​​​
Titah

TITAH PERUTUSAN

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA​

SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI

AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

SEMPENA 

SAMBUTAN ULANG TAHUN ​HARI KEBANGSAAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

KALI KE-39, 

BAGI TAHUN 1444H/2023M


Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem.

​Alhamdulillahi Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Alhamdulillah, kita bersyukur kerana dapat pula meraikan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam kali Ke-39 pada tahun ini.
Hari Kebangsaan adalah detik penting untuk diingati, kerana dengan mengingati itu, kita sekaligus akan teringat pula kepada pengorbanan dan usaha-usaha para pemimpin dan orang-orang terdahulu mencari jalan ke arah kemerdekaan.

Harga kemerdekaan sangat sukar untuk dinilai, kerana ia bukan benda jumud untuk dihitung dengan angka, tetapi ia adalah landasan untuk kita memperolehi sesuatu yang lebih baik. Misalnya melalui kemerdekaan, kita dapat menikmati apa yang belum pernah kita nikmati. Tidakkah ini satu pencapaian yang sangat hebat?

​Kerana itulah, kemerdekaan wajar dipelihara untuk mewarnai kehidupan kita berbangsa dan bernegara. Cara memelihara itu ialah dengan menunaikan kewajipan masing-masing secara telus dan sempurna, bukan untuk kepentingan diri sendiri tetapi untuk semua.

Sekarang menjadi kewajipan utama kita ialah untuk melihat matlamat Wawasan Negara terlaksana. Kita tidak dapat berlengah-lengah lagi atau goyang kaki, kerana masa cuma tinggal 12 tahun sahaja lagi untuk kita merealisasikannya. Kerana itu Kerajaan perlu memuktamadkan manpower dan social blueprint dalam masa terdekat sebagai arah tuju bagi setiap perancangan dan tindakan pihak-pihak yang berkepentingan dalam kerajaan.

Beta berharap blueprint-blueprint ini termasuk Economic Blueprint akan menjadi bahan rujukan kepada orang ramai terutamanya sektor swasta, badan bukan Kerajaan (NGOs) untuk merangka strategi dan pelan tindakan masing-masing.

Kementerian Kewangan dan Ekonomi sebagai peneraju Brunei Darussalam Economic Blueprint sudahpun siap merangka peta-peta jalan industri bagi sektor industri permakanan; industri hiliran minyak dan gas; dan industri perkhidmatan maritim. Sementara peta-peta jalan berkaitan dengan industri teknologi maklumat dan infokomunikasi pula sedang giat dalam penelitian-penelitian dan penggubalan. Peta-peta jalan dalam sektor industri-industri utama ini adalah bertujuan untuk menambahbaik ekosistem dan juga industri-industri tempatan dapat membangun meningkatkan usaha masing-masing ke arah memperkukuhkan lagi kedayatahanan ekonomi negara.

Manakala bagi mendokong Perniagaan Mikro, Kecil, dan Sederhana (M.S.M.E), Kerajaan Beta juga sedang merangka dasar M.S.M.E bagi membantu mereka meningkatkan produktiviti masing-masing.

Beta ingin mengingatkan bahawa kemajuan yang mahu dicapai bukan tertumpu kepada membangun bangunan-bangunan untuk bermegah-megah, tetapi kemajuan yang lebih bermakna ialah seperti membina prasarana dan sistem yang membawa impak positif kepada rakyat dan penduduk, seperti juga kemajuan kepada sumber tenaga manusia, kita adalah mahu untuk melahirkan rakyat yang progresif, berdikari dan tidak semata-mata bergantung kepada Kerajaan.

Sehubungan itu, bidang pendidikan tidaklah dapat diabaikan. Kita perlu kepada rakyat yang berpendidikan tinggi dan mempunyai kemahiran. Maka untuk itu Beta melihat, bahawa Kemahiran STEAM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik) adalah perlu diperluaskan, dengan mengambilkira, betapa pentingnya kemahiran itu sebagai pemangkin pembangunan.

Mengenai bidang pendidikan juga, Beta melihat supaya Skim Pendidikan biasa dan ugama dapat bersatu di bawah pengurusan yang sama supaya tenaga para pendidik dapat diintegrasikan dalam waktu persekolahan, iaitu bagi memenuhi maslahat dan kemudahan para ibu bapa dan penjaga ketika menghantar dan mengambil anak-anak sekolah.

Turut sangat penting ialah penerapan ilmu ugama dan nilai-nilai murni sebagai pasak bagi mengukuhkan jati diri bangsa. Maka oleh itu, generasi muda yang merangkumi para penuntut dan belia mestilah sama-sama dibawa untuk mengenali dan menghayati ajaran-ajaran ugama.

Akhirnya, Beta sukacita ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak termasuk peserta, petugas dan Ahli-Ahli Jawatankuasa yang bertungkus lumus dalam menjayakan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-39 pada tahun ini. Tidak lupa juga diucapkan penghargaan kepada semua lapisan, termasuk warga Perkhidmatan Awam, sama ada yang bertugas di dalam dan luar negara, Pasukan-Pasukan Keselamatan, Para Sukarelawan termasuk Belia serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta dengan iringan do'a semoga kita dan negara akan sentiasa berada di dalam pemeliharaan dan perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.​

​​