dan negara akan sentiasa berada di dalam pemeliharaan dan perlindungan Allah jua, Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. 

  

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA

SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI

AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

SEMPENA 

SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

KALI KE-35, TAHUN 2019




Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.


Marilah kita merafa'kan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan limpah rahmat-Nya jua, dapatlah kita meraikan lagi Hari Kebangsaan kita pada tahun ini.

 

Sambil meraikan hari bersejarah ini, sambil itu juga kita mensyukuri nikmat Allah berupa keamanan dan kemakmuran.

 

Kemerdekaan, keamanan dan kemakmuran adalah idaman semua orang, semua bangsa di dunia. Tetapi untuk mendapatnya tidaklah semudah yang dikata.


Di sinilah Alhamdulillah, negara kita dengan izin Allah telahpun mencapainya. Ia sudah wujud dan sedang dinikmati. Kita akan tatang ia dan pertahankan.

 

Selain dengan kerja keras dalam mengisi kemerdekaan, antara cara kita menanai dan mempertahankannya, kita juga dikehendaki supaya konsisten dalam memelihara keamanan dan kemakmuran itu melalui langkah-langkah yang bersesuaian.  Disamping itu, kita hendaklah berusaha sedaya upaya dan selebihnya kita berserah sepenuhnya kepada kuasa Allah, kerana hanya dengan ini saja in shaa Allah, semua usaha akan berjaya dan diberkati.

 

Tema sambutan pada tahun lepas, masih saja kita kekalkan, berbunyi: "Menjayakan Wawasan Negara".  Tema ini hendaknya, akan mengingatkan kita kepada kewajipan dan peranan masing-masing untuk merealisasikan Wawasan Negara.

 

Pada tahun-tahun yang lalu kita telah menyandarkan harapan tinggi kepada generasi muda untuk menerajui pembangunan negara secara proaktif.

 

Alhamdulillah, sedikit demi sedikit harapan itu terkabul, dengan para belia menunjukkan pencapaian-pencapaian yang menggalakkan di bidang-bidang keusahawanan, ekonomi dan kemasyarakatan. Serentak itu, agensi-agensi Kerajaan juga tidak ketinggalan dalam menyediakan prasarana serta membantu para belia, khususnya dalam memberikan bimbingan kepada mereka yang berkecimpung di bidang keusahawanan.

 

Beta mahu melihat, supaya usaha-usaha sedemikian ini terus dipertingkatkan, sehingga para belia benar-benar mampu untuk berganding bahu dengan Kerajaan.  Maka untuk itu, agensi-agensi Kerajaan perlulah menggiatkan lagi peranan mereka selaku pemudahcara.

 

Pemudahcara di sini dimaksudkan ialah prasarana yang mantap, peraturan yang telus dan mudah, serta sokongan dan kerjasama padu semua agensi yang berkepentingan, dalam menghulurkan bantuan dan bimbingan itu.

 

Dalam memberi tumpuan kepada golongan muda, kebajikan dan pemedulian terhadap warga emas juga jangan diabaikan.  Kerana mereka itu lebih-lebih lagi memerlukan sokongan dan pemedulian.

 

Juga selaras dengan tema Hari Kebangsaan 2019, Sektor Kerajaan perlu melaksanakan dan mempelbagaikan lagi usaha-usaha menjana ekonomi melalui pengurusan-pengurusan yang cekap dan berhemah.

 

Kerajaan juga perlu memfokas segala aktiviti pembangunan, termasuk aktiviti pelaburan yang sedang dan akan dilaksanakan.

 

Demikian juga kewajipan Kerajaan ialah memudahcara persekitaran perniagaan dan menjana sumber manusia yang Kompeten serta Employable, termasuk memperkukuhkan lagi jaringan keselamatan sosial, sebagai contoh, Kerajaan kini, melalui Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan sedang giat melaksanakan aktiviti menanam padi, yang dihasratkan untuk memenuhi sara diri negara.

 

Dalam era digital sekarang ini, kita perlu peka dengan kemajuan teknologi yang pesat yang dibawa oleh Revolusi Industri Keempat.  Sebagai sebuah negara yang mempunyai wawasan, kita tidak boleh ketinggalan dalam meneroka ekonomi digital.

 

Namun dalam perkembangan di bidang ini, keselamatan siber mesti diberikan perhatian khusus.  Negara perlu menangani isu keselamatan siber, kerana kesan negatif siber boleh menyerap ke dalam negara, masyarakat dan keluarga.

 

Di arena antarabangsa, Negara Brunei Darussalam akan terus mengamalkan sikap hormat-menghormati, mengekalkan hubungan rapat yang telus dengan negara-negara lain dan meningkatkan lagi integrasi ekonomi serantau serta penyertaan dalam rangkaian ekonomi global. Kita juga akan terus memberikan kerjasama dalam menangani isu-isu yang menjadi tumpuan masyarakat antarabangsa seperti ancaman anasir-anasir yang tidak bertanggungjawab.

 

Kita juga akan sentiasa bersama-sama meningkatkan usaha ke arah keselamatan dan kestabilan serantau dan antarabangsa selaras dengan kapasiti yang ada. Ini termasuk menghulurkan bantuan kepada pihak-pihak yang memerlukan, seperti dalam bentuk operasi kemanusiaan atau bantuan mitigasi bencana serta misi pemantau dan pengaman.

 

Untuk akhirnya, Beta sukacita merakamkan ucapan terima kasih kepada semua peserta dan petugas serta ahli-ahli Jawatankuasa-Jawatankuasa yang sama-sama berusaha dalam menjayakan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Kebangsaan ke-35 pada tahun ini.

 

Beta juga merakamkan ucapan yang sama kepada semua lapisan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam dan meliputi semua peringkat warga Perkhidmatan Awam, termasuk mereka yang bertugas di luar negara, Pasukan-Pasukan Keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta, dengan iringan doa semoga kita dan negara akan sentiasa berada di dalam pemeliharaan dan perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala jua.

 

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. 

  

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Sudah sewajarnya kita merafa'akan syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan izinNya jua, dapatlah pula kita meraikan Hari Kebangsaan pada tahun ini. Semoga dengan perayaan ini akan mengingatkan kita kepada rahmat Allah berupa kemerdekaan, keamanan dan kemakmuran.

Rahmat Allah turun, kerana negara ini berstatus 'Negara Zikir', dengan umat di dalamnya menjalani kehidupan bertakwa. Apabila sesebuah negara dihuni oleh manusia-manusia ahli takwa, maka janji Allah pasti berlaku menurunkan berkat daripada langit dan mengeluarkannya daripada bumi.

Pada tahun ini kita menjulang tema sambutan, berbunyi: "Menjayakan Wawasan Negara". Menyebut wawasan sahaja tidak memadai. Tetapi yang penting, kita mesti menentukan 'dasar', selaku penunjuk arah kepada satu-satu matlamat atau tujuan yang hendak dicapai.

Pada Beta, dasar terbaik ialah 'takwa'. Takwalah landasan satu-satunya yang mampu untuk menyampaikan kita kepada kejayaan. Hanya dengan takwa jua segala perjalanan hidup terjamin lurus dan adil, termasuk langkah kita menjana Wawasan Negara.

Di bawah dasar ini, kebajikan rakyat dan penduduk adalah diutamakan.

Siasah takwa dapat memperkukuh perpaduan umat dan menjamin keharmonian antara kaum. Sementara terhadap mereka yang di luar lingkungan pula, akan kekal menikmati hubungan berbaik-baik, atas dasar hormat-menghormati dan tidak mencampuri urusan masing-masing.

Dalam ekonomi, dasar takwa juga menjamin kesucian, iaitu menjana rezki dari sumber yang halal, bukan dari sumber yang haram. Dasar ini melarang keras menipu atau memberi dan menerima rasuah dan lain-lain. Pendeknya, dasar ekonomi takwa, sama sekali tidak menganiaya mana-mana pihak.

Kita sekarang dalam rangka memperkasa masyarakat dan institusi kekeluargaan. Di sini, dasar takwa adalah mampu untuk menjamin golongan tertentu supaya mendapat pembelaan dan perlindungan. Maka melalui Program Pelan Membasmi Kemiskinan Di bawah Majlis Kebangsaan Isu Sosial (MKIS), kita telahpun merangka inisiatif-inisiatif pemerkasaan sara diri bagi golongan sasaran.

Langkah ini akan membuka peluang yang lebih luas untuk golongan tertentu untuk mendapatkan pekerjaan ataupun bergiat di dalam bidang keusahawanan, yang sekaligus akan mengurangkan kebergantungan kepada bantuan kerajaan.

Ini juga mendukung konsep takwa, yang menggalakkan umat Islam supaya berdikari dengan titik peluh sendiri.

Walau bagaimanapun, negara tetap mengambil tanggungjawab untuk mengusahakan pelbagai kemudahan bagi kebajikan rakyat, seperti misalnya, sedikit masa lagi insya Allah, kerajaan akan melaksanakan Sistem Kebajikan Negara (SKN) yang akan membolehkan pemohon bantuan untuk membuat permohonan secara di atas talian (online).

Apapun rancangan dan perubahan, banyak bergantung kepada sumber tenaga manusia. Sumber ini tidak syak lagi adalah aset terpenting negara, kerana merekalah yang akan berusaha untuk mencorakkan kehidupan, selaras dengan keperluan.

Sumber tenaga yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi amatlah dihajati bagi tujuan membawa perubahan.

Sekarang, satu projek raksaksa, Jambatan Penghubung di antara Daerah Brunei  dan Muara dan Daerah Temburong sedang menunggu masa untuk dibuka. Dari sini, kita boleh belajar, bahawa tanpa sumber tenaga berkemahiran, projek ini tidak mungkin menjadi kenyataan.

Demikian itulah pentingnya untuk kita melakar pendidikan tinggi untuk melahirkan sumber tenaga yang berkemahiran.

Untuk akhirnya, Beta sukacita merakamkan ucapan terima kasih kepada semua peserta dan petugas serta ahli-ahli Jawatankuasa-jawatankuasa yang sama-sama berusaha dalam menjayakan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-36 pada tahun ini.

Beta juga merakamkan ucapan yang sama kepada semua lapisan rakyat, meliputi semua peringkat warga Perkhidmatan Awam, termasuk mereka yang bertugas di luar negara, Pasukan-Pasukan Keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta dengan iringan doa semoga kita dan negara akan sentiasa berada di dalam pemeliharaan dan perlindungan Allah jua, Amin. 

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.​

  

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA

SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI

AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

SEMPENA 

SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

KALI KE-37, TAHUN 2021


 
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Walaupun keadaan berbeza, namun Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini masih saja dapat dilangsungkan dengan izin Allah. Ini juga adalah nikmat untuk disyukuri.

Kita jangan lupa, Sambutan Hari Kebangsaan bukan untuk berpesta semata-mata, tetapi untuk mengenang dan memahami akan harga kemerdekaan, bahawa kemerdekaan itu bukan benda yang dibeli tetapi bulat-bulat datangnya daripada Allah Subhanahu Wata'ala.
Kemerdekaan, mengenalkan kita kepada banyak perkara, antaranya bagaimana untuk membangun diri dan negara? Misalnya, dari malas kepada rajin, dari lambat kepada cepat dan dari mundur kepada maju. Inilah 'matlamat' utama yang perlu dituju oleh bangsa merdeka.

Bangsa yang merdeka, tidak boleh lalai atau lambat bertindak, kerana persekitaran bukan statik, tetapi cepat berubah, dan perubahan itulah namanya 'perkembangan'.
Bangsa merdeka, mesti mengikuti perkembangan dan mencipta kemajuan. Kemajuan itu terbahagi dua: Kemajuan fizikal dan kemajuan spiritual. Kemajuan fizikal dicapai dengan teknologi dan tulang empat kerat, sementara kemajuan spiritual pula digarap dengan belajar dan praktikal ibadat.

Inilah cara kita mengisi kemerdekaan, iaitu dengan menjana kemajuan fizikal, sejajar dengan kemajuan spiritual. Kedua-duanya mesti berjalan seiring untuk memenuhi tuntutan negara.
Maka untuk itu, kita perlu memiliki modal insan yang gigih dan berkualiti, yang berpendidikan duniawi dan ukhrawi serta mampu untuk menangani segala cabaran.

Di kesempatan ini, Beta merakamkan ucapan terima kasih kepada semua peserta dan petugas serta Ahli-Ahli Jawatankuasa yang sama-sama terlibat dalam menjayakan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-37 pada tahun ini.

Beta juga merakamkan ucapan yang sama kepada semua lapisan rakyat, termasuk warga Perkhidmatan Awam, sama ada yang bertugas di dalam mahupun luar negara, Pasukan-Pasukan Keselamatan, para sukarelawan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta dengan iringan doa, semoga kita dan negara akan sentiasa berada di dalam pemeliharaan dan perlindungan Allah jua. Ameen.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, 
Wassalaamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.​

  

TITAH PERUTUSAN

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA

SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI

AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

SEMPENA

HARI KEBANGSAAN

NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

KALI KE-38 

BAGI TAHUN 1443H/2022M


Assalamu’alaikum Warahmatu​llahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Syukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana mengizinkan kita dapat meraikan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan yang ke Tiga Puluh Lapan (38) Tahun pada tahun ini.

Hari Kebangsaan adalah detik bersejarah bagi setiap negara merdeka, tidak terkecuali juga bagi negara kita, Brunei Darussalam.
 
Dengan menyambut Hari Kebangsaan, kita dapat mengenang dan menghargai nilai kemerdekaan, termasuk pengorbanan mereka yang bekerja keras untuk kemerdekaan itu.

Sayugia kemerdekaan itu, wajar dipelihara oleh sekalian rakyat dan penduduk dengan semangat patriotik yang tinggi, selaku warisan berharga yang berhak dinikmati oleh generasi demi generasi.

Selama Tiga Puluh Lapan Tahun negara merdeka, pelbagai cabaran telah kita alami. Namun alhamdulillah, jentera pembangunan tetap terus berfungsi menghasilkan perkembangan dan kemajuan didalam pelbagai bidang. Diantara pencapaian terpenting, Kerajaan Beta berupaya untuk melaksanakan Projek Perumahan Negara untuk kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat.

Turut amat ketara juga ialah, terbinanya Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien yang menghubungkan Daerah Brunei dan Muara dengan Daerah Temburong. Dengan terbinanya Jambatan ini, banyaklah manfa’at dapat diraih. Selain untuk kemudahan perhubungan, ia juga mengilhami kita untuk segera bergerak kehadapan menjana kemajuan. Diantaranya sekarang, Negara telah menubuhkan Autoriti Kemajuan Daerah Temburong (AKDT) untuk merancang pelbagai perancangan, termasuk memajukan bidang pertanian serta juga menjadikan Daerah ini sebagai destinasi eko pelancongan.

Sementara Rancangan Kemajuan Negara adalah merupakan projek jangka panjang secara menyeluruh, untuk menyediakan infrastruktur dan kemudahan yang boleh dinikmati oleh rakyat, termasuk pelabur-pelabur di negara ini. Ini juga menjadi keutamaan untuk dilaksanakan.

Kita menyedari bahawa usaha-usaha pemulihan ekonomi, kesan dari wabak koronavirus adalah memerlukan langkah berhati-hati, termasuk dengan melonggarkan sekatan yang dahulunya menyebabkan kegiatan perekonomian terjejas. Dan sehubungan itu telah memaksa sektor awam dan swasta untuk menerapkan budaya penggunaan Teknologi Maklumat dalam kehidupan seharian. Ini menjadikan kita perlu mempercepatkan pengukuhan Transformasi Digital bagi memastikan norma baharu dapat dilaksanakan dengan berkesan.  Perkara ini adalah selaras dengan matlamat Pelan Induk Ekonomi Digital 2025.

Semua ini, setentunya memerlukan kesepaduan dan kesepakatan dalam membuat sebarang keputusan.

Penularan wabak koronavirus benar-benar menguji kesabaran dan keupayaan negara dalam membendung wabak ini. Program Vaksinasi Kebangsaan yang dilaksanakan secara berperingkat, boleh dianggap mencapai hasil yang baik. Disamping itu, satu usaha yang baik juga, telah diungkayahkan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan mengadakan rancangan “Malam Munajat” yang bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata’ala melalui istighfar, membaca Yasin, bertazkirah dan lain-lain bentuk zikir, semoga dengan itu, rakyat dan negara akan mendapat perlindungan serta terselamat daripada segala bala bencana dan penyakit, khasnya wabak koronavirus.

Hanya sedikit sahaja ingin Beta sarankan, supaya diperkemas lagi cara membaca Surah Yasin. Seeloknyalah kalau ia dapat dibaca dengan suara ramai, bukan suara seorang sahaja, dan bacaan pula mustahak secara tartil, bukan terlalu cepat sehingga boleh menjejaskan kesempurnaan bacaan.

Akhirnya, Beta sukacita merakamkan ucapan terima kasih kepada semua peserta dan petugas serta ahli-ahli Jawatankuasa yang sama-sama terlibat dalam menjayakan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke Tiga Puluh Lapan Tahun pada tahun ini.

Tidak lupa juga, Beta merakamkan ucapan terima kasih kepada semua lapisan rakyat, termasuk warga Perkhidmatan Awam, sama ada yang bertugas di dalam dan luar negara, Pasukan-Pasukan Keselamatan, para sukarelawan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta dengan iringan doa semoga kita dan negara akan sentiasa berada di dalam pemeliharaan dan perlindungan Allah jua, Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. 


  

TITAH PERUTUSAN

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA​

SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI

AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

SEMPENA 

SAMBUTAN ULANG TAHUN ​HARI KEBANGSAAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

KALI KE-39, 

BAGI TAHUN 1444H/2023M


Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem.

​Alhamdulillahi Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Alhamdulillah, kita bersyukur kerana dapat pula meraikan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam kali Ke-39 pada tahun ini.
Hari Kebangsaan adalah detik penting untuk diingati, kerana dengan mengingati itu, kita sekaligus akan teringat pula kepada pengorbanan dan usaha-usaha para pemimpin dan orang-orang terdahulu mencari jalan ke arah kemerdekaan.

Harga kemerdekaan sangat sukar untuk dinilai, kerana ia bukan benda jumud untuk dihitung dengan angka, tetapi ia adalah landasan untuk kita memperolehi sesuatu yang lebih baik. Misalnya melalui kemerdekaan, kita dapat menikmati apa yang belum pernah kita nikmati. Tidakkah ini satu pencapaian yang sangat hebat?

​Kerana itulah, kemerdekaan wajar dipelihara untuk mewarnai kehidupan kita berbangsa dan bernegara. Cara memelihara itu ialah dengan menunaikan kewajipan masing-masing secara telus dan sempurna, bukan untuk kepentingan diri sendiri tetapi untuk semua.

Sekarang menjadi kewajipan utama kita ialah untuk melihat matlamat Wawasan Negara terlaksana. Kita tidak dapat berlengah-lengah lagi atau goyang kaki, kerana masa cuma tinggal 12 tahun sahaja lagi untuk kita merealisasikannya. Kerana itu Kerajaan perlu memuktamadkan manpower dan social blueprint dalam masa terdekat sebagai arah tuju bagi setiap perancangan dan tindakan pihak-pihak yang berkepentingan dalam kerajaan.

Beta berharap blueprint-blueprint ini termasuk Economic Blueprint akan menjadi bahan rujukan kepada orang ramai terutamanya sektor swasta, badan bukan Kerajaan (NGOs) untuk merangka strategi dan pelan tindakan masing-masing.

Kementerian Kewangan dan Ekonomi sebagai peneraju Brunei Darussalam Economic Blueprint sudahpun siap merangka peta-peta jalan industri bagi sektor industri permakanan; industri hiliran minyak dan gas; dan industri perkhidmatan maritim. Sementara peta-peta jalan berkaitan dengan industri teknologi maklumat dan infokomunikasi pula sedang giat dalam penelitian-penelitian dan penggubalan. Peta-peta jalan dalam sektor industri-industri utama ini adalah bertujuan untuk menambahbaik ekosistem dan juga industri-industri tempatan dapat membangun meningkatkan usaha masing-masing ke arah memperkukuhkan lagi kedayatahanan ekonomi negara.

Manakala bagi mendokong Perniagaan Mikro, Kecil, dan Sederhana (M.S.M.E), Kerajaan Beta juga sedang merangka dasar M.S.M.E bagi membantu mereka meningkatkan produktiviti masing-masing.

Beta ingin mengingatkan bahawa kemajuan yang mahu dicapai bukan tertumpu kepada membangun bangunan-bangunan untuk bermegah-megah, tetapi kemajuan yang lebih bermakna ialah seperti membina prasarana dan sistem yang membawa impak positif kepada rakyat dan penduduk, seperti juga kemajuan kepada sumber tenaga manusia, kita adalah mahu untuk melahirkan rakyat yang progresif, berdikari dan tidak semata-mata bergantung kepada Kerajaan.

Sehubungan itu, bidang pendidikan tidaklah dapat diabaikan. Kita perlu kepada rakyat yang berpendidikan tinggi dan mempunyai kemahiran. Maka untuk itu Beta melihat, bahawa Kemahiran STEAM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik) adalah perlu diperluaskan, dengan mengambilkira, betapa pentingnya kemahiran itu sebagai pemangkin pembangunan.

Mengenai bidang pendidikan juga, Beta melihat supaya Skim Pendidikan biasa dan ugama dapat bersatu di bawah pengurusan yang sama supaya tenaga para pendidik dapat diintegrasikan dalam waktu persekolahan, iaitu bagi memenuhi maslahat dan kemudahan para ibu bapa dan penjaga ketika menghantar dan mengambil anak-anak sekolah.

Turut sangat penting ialah penerapan ilmu ugama dan nilai-nilai murni sebagai pasak bagi mengukuhkan jati diri bangsa. Maka oleh itu, generasi muda yang merangkumi para penuntut dan belia mestilah sama-sama dibawa untuk mengenali dan menghayati ajaran-ajaran ugama.

Akhirnya, Beta sukacita ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak termasuk peserta, petugas dan Ahli-Ahli Jawatankuasa yang bertungkus lumus dalam menjayakan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-39 pada tahun ini. Tidak lupa juga diucapkan penghargaan kepada semua lapisan, termasuk warga Perkhidmatan Awam, sama ada yang bertugas di dalam dan luar negara, Pasukan-Pasukan Keselamatan, Para Sukarelawan termasuk Belia serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta dengan iringan do'a semoga kita dan negara akan sentiasa berada di dalam pemeliharaan dan perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.​

Title 
Titah 
​​